ARKIB : 16/10/2009
NABI Yusuf ingin hidup tenang dan
tenteram di rumah pembesar Mesir. Baginda mendapat sepenuh kepercayaan daripada
majikannya untuk menguruskan segala hal-hal rumah tangga mereka dengan penuh
keikhlasan, kejujuran tanpa mengharapkan balasan dan sebagainya.
Pertumbuhan fizikal dan mental
Nabi Yusuf menjadi seorang pemuda yang cukup tampan dan gagah telah menarik
perhatian isteri pembesar Mesir tersebut.
Zulaikha sangat tertawan melihat
ketampanan Yusuf. Dia selalu menggoda Yusuf dengan pelbagai cara sama ada
secara terang ataupun tersembunyi. Pantang ada kesempatan, maka akan digunakan
oleh Zulaikha dengan sepenuhnya.
Setiap hari dia akan berpakaian
cantik dan memakai wangi-wangian semata-mata untuk menggoda Nabi Yusuf agar
terpikat kepadanya.
Perbuatan dan tingkah laku
Zulaikha yang selalu menggoda Yusuf itu lama-kelamaan menjadi buah mulut
penduduk Mesir.
Sebagai isteri kepada orang yang
sangat berpengaruh, Zulaikha terasa sangat teruji dan malu dengan perbuatannya
sendiri. Dia pun merancang satu strategi untuk menutup perbuatannya.
Pada suatu hari, dia telah
memanggil rakan-rakannya yang terdiri daripada isteri-isteri pembesar dan
kaum-kaum wanita yang berpengaruh di daerah itu untuk menjamu mereka di
rumahnya.
Setiap tetamu yang datang akan
diberikan tempat duduk yang sangat selesa kepada mereka dan dihidangkan dengan
makanan yang lazat serta sebilah pisau setiap seorang untuk memotong makanan
itu.
Apabila semua tetamu telah
sampai, Zulaikha pun mempersilakan mereka makan.
Sedang tetamu-tetamunya asyik
makan, Zualikha memerintahkan Nabi Yusuf supaya keluar dan berjalan di hadapan
mereka. Nabi Yusuf pun keluar dan berjalan dari bahagian hadapan hinggalah ke
belakang meja itu.
Para wanita yang melihatnya
terdiam seketika dan terngangalah mulut masing-masing. Mata mereka bulat
memerhatikan ketampanan Yusuf. Tidak kurang juga ada yang menjerit kerana
terkejut. Lagipun seumur hidup mereka sebelum ini tidak pernah melihat orang lelaki
setampan Nabi Yusuf.
Oleh sebab terlampau terkejut dan
terpukau dengan ketampanan Nabi Yusuf, mereka telah memotong jari masing-masing
sehingga luka. Sesungguhnya apa yang terjadi itu adalah di luar kawalan mereka.
Zulaikha memerhatikan mereka
dengan perasaan suka hati. Dia pun bertepuk tangan dan mengarahkan Nabi Yusuf
masuk ke dalam bilik semula. Setelah Nabi Yusuf hilang daripada pandangan,
barulah wanita-wanita itu tersedar daripada lamunan dan mula menyedari tangan
masing-masing telah terluka.
"Sesungguhnya apa yang kami
lihat itu tadi bukanlah manusia tetapi malaikat," kata mereka. Zulaikha
pun berkata: Kamu telah melukai tangan masing-masing, padahal kamu hanya
melihatnya sekali sahaja. Tetapi aku melihatnya setiap hari, daripada usianya 12
tahun sehinggalah dia menjadi pemuda yang tampan begini. Jadi salahkah aku
kerana menyukainya?"
Pelbagai nasihat yang diberikan
oleh wanita-wanita itu tadi supaya Nabi Yusuf menerima cinta Zulaikha. Jika
menerima cinta Zulaikha, Yusuf akan mendapat kesenangan hidup dan pelbagai
ganjaran yang lain. Namun begitu kata-kata nasihat yang diberikan tidak menarik
minat di hati Nabi Yusuf.
Baginda berdoa kepada Allah agar
dirinya ditetapkan iman dan tidak terpengaruh dengan godaan wanita-wanita itu.
"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku lebih rela dipenjarakan kerana sekiranya
berada di luar aku bimbang akan terpaksa menurut hawa nafsu wanita-wanita itu.
Lindungilah aku wahai Tuhanku daripada rayuan dan tipu daya mereka," ucap
baginda.
Pembesar Mesir mengetahui hal
itu, tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa. Demi menyelamatkan keadaan, dia
telah menurut kata isterinya supaya memenjarakan Nabi Yusuf. Akhirnya tinggallah
Nabi Yusuf dalam penjara.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5YalTwItE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan