ARKIB : 23/03/2010
NAMA sebenar Ummu Ma'bad ialah
Atikah binti Khalid bin Munqiz. Dia merupakan seorang saudara perempuan kepada
seorang sahabat Nabi Muhammad yang bernama Hubaisy bin Khalid.
Ummu Ma'bad ialah seorang wanita
yang baik, murah hati dan pandai berkata-kata. Namanya mula terkenal apabila Nabi
Muhammad singgah di rumah sebagai tetamunya.
Peristiwa itu bermula apabila
Nabi Muhammad ingin berhijrah ke Madinah. Segala persiapan berhijrah telah
disiapkan. Nabi Muhamad dan Abu Bakar telah memilih seorang lelaki yang pandai
selok-belok jalan ke Madinah. Lelaki itu bernama Abdullah bin Uraiqith
al-Laitsi.
Sementara itu, Abu Bakar pula
menyediakan dua ekor binatang sebagai kenderaan mereka ke Madinah. Sebentar
kemudian datang Asma binti Abu Bakar menemui ayahnya.
"Ayah, saya ada bawa makanan
untuk ayah dan Nabi Muhammad. Makanlah makanan ini supaya lebih
bertenaga," kata Asma sambil menghulurkan makanan itu kepada ayahnya.
"Terima kasih," ucap
ayahnya.
Makanan yang dibawa oleh Asma itu
diikat pada ikatan pinggangnya. Ikatan itu dibelah menjadi dua bahagian.
Bermula pada hari itu Asma digelar wanita yang mempunyai dua ikat pinggang.
Cerdas dan pintar
Abu Bakar dan Nabi Muhammad
segera memulakan perjalanan ke Madinah. Selain daripada mereka terdapat seorang
hamba milik Abu Bakar yang bernama Amir bin Fuhairah di bawa bersama.
"Kita sudah semakin jauh.
Elok kita berhenti berehat dahulu," kata Abu Bakar.
"Baik, saya setuju,"
jawab Nabi Muhammad.
Mereka berhenti di tempat yang
mempunyai rumah. Di situ mereka berehat dan mendapatkan bekalan makanan dan
minuman. Akhirnya mereka terjumpa sebuah rumah milik Ummu Ma'bad.
Beliau tinggal di padang pasir.
Tempat itu terletak di sebuah desa yang berhampiran dengan kota Mekah. Tempat
itu diberi nama Qudaid.
Ummu Ma'bad adalah seorang wanita
yang baik. Dia juga seorang yang suka bersedekah. Ini terbukti apabila dia
sering memberi makan dan minum kepada sesiapa yang singgah di rumahnya.
Pada tahun itu daerah tempat
tinggal Ummu Ma'bad mengalami musim kemarau yang teruk. Penduduk di situ sudah
tidak mempunyai bekalan makanan yang cukup. Mereka terpaksa menahan kelaparan.
Semasa di rumah Ummu Ma'bad,
dengan izin Allah rombongan Nabi Muhmmad telah dapat minum susu kambing. Mereka
sudah tidak lapar dan dahaga. Mereka kembali bertenaga. Ummu Ma'bad sempat
masuk Islam sebelum Nabi Muhammad meninggalkan rumahnya.
Tiba-tiba datang sekumpulan orang
kafir Quraisy melintasi rumah Ummu Ma'bad. Mereka adalah sekumpulan pemuda
Quraisy yang telah diarah oleh pembesar kafir Quraisy untuk menangkap Nabi
Muhammad.
"Saudari, kami ingin
bertanya kepada awak. Adakah awak melihat dua orang lelaki dengan rombongannya
melintasi kawasan rumah awak ini?" kata ketua pemuda Quraisy itu.
"Kami telah diarahkan oleh
pembesar Quraisy Mekah untuk menangkap Nabi Muhammad dan rombongannya. Nabi
Muhammad telah membuat kekacauan kepada kami," kata seorang pemuda Quraisy
yang lain.
"Benarkah mereka ingin
menangkap Nabi Muhammad. Saya mesti selamatkan Nabi Muhammad. Sekarang saya
sudah menjadi orang Islam. Saya mesti bantu orang Islam daripada disiksa oleh
kafir Quraisy," bisik Ummu Ma'bad sendirian.
Ummu Ma'bad dengan beraninya berkata
kepada pemuda Quraisy itu, "Saya tidak melihat sesiapa pun yang melintasi
kawasan rumah saya ini kecuali awak semua. Saya juga tidak pernah kenal dan
dengar nama orang yang awak sebut-sebutkan tadi".
"Ke mana pula Nabi Muhammad
dan rombongannya pergi? Ini adalah tempat yang patut dilaluinya sebelum dia
lari ke Madinah. Tidak ada jalan lain lagi yang boleh dilaluinya," kata
ketua pemuda Quraisy itu.
Kumpulan pemuda Quraisy menjadi
bertambah bingung. Mereka tidak tahu kemana arah dan jalan yang digunakan oleh
Nabi Muhammad dan rombongannya. Akhirnya mereka mencari rombongan Nabi Muhammad
ke arah yang lain.
"Syukur alhamdulillah mereka
tidak syak kepada saya. Saya adalah pengikut Nabi Muhammad," bisik Ummu
Ma'bad sendirian.
Ummu Ma'bad seorang yang cerdas
dan pintar. Beliau hidup sehingga zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5a2qQ7y2q
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan