YUKABID adalah ibu kepada Nabi
Musa. Yukabid mengandungkan Musa ketika Firaun memerintahkan anak lelaki kaum
Bani Israel dibunuh kerana bimbang anak lelaki akan menentang dan mengambil
kekuasaannya.
Suatu ketika, Yukabid mendengar
perintah Firaun itu. Alangkah sedihnya hati Yukabid kerana dia sedang sarat
mengandung waktu itu. Yukabid terpaksa bersembunyi sahaja di rumah agar
kandungannya tidak diketahui orang.
Sehinggalah tiba masanya, Yukabid
pun melahirkan anaknya. Alangkah terkejutnya dia apabila anak yang
dilahirkannya itu adalah anak lelaki.
Walaupun berasa takut dengan
perintah Firaun, seboleh-bolehnya dia mahu mempertahankan nyawa anaknya itu.
Dia tidak mahu anaknya itu menjadi korban undang-undang yang diperintahkan oleh
Firaun yang zalim dan kejam.
Yukabid berjaya merahsiakan
kelahiran Musa selama tiga bulan daripada pengetahuan Firaun dan
tentera-tenteranya.
Walau bagaimanapun, hatinya tidak
pernah tenteram melihat anaknya yang semakin membesar. Dia risau akan
keselamatan Musa. Dalam kerisauan itulah, Allah Yang Maha Berkuasa telah
memberi ilham kepada Yukabid agar membuat sebuah peti. Lalu Allah SWT
memerintahkan agar Musa dimasukkan ke dalam peti dan dihanyutkan ke Sungai Nil.
Dengan hati yang tenang dan
sabar, maka Yukabid pun menghanyutkan Musa ke sungai Nil seperti yang
diperintahkan oleh Allah SWT kepadanya. Peti itu dihanyutkan oleh arus sungai
sehingga sampai ke istana Firaun.
Kebetulan pada hari itu, Asiyah
permaisuri Firaun sedang bersiar-siar bersama dayang-dayangnya. Ketika sedang bersiar-siar
itu, Asiyah menyuruh dayang-dayangnya mengambil sedikit air dari Sungai Nil.
Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati ada sebuah peti di sisi kaki
mereka. Lalu diambil peti itu dan dibawakan kepada Asiyah.
Maka Asiyah terus membuka peti itu
dan dilihatnya da seorang bayi di dalamnya. Apabila melihat akan wajah bayi
itu, timbul rasa cinta dan kasih dalam hatinya terhadap bayi itu. Asiyah
mengambil bayi itu dan dibawanya pulang istana.
Tiba sahaja di istana, Asiyah
meminta keizinan Firaun untuk membela bayi itu. Pada mulanya Firaun tidak
mengizinkan Asiyah mengambil bayi itu tetapi setelah dipujuk, akhirnya Firaun
bersetuju.
Setelah mendengar tangisan
kehausan bayi itu, Asiyah berasa kasihan lalu disuruhnya Firaun mencarikan
seorang wanita yang dapat menyusukan bayi itu. Akan tetapi seorang demi seorang
wanita yang datang untuk menyusukan bayi itu telah ditolak oleh bayi tersebut.
Bayi itu tidak mahu disusukan
oleh mereka sehinggalah berita ini diketahui oleh saudara Musa, Mariam. Lalu
Mariam datang ke istana dan memberitahu kepada dayang-dayang Asiyah bahawa dia
boleh membawakan seorang ibu yang boleh menyusukan bayi itu.
Mendengar sahaja berita daripada
dayang-dayang itu, Asiyah memerintahkan agar bayi itu dibawa ke rumah Yukabid.
Yukabid menyambut anaknya itu
dengan penuh kasih sayang. Bayi itu terus minum susu ibunya sehingga kenyang.
Alangkah seronoknya hati Yukabid. Allah SWT telah mengembalikan anaknya, Musa
kepadanya kerana kesabaran dan ketabahan mengikut perintah-Nya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YbiUzJLW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan