ARKIB : 30/06/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Perjalanan sejarah atau sirah
Nabi Muhammad SAW sama ada sukar atau mudah untuk diikuti amat penting untuk
kita ketahui. Malah kalau dapat didalami dan dikaji dengan lebih lanjut lalu
dihayati, itu adalah lebih baik.
Ini termasuklah kisah mengenai
Baiah atau Perjanjian Aqabah. Secara ringkasnya ia merupakan perjanjian damai
atau sumpah setia yang berlaku antara Nabi Muhammad dengan beberapa penduduk
Yathrib (nama lama Madinah Al Munawarrah) yang datang menemui baginda di sebuah
tempat atau bukit bernama Aqabah. Bukit itu terletak beberapa kilometer di
utara Kota Mekah iaitu berdekatan dengan Mina.
Kita jangan keliru kerana
terdapat sebuah perkampungan di timur laut Tebing Barat, Palestin juga dikenali
sebagai Aqabah yang dirampas daripada penduduk Palestin untuk dijadikan sebuah
kem tentera besar oleh rejim Israel.
Sebuah bandar di selatan Jordan
juga bernama Aqabah, di samping kita menyebut Aqabah iaitu perbuatan ibadat
haji iaitu melontar batu di Jamrah yang ketiga, iaitu Jamrah Al Aqabah.
Perjanjian Aqabah merupakan
perjanjian pertama antara baginda dengan mana-mana pihak, sama ada dari dalam
mahupun luar Kota Mekah. Ia melibatkan satu persefahaman untuk memberi ketaatan
kepada Rasulullah.
Namun dari aspek sosial dan
politik penduduk Arab, melakukan perjanjian damai antara kabilah dan sebagainya
adalah biasa dilakukan. Telah menjadi adat dan tradisi mereka saling menyatakan
sumpah setia kawan atau bersahabat baik bagi mencapai pelbagai tujuan dan
matlamat tertentu.
Namun yang paling penting
kedua-dua belah yang membuat perjanjian ini ikhlas untuk berbaiah, iaitu bukan
kerana dipaksa dan sebagainya.
Di sebalik perjanjian ini,
tentunya kita tertanya-tanya mengapa penduduk Yathrib dengan begitu mudah dan
tanpa sebarang masalah menerima dakwah daripada Rasulullah? Hanya dengan satu
pertemuan sahaja dengan baginda. Mereka seolah-olah seperti telah lama menunggu
saat menerima dakwah baginda itu.
Persoalan ini memerlukan kita
melihat situasi yang berlaku di Yathrib itu sendiri yang menjadi sebab musabab
utama mengapa mereka dengan mudah memeluk Islam.
Komposisi penduduk di Yathrib
terdiri daripada tiga kelompok yang besar, iaitu kaum Yahudi dan dua lagi kaum
Arab yang terdiri daripada suku kaum al Khazraj dan Aus.
Kedua-dua puak Arab ini merupakan
kaum yang menyembah berhala di Yathrib manakala kaum Yahudi dengan agama Yahudi
mereka sebagai golongan ahli kitab yang mempercayai Kitab Taurat.
Menurut Hussien Haekal dalam bab
Ikrar Aqaba dalam buku Sejarah Hidup Muhammad, kaum Yahudi dan dua suku Arab di
Kota Yathrib itu tidak pernah hidup aman.
Persengketaan demi persengketaan
yang membawa peperangan sering berlaku.
Sejarah mereka agak panjang iaitu
melibatkan pelbagai punca terutamanya soal agama.
Menurut Haekal, apabila puak
Nasrani yang mendiami Syam yang berada di bawah pengaruh Rom Timur (Baizantin)
mereka terlalu membenci dan memarahi kaum Yahudi tanpa mengira di mana puak itu
berada.
Mereka percaya kaum itu telah
menyebab kematian Nabi Isa A.S, iaitu dengan cara menyeksa dan menyalib
baginda.
Lalu kaum Yahudi yang sekian lama
mendiami Yathrib turut menjadi mangsa kemarahan kaum Nasrani itu.
Namun cubaan untuk menghapuskan
terus kaum Yahudi itu tidak pernah berjaya sehinggalah puak Nasara meminta
bantuan daripada suku Arab Khazraj dan Aus, untuk membalas dendam.
Pun begitu, bukan sedikit
penduduk Yahudi yang telah dibunuh oleh gabungan dua pihak yang bersekutu ini.
Namun kedudukan Yahudi semakin
terancam apabila suku Arab itu sendiri ingin menyingkir kaum itu keluar dari
Yathrib bagi membolehkan mereka memonopoli dan menguasai sepenuhnya bandar yang
makmur dan subur dengan pelbagai hasil pertanian dan perniagaan itu.
Namun Yahudi yang menyedari niat
suku Arab itu bertindak pantas dan bijak dengan melancarkan gerakan memecah
belahkan suku-suku Arab tersebut.
Caranya dengan menciptakan
pelbagai provokasi dan fitnah yang menyebabkan suku Khazraj dan Aus sering
bertelagah sesama sendiri.
Gerakan licik dan halus oleh
Yahudi itu benar-benar mengembalikan semula kedudukan mereka di Yathrib.
Soal keagamaan turut menyumbang
kepada berlakunya perjanjian Aqabah apabila kaum Yahudi di Yathrib yang
merupakan golongan ahli kitab dan mempercayai tuhan yang satu (monoteisme),
sering mengejek-ejek dan mencela perbuatan suku Arab Khazraj dan Aus menyembah
berhala.
Kaum Yahudi sering memperingatkan
kepada mereka mengenai ramalan dalam Taurat mengenai kelahiran seorang nabi
yang akan menyelamatkan kaum Yahudi.
Namun mereka tidak bermaksud
untuk mengajak suku-suku Arab itu memeluk agama mereka.
Maka apabila suku Arab di Yathrib
mendengar dan mengetahui mengenai seorang Nabi telah muncul di Kota Mekah
menyebabkan mereka akhirnya mengakui kebenaran ramalan dari kitab Perjanjian
Lama Yahudi itu.
"Agaknya inilah nabi yang
disebut-sebut oleh orang Yahudi. Jadi, jangan sampai orang Yahudi mengetahui
mengenai Nabi Muhammad itu dan kita mesti mendahului mereka untuk menerima
kedatangan Nabi ini.
"Biar kita yang beriman
terlebih dahulu, sebelum kaum Yahudi beriman terhadap Nabi itu, jika tidak
hujung pangkal nasib kita tiada siapa yang tahu," kata puak-puak Al
Khazraj dan Aus itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aVovsTA9
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan