ARKIB : 17/11/2009
HINDUN binti Amru berasal
daripada Bani Salamah. Dia adalah adik-beradik dengan seorang sahabat Nabi
Muhammad iaitu Abdullah bin Amru. Hindun mempunyai sifat berani, berilmu,
tabah, dan sabar.
Dia berkahwin dengan seorang
lelaki yang bernama Amru bin al-Jamuh. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan
empat orang anak iaitu Muaz, Muawiz, Khallad dan Abdurrahman.
Hindun adalah antara wanita yang
masuk Islam ketika Mushab berdakwah di Madinah. Mushab dihantar oleh Nabi
Muhammad bagi mengajak orang Madinah memeluk Islam.
Kedatangan Mushab ke Madinah
disambut baik oleh penduduk Madinah. Hampir seluruh keluarga Hindun turut
memeluk Islam kecuali suaminya. Suaminya tidak suka ahli keluarganya memeluk
Islam. Bagi suaminya kedatangan Mushab ke Madinah adalah salah dan
mengacau-bilau agama nenek moyang mereka.
Bagi memastikan isteri dan
anak-anaknya tidak memeluk agama Islam, Amru telah menasihati mereka.
Amru berkata kepada Hindun,
"Saya dapat tahu Mushab sudah mula menyebarkan agama Islam kepada penduduk
Madinah".
"Saya tidak mahu awak dan
anak-anak terpengaruh dengan kata-kata Mushab," sambung Amru lagi.
Agama yang baik dan benar
Hindun diam mendengar penjelasan
suaminya. Kemudian Hindun berkata, "Awak sepatutnya mendengar dahulu
ajaran Islam yang disampaikan oleh Mushab".
Amru pun berkata, "Tidak ada
faedahnya saya mendengar ajaran Islam yang disampaikan oleh Myshab. Sudah
terbukti agama nenek moyang kita lebih baik daripada agama Islam".
Amru menyentuh patung berhala
yang diberi nama Manat yang terdapat di rumahnya. Patung berhala itu diperbuat
daripada kayu. Hindun cuba memujuk suaminya supaya menerima ajaran Islam.
Hindun berkata, "Agama Islam
adalah agama yang baik dan benar. Cuba awak dengar dahulu penjelasan dari anak
awak. Anak kita sudah mendengar ajaran yang disampaikan oleh Mushab".
"Rupa-rupanya dalam diam
anak kita sudah memeluk agama Islam. Anak tidak kenang budi!" kata Amru
dengan nada tinggi.
"Dia mencari kebenaran dan
petunjuk hidupnya," kata Hindun.
Setelah puas dipujuk oleh Hindun
akhirnya Amru dengan rela hati mendengar keindahan ayat-ayat al-Quran yang
dibacakan oleh anaknya. Berkat doa Hindun pintu hati suaminya terbuka dan
menerima agama Islam.
Selepas Amru memeluk Islam
bermakna seluruh keluarganya sudah memeluk agama Islam. Hindun adalah isteri
yang tabah dalam menghadapi cabaran hidup.
Semasa Perang Uhud, suaminya yang
berkaki pincang itu bersemangat ingin mengikuti Nabi Muhammad berperang di
Bukit Uhud.
Anak-anaknya melarangnya kerana
keadaan dirinya yang tidak mengizinkan. Namun Amru bersemangat dan berjumpa
dengan Nabi Muhammad.
Amru berkata kepada Nabi
Muhammad, "Wahai tuan, anak-anak saya tidak mengizinkan saya berperang d
bukit Uhud. Saya ingin ikut bersama tuan. Saya ingin berjihad di jalan
Allah".
Lantas Nabi Muhammad berjumpa
dengan anak-anak Amru lalu berkata, "Awak semua tidak berhak melarang ayah
awak ikut berperang di bukit Uhud. Semoga Allah memberikan dia syahid dalam
perang Uhud ini".
Akhirnya, Amru bin al-Jamuh
antara pasukan tentera Islam yang awal terkorban. Selain daripada itu anaknya
yang bernama Khallad dan saudara kandungnya iaitu Abdullah bin Amru juga turut
terbunuh.
Berita kematian suami, anak dan
saudara kandungnya itu diterima dengan hati yang reda dan tenang. Jenazah
mereka akhirnya dikebumikan di Uhud.
Sifat berani Hindun terserlah
apabila dia sendiri berjihad di medan perang Khaibar. Dia telah ikut serta
bersama angkatan tentera Islam bagi menentang musuh.
Hindun adalah pahlawan wanita
yang sanggup bertarung nyawa demi tuhannya Yang Maha Esa. Dia pernah meminta
Nabi Muhammad mendoakan dirinya.
Hindun berkata, "Wahai Nabi
Muhammad, tolong doakan semoga saya dapat di tempatkan di syurga kelak".
Sepanjang hidupnya Hindun sering
melakukan amal ibadah dengan ikhlas kepada Allah
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5Ycs8RBif
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan