ARKIB : 30/04/2010
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Manusia yang baik adalah yang
memberi manfaat kepada orang lain.
Mukadimah
SURAH ini termasuk dalam surah
makkiah. Diturunkan selepas surah al-Najm. Dalam surah terdahulu dinyatakan
berkenaan hari kiamat, manakala dalam surah ini pula menceritakan perihal orang
yang mengambil manfaat daripada peringatan itu.
Firman Allah SWT: Ia memasamkan
muka dan berpaling, kerana ia didatangi orang buta. Ibn Ummi Maktum datang
menghadap Nabi Muhammad SAW di Mekah. Ketika itu baginda asyik bercakap-cakap
dengan pemimpin-pemimpin Quraisy seperti Utbah dan Syaibah, kedua-duanya ialah
anak Rabi'ah, Abu Jahl Ibn Hisham, Abbas Ibn Abd al-Mutallib, Umayyah Ibn
Khalaf dan al-Walid Ibn al-Mughirah untuk diajak kepada Islam, diberi
peringatan tentang kedatangan hari kiamat, kekuasaan Allah SWT dan diharapkan
sebagai orang yang akan menerima balasan baik jika menganut Islam.
Rasulullah SAW amat mengharapkan
agar seruannya itu diterima kerana baginda mengetahui andainya mereka menganut
Islam pasti ramai yang akan mengikut mereka.
Ini kerana kuasa kepimpinan
bangsa Arab terletak di tangan mereka. Ketika baginda asyik bercakap-cakap,
tiba-tiba Ibn Ummi Maktum mencelah, katanya: "Ya Rasulullah, bacakan dan
ajarkanlah aku apa yang telah diajarkan oleh Allah SWT kepada tuan".
Berulang kali ucapan itu
disampaikan tanpa dia mengetahui kesibukan baginda bersama-sama tokoh kaum yang
sedang berbicara sehingga baginda berasa tidak senang hati apabila
percakapannya disampuk dan nampak rasa kurang selesa pada raut wajah baginda
lalu berubah mukanya menjadi masam lantas ia berpaling.
Firman Allah SWT: Dan apa
jalannya Engkau dapat mengetahui (tujuannya, Wahai Muhammad)? Barangkali ia
mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)!
Ataupun ia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat
kepada-Nya.
Syed Qutb berkata: Tahukah engkau
barangkali hati lelaki akan disinari nur Allah yang akan mengubahnya menjadi
rumah nur yang sentiasa menerima nur dari langit?
Kebajikan ini akan menjadi
kenyataan apabila ada hati yang membuka pintunya untuk menerima hidayah dan
apabila hakikat iman terpacak kukuh di dalam hatinya. Inilah persoalan agung
dalam neraca pertimbangan Allah SWT.
Firman Allah SWT: Adapun orang
yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran
al-Quran). Maka Engkau bersungguh-sungguh melayaninya. Padahal Engkau tidak
bersalah kalau ia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya).
Ibn Kathir berkata: Engkau tidak
dituntut melakukan hal tersebut jika ia tidak membersihkan dirinya.
Firman Allah SWT: Adapun orang
yang segera datang kepada-Mu. Dengan perasaan takutnya (melanggar
perintah-perintah Allah), maka engkau berlengah-lengah melayaninya. Al-Maraghi
berkata: Ternyata engkau mengabaikan permintaannya.
Firman Allah SWT: Janganlah
melakukan lagi yang sedemikian itu! Sebenarnya ayat-ayat al-Quran adalah
pengajaran dan peringatan (yang mencukupi). Maka sesiapa yang mahukan kebaikan
dirinya, dapatlah ia mengambil peringatan daripadanya. Wasiat ini berlaku sama
kepada seluruh umat manusia dalam menyampaikan ilmu baik antara orang mulia mahupun
orang yang hina.
Qatadah dan al-Suddi mengatakan:
Iaitu al-Quran. Ini bagi yang sentiasa mengingati Allah.
Firman Allah SWT: (ayat-ayat suci
itu tersimpan) dalam naskhah-naskhah yang dimuliakan, yang tinggi darjatnya,
lagi suci (dari segala gangguan), (terpelihara) di tangan malaikat-malaikat
yang menyalinnya dari Lauh Mahfuz (malaikat-malaikat) yang mulia, lagi yang
berbakti.
Al-Maraghi berkata: Peringatan
itu telah dicantumkan dalam kitab Allah SWT yang mulia lagi tinggi, suci dari
sebarang kekurangan, tidak bercampur dengan unsur-unsur kesesatan dan
diturunkan kepada nabi melalui para malaikat, kemudian peringatan itu
diteruskan kepada seluruh manusia.
Penutup
Syed Qutb berkata: Ayat-ayat
al-Quran itu mulia dalam semua pertimbangan dan mulia dalam suhuf-suhufnya. Ia
dijunjung tinggi dan suci.
Ia diserahkan kepada
utusan-utusan para malaikat ang tertinggi, mulia dan taat setia untuk
dikirimkan kepada para rasul yang terpilih di bumi supaya disampaikan kepada
penghuni-penghuninya.
Itulah sifat malaikat yang mulia
dan taat setia. Ayat-ayat itu amat mulia dan suci dalam segala perkara yang
dibicara dan disentuh olehnya.
Ayat-ayat tersebut sungguh mulia
dan tidak ditawarkan kepada orang-orang yang enggan menerimanya dengan jelas
menyatakan bahawa mereka tidak memerlukannya. Ia untuk orang yang mengiktiraf
kemuliaannya dan mahu membersihkan diri dengannya.
Penjelasan ayat ini merupakan
neraca Allah untuk pertimbangan manusia dan kedudukan mereka dan hanya Dia yang
mampu mengatur segala-galanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5a8QbwJXV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan