ARKIB : 13/11/2009
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Al-Qurtubi berkata: "Imam
al-Zuhri menyebut bahawa syaitan bertempik pada hari peperangan Uhud dengan
meuar-uarkan bahawa Muhammad telah terbunuh hingga menyebabkan sahabat merasa
lemah dan patah semangat."
Kata Ka'ab bin Malik: "Aku
orang yang pertama melihat Rasulullah SAW dengan dua mataku seraya menyeru
dengan suara yang lantang: Ini Rasulullah SAW, kemudian Baginda mengisyaratkan
kepadaku supaya diam, lantas turunnya ayat ini."
Iktibar dan fiqh ayat 148:
i. Ibn Kathir berkata: "Ayat
ini memberi maksud berapa banyak para nabi dan para sahabatnya yang mati
terbunuh." Inilah pilihan Ibn Jarir.
ii. Ibn Kathir juga berkata:
"Pendapat tersebut menjadi pilihan Ibn Jarir, kerana dia berkata: Ada pun
orang-orang yang membaca firman Allah yang bermaksud: Berapa ramai Nabi yang terbunuh
bersama sejumlah besar sahabat mereka.
"Ini kerana mereka
berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan terbunuhnya Nabi dan sebahagian
sahabat yang ikut bersamanya adalah bukan kesemuanya. Sedangkan bukan kelemahan
itu ditujukan kepada para pengikutnya yang tidak terbunuh."
Seterusnya dia berkata lagi:
"Orang yang membaca Qaatala (berperang), ia memilih hal tersebut kerana ia
berkata: Seandainya mereka terbunuh, maka tidak ada firman Allah yang
bermaksud: Mereka yang tidak lemah. Yang demikian itu jelas, kerana suatu hal
yang mustahil bahawa mereka disifatkan dengan tidak lemah setelah mereka
terbunuh."
iii. Al-Qurtubi berkata:
"Menjadi kewajipan ke atas manusia beramal apa yang ada dalam kitab Allah
dan sunnah yang sahih untuk berdoa dan meninggalkan yang lain yang tidak
sewajarnya seseorang berkata: Saya pilih begini sedangkan Allah telah pilih
untuk nabi dan walinya bagaimana cara mereka berdoa."
iv. Al-Maraghi juga berkata:
"Ramai para nabi yang keluar berperang dengan disertai oleh pengikut-pengikut
mereka. Mereka adalah orang yang menjadi pembawa petunjuk dan para guru agama,
bukan menjadi pendeta-pendeta yang disembah.
"Mereka tidak mudah menjadi
lemah, apabila ada di kalangan mereka yang luka atau terbunuh, biarpun yang
terbunuh itu nabi mereka sendiri. Sebab mereka berperang semata-mata di jalan
Allah SWT, bukan di jalan nabi mereka.
"Mereka menyedari bahawa
nabi hanyalah orang yang menyampaikan ajaran Tuhannya dan memberi petunjuk
kepada umatnya."
v. Hamka berkata: "Banyak
diceritakan kepada kita di dalam al-Quran tentang perjuangan Nabi-nabi
terdahulu menegakkan agama dalam kalangan kaumnya dan kita mengetahui bagaimana
kebiasaan kaum yang menentang itu."
Maka ayat ini memberikan bayangan
kepada kita, bahawasanya di samping kaum yang menentang, ada juga yang setia,
sehidup semati dengan Rasul dan menerima apa sahaja yang diajarkan serta
bersedia menimpa pelbagai musibah dan dugaan kerana menegakkan kebenaran. Tidak
pernah mengeluh, lemah dan patah semangat.
vi. Quraish Shihab berkata:
"Ayat ini masih merupakan lanutan kecaman. Kali ini dengan membandingkan
keadaan mereka dengan umat-umat terdahulu. Dan berapa banyak bermaksud nabi
yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar daripada pengikutnya yang bertaqwa
yang juga luka dan terbunuh sebagaimana yang kamu alami wahai kaum muslimin di
Uhud.
"Mereka tidak menjadi lemah
dan lesu iaitu mental mereka tidak mengendur dan tidak menyerah diri kepada
musuh, atau berusaha meminta perlindungan kepada mereka sebagaimana mereka yang
lemah imannya setelah ditimpa malapetaka di Uhud yang mengusulkan agar meminta
perlindungan kepada tokoh musyrik ketika itu iaitu Abu Sufyan.
"Allah SWT menyukai dan
memberi anugerah kepada orang-orang yang sabar dan tabah dalam melaksanakan
kewajipan, menderita ujian serta dalam peperangan menghadapi musuh."
vii. Al-Sonhaji berkata:
"Terlalu ramai Nabi pada zaman dahulu yang berperang dan diikuti oleh
orang-orang yang beriman dengannya.
"Mereka menganggap para Nabi
itu sebagai guru yang membawa petunjuk kepada mereka, bukan sebagai orang yag
diagung-agungkan untuk disembah.
"Mereka tidak takut
sekiranya ada di antara mereka yang luka atau terbunuh dalam peperangan
walaupun yang terbunuh itu Nabi mereka sendiri kerana mereka berperang kerana
Allah bukan kerana Nabi, kerana Nabi itu hanya menyampaikan perintah dari
tuhannya untuk membimbing umatnya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah
al-An'am ayat 48 yang bermaksud: Tiadalah Kami (Allah) utuskan Rasul-rasul itu
melainkan untuk memberi khabar kegembiraan dan khabar ancaman."
Iktibar dan fiqh ayat 147:
i. Qatadah dan al-Rabi' bin Anas
berkata: "Mereka tidak lesu atas kematian Nabi mereka, sedangkan firman
Allah SWT yang bermaksud: Serta tidak pula menyerah."
Qatadah berkata lagi: "Mereka
tidak mundur dari usaha memenangkan perang dan membela agama mereka. Tetapi
mereka terus memerangi apa yang diperangi Nabiyullah sehingga mereka menghadap
Allah SWT (menemui ajal)"
ii. Al-Maraghi berkata:
"Ayat ini mengisyaratkan bahawa dosa dan perbuatan melampaui batas menjadi
punca kepada kehinaan. Sedangkan unsur-unsur ketaatan, keteguhan dan istiqamah
menjadi sebab untuk mereka memperoleh kemenangan dan kejayaan.
"Oleh itu, mereka menadah
tangan memohon kepada Allah SWT agar hati mereka dibersihkan daripada sebarang
dosa dan diberi taufik agar tetap teguh ketika hati mereka diuji.
"Allah SWT menyatakan
berkenaan dengan perkataan doa yang diucapkan mereka ini, bukan atas dasar
takut yang dialami mereka dalam menghadapi musuh tetapi tujuan sebenarnya untuk
menyindir sahabat-sahabat nabi yang bercita-cita untuk melarikan diri dari
Perang Uhud."
iii. Hamka berkata: "Pada
ayat di atas diberikan kunci kemenangan, iaitu sabar. Kemudian datang ayat ini
sebagai lanjutan. Iaitu ayat tentang orang-orang yang telah menyatakan setia
dan bersandar teguh kepada Allah SWT di samping Nabi mereka yang tercinta.
"Mereka tidak patah semangat
kerana percubaan, tidak menjadi lesu dan berdiam diri, melainkan sabar
menantikan hasil perjuangan, kemudian mereka memohon ampun jika mereka
melakukan dosa."
iv. Quraish Shihab berkata:
"Pada ayat ini dijelaskan sikap batin yang dicerminkan oleh ucapan-ucapan
mereka.
"Ini menunjukkan bahawa
walau ujian sedemikian berat, tetapi mereka tetap tabah, sehingga mereka tidak
goyah pendirian, tidak pula mengucapkan kecuali kalimat-kalimat yang wajar dan
permohonan yang sesuai. Kerana mereka berhati-hati, khuatir apa yang mereka
alami itu adalah akibat daripada dosa dan kesalahan mereka."
Iktibar dan fiqh ayat 148:
i. Al-Qurtubi berkata:
"Pahala di dunia ialah kemenangan dan boleh mengalahkan musuh sedangkan
pahala di akhirat iaitu dengan syurga."
ii. Al-Maraghi berkata: "Allah
SWT menyukai mereka kerana melaksanakan segala peraturan di dunia dan
dicernakan sama ada di dalam tindakan mereka, sebagai orang yang layak menjadi
khalifah Allah SWT di bumi.
Perbuatan yang dilakukan oleh
mereka hanyalah untuk mencari keredaan Allah SWT. Mereka bertindak demikian
demi untuk memperoleh kurnia keredaan Allah SWT. Dalam ayat ini dijelaskan
susunan pemberian ganjaran seperti berikut:
*Pemberian taufik terhadap mereka
yang taat.
*Pemberian pahala kerana
ketaatannya.
*Pemberian pujian, sebab mereka
tergolong dalam golongan yang melakukan kebaikan.
iii. Hamka berkata: Ayat ini
menjelaskan bahawa permohonan mereka akhirnya dimakbulkan oleh Allah SWT
setelah mereka memenuhi syarat-syarat berikut:
*Tidak mengeluh kerana dugaan.
*Tidak lesu dan patah semangat.
*Tidak mundur.
*Sabar menanti hasil perjuangan.
*Sentiasa mengadakan muhasabah
terhadap dosa yang dilakukan.
*Selalu memohon pertolongan
kepada Allah SWT.
Dengan memenuhi keenam syarat
ini, ganjaran Allah SWT pasti datang. Permohonan mereka tidak disia-siakan.
Mereka diberikan kebahagiaan di dunia iaitu kemerdekaan dan mendapat
kebahagiaan di akhirat kelak.
iv. Quraish Shihab berkata: Ayat
ini menggambarkan sambutan Allah SWT atas permohonan mereka. Mereka ikhlas dan
tulus berdoa, mengharapkan pertolongan Allah SWT bersungguh-sungguh dalam
berjuang dan taat kepada Allah dan Rasul.
Maka kerana itu, Allah SWT
menganugerahkan mereka pahala di dunia berupa kemenangan, ketenangan dan nama
yang baik yang tidak dapat dilukiskan dengan kata-kata.
v. Al-Sonhaji berkata: Sebaik-baik
pahala di akhirat ialah syurga dan kenikmatan abadi yang ada di dalamnya.
Pahala tersebut tidak akan berkurang sedikit pun bahkan melebihi pahala yang
diterima di dunia.
Allah mengasihi orang yang
berbuat baik iaitu orang yang menegakkan peraturan Allah di bumi-Nya dengan
amalan-amalan yang didasarkan daripada perintah Allah dan kerana Allah SWT.
Semoga kita menjadi golongan yang
benar-benar mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YcRM2OsV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan