PENA DR. SIVA | 18
Ogos 2016 6:25 PM
SETIAP rakyat negara ini
daripada kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah warga emas bersama-sama
bertanggungjawab memastikan kemerdekaan terus diraikan dalam suasana sentosa,
sejahtera dan muhibah. UTUSAN/ AZLAN BAHRUM
tarikh 31 Ogos 1957 akan
sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah Persekutuan Tanah Melayu. Tatkala itu,
penyerahan watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul
Rahman Putra al-Haj oleh wakil Queen Elizabeth II iaitu Duke of Gloucester
menandakan berakhir kedudukan Persekutuan Tanah Melayu di bawah naungan
British, berundurnya Britain dari tanah air; hatta pemasyhuran Persekutuan Tanah
Melayu bermula. Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan diiringi lagu
kebangsaan, Negaraku yang pertama kali bergema di sebuah negara merdeka diikuti
laungan azan serta tembakan meriam. Ini juga membawa kepada berakhirnya
kedudukan Pesuruhjaya Tinggi British yang pada waktu itu ialah Sir Donald
MacGillivray.
Kemerdekaan tanah air barang
kali berbeza dengan beberapa buah negara yang bukan melalui pertumpahan darah.
Ini tidak bermakna ia datang dengan mudah. Peristiwa yang berlaku sebelum
membawa kepada kemerdekaan wajar diamati untuk memahami maksud mengapa ia
sesuatu yang amat berharga. Memberi makna kepada pengertian ini akan
membolehkan kita menyoal erti ‘bebas’, ‘kedaulatan’, ‘adil’, ‘negara’ dan
‘merdeka’.
Ini semua merujuk kepada
pemasyhuran kemerdekaan yang dibaca oleh Tunku Abdul Rahman. Antaranya
berbunyi; “Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,
saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah,
Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini
memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu
bahawa mulai 31 Ogos 1957, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi
Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan,
Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah SWT akan
kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan
kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan
kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”
Sepanjang 59 tahun Malaysia
sudah berubah wajah. Warisan kepimpinan yang bertanggungjawab kepada hala tuju
masa depan negara memastikan dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat,
kebebasan dan keadilan terpimpin tidak dikompromi agar rakyatnya hidup muhibah,
aman dan sentosa. Pemasyhuran merdeka menjadi asas perjalanan pembentukan
negara-bangsa ini yang ada zaman kegemilangan, kemerosotan dan pasang-surutnya
tetapi tidak sama sekali menjadi penyebab kemunduran malahan perjalanan penuh
liku dilalui bersama atas ‘prinsip kenegaraan dan warganegara’ merentasi
Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Malaysia menyambut ulang tahun
kemerdekaan ke-59 tahun ini. Adakah ini satu rutin tahunan yang disambut secara
berkala atau sebenarnya diraikan setiap hari tanpa kita sedari?
Jati diri yang dibina oleh
setiap individu baik seorang guru, kerani pejabat, pembersih bangunan, peguam,
kontraktor, pegawai agensi kerajaan dan swasta, pensyarah, pemandu, doktor,
pelayan kedai, wartawan, pemilik warung dan restoran, atlet dan ahli sukan,
imam masjid, paderi, sami tokong, jurujual, petugas teknikal, jururawat,
pentadbir atasan agensi dan bermacam lagi; kesemuanya warga Malaysia yang
menyumbang kepada kebaikan pembangunan negara.
Sumbangan itu juga bersifat
patriotik kerana tidak mengira kelas perjawatan mahupun kedudukan dalam strata
masyarakat. Masing-masing sumbangannya besar kepada negara ini baik seorang
yang berada di Gred 11, 19, 29, 41, 52, 54 mahupun Jusa A, B dan C dalam agensi
kerajaan. Grednya berbeza kerana pangkat tetapi patriotisme merentasi latar
tersebut kerana jika berjiwa Malaysia; grednya adalah luar biasa dan istimewa.
Aspirasinya menyemarakkan semangat menghormati jata negara, bendera Malaysia,
lagu Negaraku dan bunga raya dengan diikat panji Perlembagaan dan Rukun Negara.
Kesemua kita mempunyai peranan
yang sama ke atas pembangunan negara ini kerana yang menjaga, membangun dan
memeliharanya juga adalah tanggungjawab bersama.
Pemasyhuran merdeka dibuat atas
prinsip untuk kesemua warga Malaysia hidup aman, sentosa dan muhibah walaupun
rencam dari segi agama, etnik, ritual dan berbeza pegangan politik sekalipun
tetapi kita mesti ‘bersama’ dalam mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan
negara. Sumbangan masing-masing dalam apa bentuk sekali pun dengan penuh
kejujuran dan keikhlasan adalah patriotik kerana mahu melihat anak bangsa ini
maju, hebat dan membesar tanpa diperlekehkan oleh yang lain. Keluarga besar
inilah ‘sehati, sejiwa’ di belakangnya; manifestasi ke atas pemasyhuran
kemerdekaan 1957.
Pengisian kemerdekaan diwarnai
dengan kewibawaan pemimpin, kepemimpinan dan masyarakat yang dipimpin.
Kesetiaan kepada negara mendasari pencapaian hari ini. Ramai pembesar dan
pejuang bangsa dan negara terkorban sebelum rundingan kemerdekaan bermula
termasuk juga pengalaman di zaman penjajahan. Wira ini menzahirkan pembentukan
negara yang pelbagai; ada nilai pengorbanan dan kompromi diliputi sulaman nilai
hormat, faham, menerima serta budi yang tinggi. Generasi hari ini wajar
menghargai sumbangan ini kerana kita tidak akan bebas tanpa pengorbanan dan
kesetiaan mereka.
Sebenarnya, yang mahu
dilahirkan dalam proses pengisian kemerdekaan berdasarkan pemasyhuran 1957 adalah
‘masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama’ iaitu negara yang maju
dengan pelbagai prasarana moden seiring peredaran zaman dengan dihuni oleh
masyarakat berilmu, berkemahiran dan berkeperibadian mulia. Masing-masing mesti
bersedia ‘Bela Negara’ dalam apa jua keadaan demi kedaulatan negara-bangsa ini.
Selamat menyambut ulang tahun
kemerdekaan yang ke-59!
PROF. DR. P. SIVAMURUGAN ialah
profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
(USM).
- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/sehati-sejiwa-memanifestasi-erti-merdeka-1.371778#sthash.jZ4opekn.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan