17 OGOS 2016
Zaman Jepun penuh ketakutan
Arifin dan isteri bangga serta beryukur di atas kemerdekaan negara.
Zaman Jepun penuh ketakutan
KANGAR - Pastikan kesusahan dan
keperitan yang lalu tidak berulang lagi di negara kita yang tercinta ini.
Itu pesan Arifin Othman, 76,
ketika ditemui di rumahnya di Taman Behor Latih, di sini, kelmarin.
Arifin yang juga pesara tentera
berkata, dia bersyukur dengan nikmat merdeka yang dirasai sekarang.
Mengimbau kenangan lalu, Arifin
berkata, zaman penjajahan Jepun adalah kenangan pahit buat dirinya.
“Ketika itu saya dan keluarga
menetap di Kampung Bukit Papan, Kuala Perlis dan membesar dengan zaman taklukan
tentera Jepun, di mana pada ketika itu keluarga saya hidup dalam ketakutan dan
tidak bebas melakukan sebarang pekerjaan.
“Seingat saya, ketika saya
berumur 13 tahun, saya nampak tentera Jepun paksa seorang penduduk kampung
panjat pokok nyoq (kelapa).
“Saya kenal orang kampung tu
nama Pak Mat. Tentera Jepun masa tu bawa senapang tapi di hujung senapang ada
pisau panjang yang sangat tajam,” katanya.
Cerita Arifin lagi, walaupun
Pak Mat kata dia tidak pandai panjat pokok, tentera Jepun tetap paksa dengan
menyepak dan menendangnya berkali-kali.
“Masa tu saya takut sangat tapi
nak juga tunggu dan lihat apa yang berlaku.
“Akhirnya tentera Jepun paksa
Pak Mat panjat dengan meletakkan pisau tajam di bawah punggungnya. Kalau Pak
Mat gelongsor, pisau tu akan tertusuk punggungnya.
“Saya pula tak mampu nak tolong
tapi syukur Pak Mat boleh ambil buah nyoq macam yang depa nak,” katanya.
Kadang makan, kadang tak makan
Menurut Arifin, ketika zaman
pemerintahan Jepun, untuk mendapatkan makanan sangat susah.
“Saya dan keluarga makan nasi
sehari sekali sahaja, itu pun kadang
makan dan kadang tak makan,” katanya.
Waktu petang dan malam pula
mereka makan ubi kayu untuk hilangkan lapar.
Kata Arifin, hidupnya
sekeluarga banyak bergantung dengan ubi kayu.
“Kalau makan nasi pun hanya
berlaukkan ikan bendang. Dulu mana nak cari ayam daging,” katanya sambil
berseloroh.
Tambah Arifin, kesusahan zaman
dahulu sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.
“Saya pakai baju koyak dan
jalan sekeliling kampung tanpa pakai kasut,” katanya.
Jepun beli jiwa
Arifin berkata, pemerintah
Jepun pada ketika itu ada memberi sumbangan beras tiga kilogram setiap bulan
untuk menarik hati rakyat.
“Tapi kaedah itu tak cukup
untuk beli jiwa penduduk kampung yang terseksa dengan kewujudan depa.
“Zaman tu kalau nak pi mana pun
tak boleh. Selain itu, kami tak boleh nak berkumpul beramai-ramai dan juga
diharamkan untuk memiliki radio,” katanya.
Tambah Arifin, ketika itu Jepun
akan rasa tergugat sekiranya penduduk mendengar maklumat melalui radio kerana
bimbang akan diserang penduduk.
Hasil perkongsian hidup Arifin
bersama Mahani Rejab, mereka dikurniakan dua anak lelaki yang kini berusia 46
dan 42 tahun.
Selepas merdeka pada 1961,
Arifin memasuki tentera dan berkhidmat sehingga 1986.
“Hidup kini lebih mewah...
kalau nak tukar baju sehari empat kali pun boleh.
“Senang banyak kalau nak
banding dengan zaman dulu, jadi kita harap apa yang kita ada sekarang ni kekal
sampai bila-bila,” katanya.
Katanya lagi, dia amat berharap
rakyat sekarang lebih mentaati pemerintah yang ada.
“Semua pemerintah mahukan yang
terbaik untuk rakyat. Oleh itu, jangan suka-suka buat demonstrasi tanpa
memikirkan kesannya.
“Jangan kerana terlalu ikut
perasaan, kita bakal hilang keamanan dan ketenteraman yang kita miliki
sekarang,” katanya.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 17
OGOS 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan