Jumaat, 19 Ogos 2016

Universiti Malaya terus unggul

 
DULU. Masjid Universiti Malaya (gambar pada 16 Ogos 1963).
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Universiti Malaya (UM), universiti tertua di Malaysia berkeluasan 309 hektar terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Kisahnya bermula di Singapura pada 28 September 1905 menerusi Kolej Perubatan King Edward VII dan Kolej Raffles yang ditubuhkan pada 1928.

Pada 8 Oktober 1949, lahirlah Universiti Malaya selepas penggabungan kedua-dua kolej terbabit.

Pada tahun 1959, universiti ini mengambil keputusan berpecah kepada dua bahagian, satu di Singapura (kemudian menjadi Universiti Nasional Singapura) dan satu lagi di Kuala Lumpur (mengekalkan nama Universiti Malaya).

Suruhanjaya Carr-Saunders mengesyorkan penubuhan universiti itu menerusi laporannya pada 1948 dengan menegaskan Universiti Malaya bakal menjadi universiti awam pertama menempatkan pelbagai kaum, agama dan kepentingan ekonomi. Ia adalah universiti untuk Tanah Melayu.

Kini, Universiti Malaya mempunyai 12 fakulti, dua akademi dan tiga pusat iaitu Fakulti Undang-Undang, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Pergigian, Fakulti Perubatan, Fakulti Alam Bina, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Akademi Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Islam, Pusat Budaya, Pusat Sukan dan Pusat Asasi (Universiti Malaya).

Sejak beberapa tahun lalu, Universiti Malaya disenaraikan secara konsisten dalam kalangan 500 universiti terbaik dunia menurut penerbit ternama seperti QS, ARWU dan US News & World Reports.

Menurut QS World University Rankings, pada 2015 Universiti Malaya berada di tempat ke-146 dunia. Pada tahun sama, universiti itu berada di tempat ke-29 untuk QS Asian University Rankings, di tempat ke-3 di Asia Tenggara dan berada di kedudukan tertinggi institusi pembelajaran di Malaysia.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:27 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan