Ahad, 2 Disember 2018

Diseksa kerana Muslim


ARKIB : 19/10/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

penderaan terhadap umat Islam hari ini seperti tiada beza yang dialami oleh umat Islam terdahulu yang memerlukan kita perlu bertahan, bersabar dan mencari jalan keluar. - Gambar hiasan

SEKSAAN terhadap kaum muslimin Mekah di awal penyebaran agama itu berlaku tanpa kemampuan mana-mana pihak dapat menghalangnya. Ditambah seksaan itu menimpa dari satu mangsa ke mangsa yang lain, tanpa henti dan kebanyakannya golongan bawahan, miskin, hamba dan lemah.

Berbanding jika yang memeluk Islam itu terdiri dari golongan atasan, mempunyai nama dan kedudukan, golongan kafir Quraisy tidak berani untuk usik mereka kecuali hanya akan disindir dan mengancam akan menerima padah yang buruk sama ada pada perniagaan, harta, nama dan kedudukan.

Nabi Muhammad SAW sendiri misalnya kecuali beberapa nama jahil tegar seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Suffian, golongan kafir Quraisy yang lain tidak berani untuk mendekati baginda untuk tujuan mengganggu. Kecuali mereka akan mengupahnya kepada orang lain untuk menyakiti baginda.

Faktor utamanya disebabkan baginda merupakan anak saudara kepada tokoh besar di Mekah, Abu Talib yang sering mempertahan dan memberikan perlindungan kepada anak saudaranya itu.

Ini menyebabkan ada rasa segan dan hormat terhadap Abu Talib yang selama ini begitu mengambil berat terutama pengurusan Kaabah.

Namun yang jelas kafir Quraisy sedia bertindak kejam terhadap sesiapa sahaja yang cuba meninggalkan persembahan terhadap patung-patung berhala.

Mereka sepatutnya mempertahankan berhala mereka dengan melawan balik hujah-hujah Nabi Muhammad yang berjaya mencelikkan mata mengenai sia-sianya selama ini penduduk Mekah menyembah patung-patung tersebut.

Patung-patung itu kata baginda sama sekali bukannya tuhan yang layak disembah. Tidak sahaja tangan manusia sendiri yang membuatnya, jadi apalah yang 'mampu' dapat dilakukan oleh patung-patung tersebut.

Kalau pun patung tersebut hanyalah satu simbolik atau idola kepada tuhan yang sebenar, namun tuhan tidak memerlukan apa juga objek yang menyerupai atau mewakili-Nya.

Manusia boleh terus mengadu, memohon, mengharap dan menyembah kepada Allah tanpa perlu sebarang perantaraan sama ada melalui objek yang hidup atau mati.

Serta pelbagai hujah baginda yang lain yang tentunya tidak sahaja berjaya membuka pemikiran masing-masing dan tanpa perlu ragu, peluk Islam dan tinggalkan berhala yang 'tidak hidup' itu!

Jika hujah lawanlah dengan hujah, namun tidak kepada kafir Quraisy, mereka memilih untuk bertindak lebih kejam ke tahap yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Selain dari Bilal bin Rabah, mahupun malang yang menimpa keluarga Amar bin Yasir terdapat ramai lagi pengikut Nabi Muhammad yang teruk diseksa seolah-olah mereka itu bukan manusia.

Ini termasuklah nasib yang menimpa Saidina Uthman bin Affan apabila bapa saudaranya sendiri pernah membungkus Uthman dalam tikar yang dijalin dari daun kurma, kemudian dinyalakan api di bawahnya dan disalainya anak saudaranya itu.

Tindakan sekejam ini semata-mata bagi memastikan Uthman kembali kepada ajaran nenek moyang disebabkan keluarga Uthman yang terkenal dengan kekayaan dan bangsawan dikatakan menanggung malu yang besar dengan tindakan Uthman memeluk Islam itu.

Mus'ab bin Umayar yang berasal dari keluarga berada dan kaya pula diusir dari rumah oleh ibunya sendiri apabila mendapat tahu anaknya itu memeluk Islam.

Tidak cukup itu, jangankan dari dirinya sendiri si ibu akan memastikan si anak itu tidak akan dapat bantuan makanan dan minuman dari sesiapa pun. Sanggup dibiarkan si anak itu menanggung kelaparan yang jika tidak diselamatkan boleh menyebabkan Mus'ab jatuh sakit dan akhirnya akan mati kebuluran!

Menderitalah si Mus'ab sehingga kulit badannya mengelupas kekeringan kerana sanggup diseksa sebegitu walaupun sebagai anak beliau sepatutnya tidak derhaka. Tetapi kerana Islam, Mus'ab tetap bertahan sambil memohon kepada Tuhan semoga ibunya diampunkan!

Pengikut nabi seterusnya yang menjadi mangsa kezaliman kafir Quraisy ialah Abu Fakihah atau nama sebenarnya Aflah, seorang hamba sahaya kepada sebuah keluarga Bani Abdul al Dar. Mereka telah mengikat kakinya dengan tali kemudian diseret dan diheret ke sana ke mari di atas apa juga permukaan tanah tanpa sebarang belas kasihan.

Apa yang menimpa Khabbab bin al Aratt pula yang juga seorang hamba kepada Ummu Anmar binti Khuzaah juga tidak kurang kejamnya. Beliau berjaya ditangkap oleh kaum Musyrik Mekah yang kemudian pelbagai seksaan dilakukan terhadap hamba ini.

Ini termasuklah rambutnya dikepal dengan tangan yang kemudiannya direntap dengan sekali rentapan dengan sekuat-kuat tenaga. Tidak cukup seksaan yang sepedih itu, tengkuk dan lehernya telah dipulas dengan sekuat-kuat hati.

Nyawa Khabbab yang masih bertahan menyebabkan si kafir-kafir Quraisy tidak puas hati.

Hamba ini terus diseksa dengan dibaringkan beberapa kali di atas bara api yang diletakkan di atas dadanya dengan seketul batu besar. Bayangkan pedih dan sengsaranya bagi hamba ini untuk menanggungnya.

Kalangan wanita juga turut menjadi sasaran sedangkan kaum ini patutnya dikasihani, dilindungi dan dihormati. Namun nama-nama seperti Zunayrah, Al Nahdiyyah serta anak perempuannya dan Ummu Ubays adalah antara yang teruk diseksa.

Lebih-lebih lagi kebanyakannya terdiri dari golongan hamba, kalangan kaum Musyrikin ini benar-benar hilang kewarasan mereka.

Sebelum memeluk Islam, Omar bin al Khattab adalah antara Musyrik Mekah yang tidak kurang hebat dan kuat menzalimi mereka yang memeluk Islam.

Tambahan pula beliau seorang yang tegas, pemarah dan tidak boleh berkompromi. Salah seorang hambanya telah menjadi mangsa Omar apabila si majikan mendapat tahu hambanya itu memeluk Islam. Omar sangat marah lalu dipukul dan diseksanya si Muammil tanpa henti.

"Aku tidak akan meninggalkan hamba ku ini dari memukulnya tanpa henti kecuali sehingga aku bosan untuk memukulnya," kata Omar.

Dan sebagaimana Omar yang kini kenali, beliau tidak pernah mengenal erti bosan dalam sepanjang hidupnya.

Seorang lagi hamba Amir bin Fuhairah telah dibungkus dalam kulit unta atau lembu. Yang tentunya menyebabkan yang dibungkus kelemasan, kepanasan namun tidak cukup itu mangsa-mangsa seksaan akan dicampakkan ke tengah-tengah padang pasir yang panas membahang.

Jika siangnya dipanah dek terik matahari dan yang malamnya dicengkam kesejukan sehingga ke tulang hitam.

Tidak cukup dibungkus dalam kulit haiwan-haiwan itu, sesetengah mangsa akan dipakaikan baju besi yang kemudiannya dipanggang lagi sama ada di atas api mahu batu besar yang panas.

Senarai mereka yang diseksa sama ada sehingga membawakan kecacatan seumur hidup mahupun mati terseksa adalah dalam satu senarai yang sangat panjang.

Dan tentunya semuanya tidak dapat dirakam oleh sejarah namun menjadikan suasana kehidupan kepada umat Islam ketika itu benar-benar menakutkan dan tidak dijamin keselamatan mereka.

Andai terbocor rahsia pengislaman mereka, maka bersedialah untuk menaruh nyawa. Apa yang mampu dilakukan andai ada yang akan diseksa, mereka saling memberikan semangat, nasihat-nasihat kesabaran dan memastikan masing-masing akan tetap iman.

Namun apa yang dilakukan oleh golongan kafir Quraisy benar-benar melampaui batas kemanusiaan, mereka sanggup memperlakukan apa sahaja apabila kedudukan mereka tergugat dan bimbang pengaruh dan kuasa mereka akan terlepas kepada orang lain. Bukan sangat kerana ramai yang cuba berpaling dari penyembahan berhala.

Namun timbul persoalan mengapa diawal penyebaran Islam ini, tentangan begitu hebat diterima oleh Rasulullah dan para pengikut baginda?

Semua siri-siri kekejaman yang menimpa umat Islam ketika itu memberikan pengajaran kepada kita hari ini mengenai kekentalan dan keutuhan iman mereka walaupun baru mengenal dan memeluk Islam.

Bayangkan jika mereka mengaku kalah terhadap segala seksaan kafir Quraisy, dapatkah itu semua itu menjadi contoh untuk kita ikuti?!

Walaupun teruk mana pun mereka diseksa namun iman tetap dipertahankan, sedikit pun tidak goyah. Walaupun ada cubaan untuk menggelapkan mata dengan tawaran kemewahan, kedudukan dan nama namun semua itu tidak memberi kesan, kecuali Islam adalah agama yang mesti dipertahankan pada diri sendiri.

Maka, bagaimana dengan kita hari ini mampukah mempertahankan iman atas pelbagai 'seksaan' yang bakal mendatang?
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1019&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5Yb6G2j6A
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan