ARKIB : 18/05/2010
UMMU Abd binti Abd. Wadd bin
Suway al-Hazaliyah adalah ibu kepada Abdullah bin Masud. Dia lebih dikenali
dengan panggilan Ummu Abdullah.
Abdullah bin Masud adalah sahabat
Nabi Muhammad yang pintar dan cerdas. Dia merupakan orang pertama yang membaca
al-Quran dengan kuat di Mekah.
Ummu Abdullah merupakan seorang
ibu yang pandai mendidik anaknya. Berkat didikan seorang ibu, Abdullah menjadi
seorang anak yang jujur, amanah, pintar dan baik budi pekertinya.
Pada suatu hari, datang Nabi
Muhammad dan Abu Bakar ke tempat Abdullah berada. Pada masa itu dia masih kecil
dan mengambil upah mengembala kambing milik Uqbah bin Abi Muith.
Nabi Muhammad dan Abu Bakar telah
dikejar oleh orang kafir Quraisy. Tiba-tiba mereka berasa penat dan ingin
berhenti rehat. Mereka terasa lapar dan dahaga. Ketika itu mereka ternampak
seorang anak kecil, iaitu Abdullah sedang menggembala kambing.
Abu Bakar segera ke tempat
Abdullah lalu bertanya: "Wahai budak kecil, adakah sedikit susu untuk kami
minum. Kami berdua berasa lapar dan dahaga."
Lantas Abdullah menjawab:
"Kambing ini telah diamanahkan kepada saya untuk menjaganya. Saya tidak
mempunyai hak untuk memberi tuan berdua minum susu kambing ini. Maafkan
saya."
"Bagus sungguh budi pekerti
budak ini. Dia seorang yang jujur dan amanah," bisik Abu Bakar sendirian.
Nabi Muhammad pergi menghampiri
Abdullah lalu bertanya: "Wahai anak kecil, adakah awak mempunyai seekor
kambing betina yang belum berkahwin dengan kambing jantan."
Abdullah pun menjawab: "Ada.
Saya ada seekor kambing betina yang masih muda. Nanti saya bawakan kambing itu
kepada tuan."
Abdullah segera mengambil kambing
betina lalu menyerahkan kepada Nabi Muhammad. Nabi mengusap puting kambing
betina itu lalu berdoa dengan beberapa ayat al-Quran. Dengan izin Allah,
kantung susu kambing itu mulai penuh.
"Tuan, biar saya sahaja yang
perah susu kambing itu," kata Abu Bakar kepada Nabi Muhammad.
Kemudian Abu Bakar mengambil
sebuah bekas bagi menampung susu kambing itu. Abu Bakar minum susu kambing
tersebut sehingga puas. Kemudian dia memberikan Nabi Muhammad minum susu
kambing itu.
"Lega rasanya selepas
menikmati susu kambing ini. Rasa bertenaga kembali badan saya ini," kata
Abu Bakar.
Nabi Muhammad tersenyum melihat
gelagat Abu Bakar.
"Alhamdulillah, dapat juga
kita minum susu kambing ini. Semoga Allah merahmati rezeki yang kita dapat pada
hari ini," kata Abu Bakar kepada Nabi Muhammad.
"Wahai anak kecil, saya
ucapkan terima kasih kepada awak kerana memberikan kami susu dari kambing betina
itu tadi. Awak seorang budak yang baik," kata Abu Bakar kepada Abdullah.
Sebentar kemudian, Abdullah
datang menghampiri Nabi Muhammad. Abdullah pun bertanya: "Wahai tuan,
bolehkah tuan ajar kepada saya ayat-ayat al-Quran?"
Kemudian Nabi Muhammad pun
berkata kepada Abdullah: Sesungguhnya awak adalah budak yang pintar."
Akhirnya Abdullah diajar membaca
70 surah. Dia terus menghafal kesemua surah tersebut dengan baik.
"Terima kasih kerana
mengajar saya membaca al-Quran," kata Abdullah.
Ekoran didikan sempurna yang
diberikan kepada Abdullah, Nabi Muhammad begitu menghormati Ummu Abdullah.
Sifat mereka anak-beranak menjadi
perhatian dan pujian Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad pernah berkata:
"Sesiapa yang ingin membaca al-Quran seperti mana ia diturunkan, maka
ikutilah bacaan Abdullah bin Masud."
Ummu Abdullah sangat beruntung
kerana menjadi ibu kepada seorang sahabat Nabi Muhammad.
Sepanjang hidupnya, dia juga
mendapat penghormatan dari khalifah Umar al-Khattab.
Peristiwa itu berlaku semasa
majlis pengkebumian anak Ummu Abdullah iaitu Utbah bin Masud.
Umar al-Khattab sanggup menunggu
kedatangan Ummu Abdullah sebelum jenazah anaknya disembahyangkan. Ummu Abdullah
meninggal dunia pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5a8pSMnQU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan