Selasa, 23 Ogos 2016

PEMBENTUKAN KABINET YANG PERTAMA SELEPAS MERDEKA

Pada hari ini 23.8.1959, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pemimpin Kebangsaan Parti Perikatan iaitu Parti UMNO, MCA, MIC, telah membentuk kabinetnya yang pertama selepas Persekutuan Tanah Melayu merdeka. YTM Tunku telah mengangkat sumpah pada 22.8.1959 mengambil alih semula jawatan Perdana Menteri daripada Dato Abdul Razak bin Hussein yang telah menyandang jawatan itu semasa Tunku bercuti selama 3 bulan untuk menjalankan kempen pilihanraya. Pembentukan kabinet pertama ini adalah hasil kemenangan Parti Perikatan dalam pilihanraya 19 Ogos, 1959. Semua menteri dalam kabinet Persekutuan yang dibentuk pada tahun 1959 telah dilantik semula kecuali Kolonel H.S. Lee Menteri Kewangan kerana tidak bertanding sebagai calon dalam pilihanraya dan Encik Mohd. Khir Johari yang bertanding di kawasan Kedah Tengah dimana kawasan ini telah ditangguhkan pilihanraya kepada 30 September, 1959. Seramai 11 orang ahli Kabinet telah dilantik. Mereka ialah:-
YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri yang juga bertanggungjawab untuk kemajuan kampung-kampung.
Dato' Abdul Razak bin Hussein dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.
Dr. Ismail bin Dato' Abdul Rahman memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
Encik Tan Siew Sin Menteri Kewangan menggantikan Kolonel Sir. H.S. Lee.
Encik Sulaiman bin Dato' Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Keadilan.
Encik Abdul Aziz bin Ishak, Menteri Pertanian dan memangku Menteri Pelajaran.
Encik Abdul Aziz memangku jawatan Menteri Pelajaran sehingga 3 Oktober, 1959 apabila Encik Mohd Khir Johari yang memenangi pilihanraya di Kedah Tengah dilantik menjadi Menteri Pelajaran.
Encik Sardon bin Hj. Jubir, Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekom.
Encik Ong Yoke Lin, Menteri Buruh, Sosial dan Kebajikan.
Encik Bahaman bin Shamsuddin, Menteri Hasil Bumi.
Encik Abdul Rahman bin Hj. Talib, Menteri Pengangkutan dan Encik V.T. Sambanthan, Menteri Kesihatan.
Pembentukan kabinet pada hari ini dalam tahun 1959 adalah satu detik dan peristiwa yang amat bersejarah kepada Persekutuan Tanah Melayu kerana inilah pembentukan kabinet yang pertama selepas Persekutuan mencapai kemerdekaan. YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj selaku Ketua Kabinet dan Perdana Menteri berikrar bahawa kerajaan pimpinannya akan berusaha untuk:-
Memimpin rakyat Persekutuan Tanah Melayu ke arah membina satu bangsa yang tulin.
Menghimpun dan menggembelingkan segala usaha dan tenaga bagi memajukan negara ini dan menambahkan kemakmuran kawasan-kawasan kampung serta menghapuskan segala macam bentuk percubaan Parti Komunis Malaya yang hendak menggulingkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Kerajaan pilihan rakyat.
Menjalankan ikhtiar supaya negeri-negeri di Asia Tenggara dapat bekerjasama dengan rapat dan dapat mencapai faedah bersama terutama dalam bidang ekonomi, sosial dan sains.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan