Jumaat, 19 Ogos 2016

PILIHANRAYA UMUM YANG PERTAMA SELEPAS MERDEKA

Pada hari ini 19.8.1959, pilihanraya yang pertama kali bagi keseluruhan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka telah diadakan dalam erti kata dapat menjalankan pilihanraya yang bebas dan tanpa campur tangan penjajah. Pilihanraya memainkan peranan yang penting kepada proses demokrasi. Bagi negara ini, pilihanraya 1959 merupakan pilihanraya penting selepas negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Bagi pilihanraya kali ini, seramai 2.17 juta pengundi telah mendaftar diri di mana 57% adalah orang Melayu, 30% Cina dan 7% orang India. Jumlah kerusi yang dipertandingkan pada kali ini berjumlah sebanyak 104 berbanding dengan 52 kerusi bagi pilihanraya 1957. Pilihanraya kali ini dengan jelas menggambarkan sokongan rakyat ke atas Perikatan. Parti Perikatan memenangi 74 kerusi berbanding Parti PAS 13 kerusi, Parti Barisan Sosialis 8 kerusi, Parti Progresif Rakyat 4 kerusi, Parti Negara 1 kerusi, Parti Malaya 1 kerusi, Bebas 2 kerusi. Manakala Parti Demokrasi dan Parti Tindakan Rakyat tidak mendapat sebarang kerusi. Dengan kemenangan majoriti ini, Parti Perikatan yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman telah menbentuk kabinet yang kuat dan berkesan bagi Parti Perikatan awal kemerdekaan. Keadaan ini memudahkan pemimpin-pemimpin negara merancang pembangunan kepada rakyat dan negara. Pilihanraya ini juga telah mengajar rakyat negara ini memilih kerajaan yang mereka kehendaki untuk menuju kejayaan. Bagi negara seperti Persekutuan Tanah Melayu yang terdiri daripada berbagai kaum, Parti Perikatan adalah yang paling sesuai terutama untuk membuktikan kepada British bahawa kemerdekaan yang mereka berikan boleh dikekalkan oleh rakyat negara ini dengan kerjasama yang telah terjalin antara pelbagai kaum.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan