Pada hari ini 2.8.1973, Tun Dr.
Ismail bin Datuk Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri telah meninggal dunia,
akibat sakit jantung. Kematian Allahyarham telah diumumkan ke seluruh negara
oleh Ketua Setiausaha Negara. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan
besar kepada negara. Allahyarham Tun Dr. Ismail telah dilahirkan di Johor Bahru
pada 4 November 1915. Allahyarham telah mendapat pendidikan awal di English
College (Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru dan melanjutkan pelajarannya di
Maktab Perubatan King Edward ke-VII, Singapura. Pada tahun 1939 Allahyarham
menyambung pengajian ke Universiti Melbourne, Australia dan berjaya menjadi
penuntut Melayu pertama lulus dari sebuah universiti di Australia pada tahun
1945. Penglibatan Allahyarham dalam politik tanahair bermula dengan gagasan
penubuhan Malayan Union oleh British. Allahyarham Tun Dr. Ismail bersama-sama
dengan nasionalis-nasionalis lain telah menentang cadangan tersebut dan menubuh
sebuah kesatuan iaitu Kesatuan Siswazah-siswazah Melayu. Dari segi pengalaman
politik Allahyarham mempunyai pengalaman yang luas, bermula sebagai anggota
tidak rasmi dalam Majlis Undangan Negeri Johor, kemudian menjawat jawatan Ahli
Tanah, Lombong dan Perhubungan dan seterusnya sebagai Menteri Sumber-Sumber
Alam, Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Keadilan. Pada tahun 1956 Allahyarham
bersama dengan YTM Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak telah pergi ke London
untuk membincangkan perlembagaan berkaitan dengan kemerdekaan Malaya. Setelah
Malaya merdeka pada tahun 1957, Allahyarham telah dilantik menjadi Duta
Malaysia yang pertama ke Amerika Syarikat dan Ketua Perwakilan Tetap di
Bangsa-bangsa Bersatu. Di samping menjawat jawatan Menteri, Allahyarham juga
memegang jawatan-jawatan sebagai Wakil Persekutuan dalam Majlis Keselamatan
Negara, Pengerusi Lembaga Keselamatan Malaysia, Pengerusi Bersama Jawatankuasa
Sempadan Malaysia-Thai dan Naib Pengerusi Majlis Keselamatan Negara. Oleh
kerana semangat nasionalisnya kuat, pada tahun 1953, Allahyarham telah
meletakkan jawatannya sebagai Ahli Majlis Eksekutif Kerajaan Pusat kerana dasar
yang dibuat oleh Sir Gerald Templer bertentangan dengan kepentingan UMNO. Pada
tahun 1967, Allahyarham terpaksa berehat dari kabinet atas sebab-sebab
kesihatan, walau bagaimanapun beliau tetap bertugas sebagai Ahli Parlimen. Oleh
kerana kepentingannya dan tanggungjawab terhadap negara sangat besar, maka
Allahyarham telah kembali ke pangkuan negara sebagai Ahli Majlis Gerakan Negara
ekoran tragedi 13 Mei 1969. Allahyarham Tun Dr. Ismail telah dikurniakan
beberapa pingat sebagai menghargai jasa dan sumbangannya terhadap negara.
Antaranya Pingat Darjah Panglima Mangku Mahkota, 1959 dan Pingat Seri Setia
Mahkota yang membawa gelaran 'Tun' pada tahun 1968. Pada tahun 1970,
Allahyarham telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sehinggalah
Allahyarham menghembuskan nafas yang terakhir. Sebagai menghargai jasa bakti
Allahyarham yang besar terhadap negara, Allahyarham telah disemadikan di Makam
Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur dengan penuh penghormatan negara.
Label
- BADMINTON MALAYSIA
- BALASUNGKAWA
- HARI INI DALAM SEJARAH
- JEPUN DI TANAH MELAYU
- KARTUN
- MERDEKA
- PENGASUH 1918-1955
- PENYELIDIKAN SEJARAH
- PKM
- REKOD EKSPEDISI
- RENCANA
- RENCANA SEJARAH
- RUMAH TRADISIONAL
- SEJARAH BOLA SEPAK PIALA DUNIA 98
- SEJARAH DUNIA
- SEJARAH FELDA
- SEJARAH ISLAM
- SEJARAH MALAYSIA
- SEJARAH PENDIDIKAN
- SEJARAH SMKJ2
- SEJARAH STPM P1
- SEJARAH STPM P2
- SEJARAH STPM P3
- SEJARAH SUKAN
- SENIMAN
- SIRAH NABI
- TOKOH MALAYSIA
- TOKOH SEJARAH ISLAM
- TOKOH TEMPATAN
- WIRA ATM
- WIRA DARURAT
- WIRA MENENTANG PENJAJAH
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan