ARKIB : 02/11/2009
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN
SOFA, NEGERI SEMBILAN
PERARAKAN sempena Maulidur Rasul
adalah antara cara memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW.
RATA-RATANYA masyarakat Islam
keliru mengenai apakah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah terhadap ahli
keluarga Nabi SAW. Kekeliruan ini membuatkan ramai di kalangan kita tidak mahu
menyentuh permasalahan mengenai hak-hak Ahli Bait barangkali kerana khuatir
terlibat dengan fahaman puak Syiah dan Rafidhah.
Sebahagian yang lain menganggap
ia bukanlah suatu permasalahan yang penting untuk diambil berat dan
diperbahaskan dengan panjang lebar.
Walau apa pun alasannya,
perbuatan dan perkataan salafussoleh serta ulama telah bersalahan dengan
pendirian mereka. Pendapat salaf juga menjadi bukti dan hujah bahawa mereka
tidak pernah meletakkan perbahasan mengasihi Ahli Bait sebagai perkara
sampingan dan hal remeh-temeh.
Sebabnya, mereka sedar dengan
sebenar-benar kesedaran bahawa mencintai dan memuliakan ahli keluarga Nabi SAW
adalah perintah yang wajib dijunjung walau di mana mereka berada.
Secara umumnya perintah memulia
dan mencintai ahli keluarga Nabi SAW termaktub di dalam firman Allah SWT yang
bermaksud: Katakanlah (Wahai Nabi Muhammad): Bahawa aku tidak meminta sebarang
upah di atas seruan dakwahku ini melainkan agar kalian mencurahkan rasa kasih
sayang terhadap al-Qurba (kaum kerabat Rasulullah SAW). (as-Syuura: 23)
Demikian juga diriwayatkan dalam
banyak hadis mengenai tuntutan mencintai dan memuliakan Ahli Bait seperti sabda
Nabi SAW yang bermaksud: Aku ingatkan kamu kepada Allah (agar mencintai dan
memuliakan) ahli keluargaku. (riwayat Muslim, Tarmizi, al-Nasa'i, Ahmad dan
al-Hakim).
Di dalam hadis yang lain pula
Baginda SAW bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya aku tinggalkan buat kalian
dua bekalan iaitu Kitabullah dan keturunanku Ahli Bait. Sesungguhnya Allah Yang
Maha Pelembut dan Maha Mengetahui telah memberitahuku bahawa kedua-duanya tidak
akan berselisih sehinggakan kedua-duanya masuk ke syurga, maka lihatlah
bagaimana kalian melanjutkan kepimpinanku terhadap dua perkara ini".
(Dikeluarkan oleh al-Haytami dalam Majma' al Zawaid)
Daripada dalil-dalil di atas,
nyatalah kepada kita bahawa mencintai dan memuliakan Ahli Bait adalah merupakan
perintah yang terbit dari pelita al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Salafussoleh dan Ahli Bait
Para salafussoleh r.a tidak
membiarkan firman Allah SWT dan hadis-hadis yang terlalu banyak menekankan peri
pentingnya mencintai dan memuliakan Ahli Bait sebagai kalam yang sia-sia.
Mereka telah mempraktikkan semua ini sepanjang kehidupan mereka dan menyemai
rasa kasih dan penghormatan terhadap Ahli Bait ke dalam hati anak-anak mereka
sejak kecil lagi.
Saidina Abu Bakar al Siddiq r.a
pernah berkata: "Demi jiwaku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, aku lebih
suka menyambungkan silaturrahim dengan kerabat Rasulullah SAW daripada
kerabatku. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Saidina Umar ibn al-Khattab r.a
pula pernah menyatakan kepada Saidina Abbas r.a dengan katanya: "Demi
Allah! Keislaman kamu pada hari kamu memeluk Islam lebih aku sukai daripada
pengislaman al-Khattab (iaitu bapanya), kerana keIslaman kamu lebih dikasihi
oleh Rasulullah SAW daripada pengislaman al-Khattab". (riwayat Ibnu Saad
di dalam al-Tobaqat).
Demikian juga perbuatan Saidina
Zaid ibn Thabit r.a yang mencium tangan Ibnu Abbas r.a lalu berkata:
"Beginilah kami diperintahkan agar menghormati ahli keluarga Nabi
kami".
Seorang cucu Rasulullah SAW yang
bernama Abdullah ibn Hasan ibn Hasan berkata: "Aku telah datang menemui
Umar ibn Abdul Aziz dengan membawa hajatku. Maka dia berkata kepadaku:
Sekiranya kamu mempunyai sebarang hajat, maka utuskanlah seorang utusan
kepadaku dan tulislah hajatmu itu kerana aku malu kepada Allah tatkala
melihatmu berada di depan pintu rumahku".
Kecintaan Imam Mazhab Terhadap
Ahli Bait
Imam-imam mazhab fiqh yang
muktabar juga sentiasa meletakkan kedudukan Ahli Bait di tempat yang selayaknya
seperti yang telah diperintahkan oleh Allah dan rasul-Nya.
Mereka hidup bergaul dengan
zuriat Baginda SAW yang mendiami kota Madinah, Mekah dan bumi Syam dengan
pergaulan yang baik, penghormatan dan kasih sayang demi meraih keredaan nenda
mereka, Rasulullah SAW.
Imam Abu Hanifah r.a adalah di
antara imam-imam Ahli Sunnah yang begitu mengasihi ahli keluarga Nabi SAW.
Beliau telah berfatwa agar umat Islam memberikan wala' (kesetiaan), melazimi
dan mentaati Saidina Ibrahim ibn Abdullah ibn al-Hasan ibn al-Hasan al-Muthanna
ibn Ali r.a. Fatwanya ini menyebabkan beliau dipenjara tetapi diuar-uarkan
bahawa beliau dihukum penjara kerana menolak jawatan kadi yang ditawarkan
kepadanya.
Imam Malik ibn Anas r.a juga
telah memuliakan dan berfatwa agar umat Islam memberi ketaatan kepada Saidina
Ibrahim ibn Zaid ibn Ali Zain al-Abidin ibn al-Husain ibn Ali r.a. Lantaran
daripada itu, beliau dipenjarakan selama beberapa tahun.
Imam Muhammad ibn Idris al-Syafie
pula adalah di kalangan imam yang paling tebal kecintaannya terhadap ahli
keluarga Nabi SAW. Beliau menegaskan di dalam serangkap syairnya yang
bermaksud: "Sekiranya mencintai ahli keluarga Nabi SAW menjadikan
seseorang itu digelar Rafidhah, maka saksikanlah wahai manusia dan jin bahawa
aku adalah Rafidhah".
Di dalam sebuah syairnya yang
lain beliau menyatakan: "Wahai Ahli Bait Rasulullah! Cinta terhadap kalian
adalah satu kewajipan di dalam al-Quran yang diturunkan Allah, Cukuplah bukti
betapa tingginya kedudukan kalian, sesiapa yang tidak bersalawat ke atas kalian
di dalam solat, maka tidak sempurnalah solatnya".
Diriwayatkan oleh muridnya
bernama al-Rabi' bahawa: Ketika kami pergi mengerjakan haji bersama Imam Syafie
r.a, kami melihat beliau tidak akan mendaki suatu tempat yang tinggi atau turun
ke kawasan lembah, melainkan beliau akan menangis dan mendendangkan syairnya
yang bermaksud: "Ahli keluarga Nabi adalah perisaiku dan mereka adalah
wasilahku kepada Allah, aku berharap kelak dengan keberkatan mereka, agar
diserahkan sahifah (catatan amalan) di tangan kananku".
Mencintai Ahli Bait di sisi Ahli
Sunnah Wal Jamaah
Sesungguhnya Ahli Sunnah Wal
Jamaah adalah kelompok umat Islam yang paling benar dan tepat dalam
mempersembahkan kasihnya terhadap ahli keluarga Nabi SAW.
Kecintaan mereka pada hakikatnya
berbeza dengan pegangan kaum Syiah yang bersifat melampau dalam mengagungkan
Ahli Bait. Kecintaan mereka yang berpaksikan kepada al-Quran dan Sunnah ini
merumuskan kepada kita kepada beberapa perkara:
lAhli Sunnah mewajibkan
pengikutnya mencintai dan memuliakan semua Ahli Bait dan sahabat-sahabat
Baginda SAW kerana tanda kasih yang tulus terhadap Nabi SAW ialah dengan
mengasihi dan memuliakan Ahli Bait dan para sahabat baginda.
lAhli Sunnah berlepas diri (tiada
kena mengena) dengan jalan orang yang melakukan pelampauan ke atas keluarga
Nabi SAW seperti mana amalan kaum Rafidhah yang tercela.
lAhli Sunnah memuliakan
isteri-isteri Nabi SAW serta mendoakan agar Allah SWT meredai mereka setiap
kali disebut nama-nama mereka. Pemilihan mereka sebagai isteri adalah dari
perbuatan Nabi SAW yang maksum. Sekiranya kita mencerca mereka seperti amalan
kaum Syiah, secara tidak langsung kita mempertikaikan kemaksuman Rasulullah
SAW.
lAhli Sunnah menyifatkan Ahli
Bait sebagaimana yang disyariatkan dan digariskan oleh al- Quran dan Sunnah,
bukan mengasihi mereka untuk menjayakan syiar dan muslihat politik seperti mana
amalan kaum Syiah.
lAhli Sunnah tidak mengiktikadkan
bahawa Ahli Bait adalah maksum, bahkan mereka juga manusia biasa yang tidak
terlepas dari melakukan dosa sebagaimana manusia yang lain.
lAhli Sunnah beriktikad bahawa
perkataan dan pendapat yang menyebut tentang kelebihan atau kemuliaan Ahli Bait
tidaklah bermaksud melebihkan mereka pada setiap keadaan atau setiap orang.
Bahkan dari beberapa sudut yang lain terdapat individu-individu lain yang lebih
afdal daripada mereka.
Demikian juga terdapat banyak
kitab karangan ulama fiqh, hadis dan tafsir mengenai gesaan mencintai dan
memuliakan ahli keluarga Nabi SAW. Di antara mereka ialah al-Hafiz Jalaluddin
al-Suyuti r.a.
Beliau telah menulis sebuah
risalah bertajuk Ihya' al-Mayyit Bi Fadhail Aalil Bait yang menghimpunkan 60
buah hadis yang membicarakan tentang tuntutan mengasihi, keutamaan dan
kelebihan ahli keluarga Nabi SAW.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5Yc0crHqx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan