Khamis, 4 Ogos 2016

Malaysia boikot Moscow 1980

OLEH HARITH NIZAR (SUKAN@UTUSAN.COM.MY)  |  04 Ogos 2016 12:35 AM
SKUAD bola sepak negara sekali lagi memahat sejarah apabila berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat kali kedua pada Temasya Moscow 1980.
Anak-anak buah Karl Heinz Weigang berjaya menumpaskan Korea Selatan 3-0, seri 1-1 dengan Jepun, mengalahkan Brunei 3-1, menumbangkan Indonesia 6-1 dan membelasah Filipina 8-0 di peringkat kumpulan.
Sewaktu menewaskan Korea Selatan di peringkat kumpulan, gol-gol Malaysia dijaringkan oleh ‘King’ James Wong, Khalid Ali dan Abdullah Ali, sementara Cho Gwang-rae gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Malangnya, bintang bola sepak negara tidak berpeluang memperagakan kehebatan dalam kejohanan sebenar apabila Malaysia bertindak memboikot Sukan Olimpik Moscow kerana membantah serangan ke atas bumi Afghanistan.
Jika Temasya Montreal 1976 diboikot 12 buah negara sebagai bantahan terhadap isu Aparteid di Afrika Selatan, jumlah negara yang memboikot Sukan Olimpik 1980 jauh lebih besar dan pemulauan tersebut diketuai oleh ‘Polis Dunia’, Amerika Syarikat.
Namun begitu, kejayaan skuad bola sepak melayakkan diri ke temasya sukan terbesar dunia itu tetap terpahat dalam lipatan sejarah dan dikenang sebagai antara pencapaian terbaik Malaysia. Malah, kisah tersebut dijadikan inspirasi pembikinan filem box office, Ola Bola.
Selepas terpaksa melupakan Olimpik 1980, Malaysia kembali ke pentas sukan antarabangsa itu dengan mengambil bahagian di Los Angeles 1984, di mana kontinjen negara dibarisi 20 atlet yang bertanding dalam 10 acara.
Sandaran kali ini diletakkan kepada atlet renang, Helen Chow dan bintang olahraga Mohd. Nordin Jadi serta Batumalai Rajkumar, selain pasukan hoki dan pelumba basikal, Rosman Alwi.
Bagaimanapun, penyertaan Malaysia agak gambar apabila tiada atlet yang menyerlah dan kebanyakan mereka tersingkir seawal peringkat pertama.
Helen yang mengambil bahagian dalam empat acara gagal di pe­ringkat pertama semua acara yang disertai, mungkin disebabkan oleh harapan terlalu tinggi yang diletakkan oleh peminat di tanah air.
Nordin pula pernah menceritakan pengalamannya kepada Utusan Malaysia beraksi buat kali pertama di pentas Olimpik yang dianggap pengalaman mengujakan, tetapi dalam masa sama mendebarkan kerana berkongsi trek bersama jaguh-jaguh dunia.
“Itu kali pertama saya masuk Sukan Olimpik. Ketika itu saya berjuang dalam dua acara iaitu 200 dan 400 meter. Bayangkan pe­nyertaan pertama membuatkan saya terpaksa berentap de­ngan jaguh dunia yang lain, namun demi negara dan sukan tercinta, saya tekad berjuang sedaya upaya.
“Pada waktu itu, saya sekadar mampu bertempur sehingga saringan kedua iaitu mendapat tempat kelima dalam acara 200m dengan catatan masa 21.88 saat, manakala bagi 400m saya me­rakam masa 47.12s,” katanya.
Malaysia menghantar kontinjen paling kecil dalam sejarah pada Temasya Seoul 1988 apabila sekadar diwakili sembilan atlet yang menyertai lima jenis sukan dan 15 acara.
Penyertaan kali kesembilan dalam Sukan Olimpik sekali lagi mengecewakan. Tiada atlet yang menyinar dan kepulangan mereka disambut dengan kritikan pedas oleh rakyat dan media tempatan.
Temasya 1980, 1984 dan 1988 dianggap era kejatuhan sukan tanah air kerana tiada atlet yang benar-benar menonjol, kecuali bola sepak yang memberi sedikit kegembiraan dengan kejayaan melayakkan diri ke Olimpik biarpun pada akhirnya tidak dapat beraksi.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/malaysia-boikot-moscow-1980-1.366202#sthash.Y6euIPGk.dpuf


Tiada ulasan:

Catat Ulasan