Khamis, 20 Disember 2018

KONSEP MASYARAKAT JAHILIAH

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
1 Masyarakat, Pemerintahan,Pertahanan, dan Perhubungan Luar
1.1  Masyarakat jahiliah Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6) STPM 2013
(a)    menjelaskan konsep dan struktur masyarakat jahiliah.
MASYARAKAT JAHILIAH
KONSEP MASYARAKAT JAHILIAH
Perkataan jahiliah berpunca daripada kata akar ja ha la dan kata terbitan atau jahalatun yang membawa maksud bodoh dan sesat. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran, surah al-Jumuah yang bermaksud;
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf (Arab Jahiliah) seorang Rasul di antara mereka yang membacakan ayat-ayat Allah kepada mereka, membersihkan mereka dan mengajarkan mereka kitab dan hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan  yang nyata”.(al-Jumuah 62:2)

      Bukti lain bagi menunjukkan masyarakat Arab Jahiliah itu bodoh,sesat dan adalah dalam surah al-Alaq yang bermaksud ;
      Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang mencipta sekalian makhluk.. Yang mengajar manusia dengan perantara pena. (al-Alaq 96:1,4)     

Daripada dua ayat tersebut, nyatalah bahawa konsep jahiliah nembawa maksud bodoh, sesat dan kufur kerana masyarakat jahiliah tidak boleh menulis dan membaca (buta huruf) serta sesat dan kufur (berpaling dari Allah SWT kerana tiada kitab suci untuk dijadikan petunjuk.[1]

ZAMAN JAHILIAH
       AI-Quran tidak membatasi masa bagi zaman jahiliah, tetapi hanya sekadar menyatakan secara umum ruang lingkup zaman tersebut dengan ungkapan,Jahiliah yang dahulu. Dalam kamus-kamus Arab juga hanya menyatakan bahawa zaman Jahiliah ialah zaman sebelum Islam, iaitu zaman sebelum turunnya al-Quran .Dalam konteks masyarakat Arab, zaman yang dipanggil zaman jahiliah ialah zaman selepas keruntuhan kerajaan Saba'. Pada masa itu tiada nabi yang diutus dan tiada kitab suci daripada Allah SWT untuk dijadikan petunjuk pada masa yang sama, tiada ciri-ciri ketamadunan atau pembangunan fizikal yang melambangkan peradaban yang tinggi. Lebih tepat, zaman jahiliah bermula selepas kejatuhan kerajaan Saba’ peringkat ketiga atau peringkat akhir  pemerintahan  Himyar pada tahun 300 M dan berakhir setelah turunnya kitab suci al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 M. Dalam tempoh kira-kira tiga abad iatu masyarakat Arab pada amnya, telah.mengalami zaman keruntuhan bukan sahaja dari segi agama dan akhlak tetapi juga dari segi politik, ekonomi, sosial dan ilmu pengetahuan.[2]




[1]Mahayudin  Hj. Yahya et.al.,Sejarah Islam  (500-1918) Penggal 2, Edisi Ketiga, (Shah Alam:Oxford Fajar,2013),2.
[2] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan