Rabu, 10 Ogos 2016

PENGUMUMAN PERLANTIKAN GABENOR PULAU PINANG DAN MELAKA

Pada hari ini 10.8.1957, perlantikan gabenor Pulau Pinang dan Melaka yang pertama telah dimulakan. Pengumuman perlantikan ini dibuat apabila persetujuan di perolehi di antara DYMM Baginda Queen dan Raja-Raja Melayu selepas berunding dengan Ketua Menteri Pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman. Raja Sir Tun Uda bin Raja Mohamad telah diumumkan sebagai Gabenor Pulau Pinang dan Tun Leong Yew Koh sebagai Gabenor Melaka. Raja Sir Tun Uda yang dilahirkan dalam tahun 1894 adalah bekas penuntut Maktab Melayu Kuala Kangsar. Beliau mula berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Pentadbiran Malaya dalam bulan Oktober 1910. Semasa berkhidmat sebagai pegawai pentadbir beliau berkesempatan melawat negara-negara Eropah, Jepun dan Cina. Beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Residen Inggeris Selangor. Kemudiannya beliau telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Selangor dan Majlis Mesyuarat Persekutuan hingga kemasukkan Jepun. Selepas pendudukan Jepun dalam tahun 1946, beliau berkhidmat semula dengan kerajaan dan kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Pertama Kerajaan Negeri Selangor sebagai Timbalan Pesuruhjaya. Beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor dalam bulan Julai, 1949 apabila Datuk Hamzah bin Abdullah menarik diri. Raja Sir Tun Uda telah meletak jawatan Menteri Besar apabila dilantik sebagai Pesuruhjaya Persekutuan Tanah Melayu ke United Kingdom. Tidak lama kemudian beliau kembali ke tanah air semula untuk menjadi Menteri Besar Selangor sehingga tahun 1955. Akhirnya beliau telah dilantik menjadi Speaker Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Tun Leong Yew Koh pula dilahirkan pada tahun 1888 dan telah menuntut ilmu undang-undang di London. Sekembalinya ke Persekutuan Tanah Melayu beliau telah menjadi seorang peguam di Ipoh, Perak. Dalam tahun 1949 beliau telah dilantik menjadi ahli Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak. Beliau merupakan salah seorang pengasas MCA yang ditubuhkan dalam tahun 1949 di mana beliau telah dilantik menjadi Setiausaha Agungnya yang pertama. Selepas pilihanraya Persekutuan beliau telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan dan seterusnya dilantik menjadi Menteri Kesihatan dan Menteri Kebajikan Masyarakat. Kedua-kedua gabenor itu akan mula menyandang jawatan tersebut selama 2 tahun mulai dari Hari Merdeka. Dengan perlantikan tersebut, Tun Leong Yew Koh akan meletakkan semua jawatan yang dipegangnya samada di dalam badan-badan politik atau yang lainnya. Raja Sir Tun Uda yang menjadi Speakar Majlis Undangan Persekutuan juga akan turut berbuat demikian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan