Selasa, 30 Ogos 2016

Pesawat TUDM pertama jaga kedaulatan negara

Oleh RIZAM ZAKARIYA
Foto SURIYA BONMA
 
Majlis penyerahan pesawat Scottish Aviation Twin Pioneer kepada kerajaan Malaysia yang diadakan di Preswitch Port, Scotland pada tahun 1958.

SELEPAS enam tahun bertugas di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan, Sabah sebagai juruteknik pesawat Charlie C-130 H dan helikopter Sikorsky S-61A-4 Nuri, Mohamad Mohhadir Rahmin, 39, kemudiannya diarahkan untuk memulakan tugas baharu sebagai Pegawai Waran Udara II di Muzium TUDM, Kuala Lumpur.

Sebaik menjejakkan kami di Muzium TUDM untuk memulakan tugas pada Januari 2007, pandangan Mohamad Mohhadir terarah kepada sebuah pesawat yang diletakkan di deretan pesawat lama milik TUDM.

Fikirannya mula terawang-awang mengingat semula kenangan sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke muzium berkenaan bersama rakan sepelatih ketika dia mengikuti latihan rekrut untuk mengganggotai TUDM pada Mac 1997.

“Sewaktu sesi lawatan tersebut, saya dan rakan-rakan diberitahu bahawa pesawat Scottish Avation Twin Pioneer atau dikenali sebagai Lang Rajawali merupakan pesawat pertama yang dibeli oleh Tentera Udara Diraja Persekutuan (kini dikenali sebagai TUDM).

“Ketika itu saya begitu kagum dengan sejarah yang terpahat padanya selain jasa yang telah dicurahkan sepanjang pesawat berkenaan berkhidmat dengan TUDM.

“Saya tidak menyangka kini, saya salah seorang yang telah diberi tanggungjawab untuk menjaga pesawat yang mempunyai nilai yang tinggi kepada negara,” katanya.

Mohamad Mohhadir yang telah berkhidmat selama 19 tahun bersama TUDM berkata, dia sangat kagum dengan pesawat berkenaan kerana mampu melakukan pelbagai tugas. Terutamanya dalam operasi ketenteraan terutama sewaktu negara baru sahaja mencapai kemerdekaan dan masih menerima ancaman pelbagai anasir luar.

Berdasarkan sejarah, pesawat Scottish Aviation Twin Pioneer pertama kali dibina pada tahun 1955 oleh syarikat Scottish Aviation Limited yang berpangkalan di Prestwick Airport, Scotland sebagai sebuah pesawat awam berkapasiti 16 tempat duduk. Ketika itu ia dianggap sebagai pengangkutan udara versi enjin berkembar yang terbaik pernah dibina.

Pada Ogos 1957, pihak Scottish Aviation Limited telah melakukan pengubahsuaian dengan mengeluarkan versi tentera. Pesawat berkenaan telah dibeli oleh kerajaan pada harga RM420,000.

Ketibaan pesawat berkenaan di negara ini pada 17 April 1958 telah disambut oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Abdul Razak Hussein dengan diiringi orang kenamaan negara dan pegawai Tentera Udara Diraja British (RAF) di pangkalan RAF Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Tidak lama selepas itu, pada 24 April 1958, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kemudiannya telah menamakan pesawat tersebut sebagai Lang Rajawali. Ia diletakkan di bawah kendalian No.1 Skuadron Tentera Udara Diraja Persekutuan yang ditubuhkan pada Ogos 1958, sesuai dengan kelulusan Ordinan Tentera Udara oleh Parlimen Persekutuan, sekali gus menandakan tertubuhnya Tentera Udara Diraja Persekutuan.

Fasa pertama
 
Pesawat Scottish Aviation Twin Pioneer terlebih dahulu digunakan oleh RAF untuk misi ketenteraan.

Sepanjang fasa pertama operasinya, Lang Rajawali diterbangkan oleh Ketua Skuadron RAF, Leftenan Udara George C. Charles dan terlibat dalam melakukan pelbagai tugas termasuklah penerbangan perhubungan, mengangkut anggota tentera, tugas pengeboman terhad, pengintipan foto, pengawal pantai, siaran radio dari udara, penerbangan kecemasan dan penerbangan membawa orang kenamaan termasuk Tunku Abdul Rahman.

Lang Rajawali yang merupakan sejenis pesawat yang berkemampuan berlepas dan melakukan pendaratan jarak pendek juga banyak terlibat dalam operasi penerbangan di kawasan pergunungan dan hutan.

Lang Rajawali sememangnya telah banyak menyumbang jasa kepada negara termasuk digunakan dalam misi bantuan untuk menangani ancaman darurat yang diisytiharkan tamat pada tahun 1960.

Terlibat operasi

Pada 29 Februari 1960, pesawat berkenaan yang mempunyai nombor pengenalan FM 1001 telah digunakan untuk menggugurkan makanan di kawasan operasi di Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan untuk pasukan keselamatan yang terlibat dengan operasi melawan pengganas komunis.

Malah, pesawat berkenaan juga terlibat dalam tugas keselamatan di sempadan Thai. Selain itu ia juga terlibat dengan tugas menggugurkan risalah perang saraf di pangkalan hadapan Indonesia semasa zaman Konfrantasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1963-1965 dan operasi menggugurkan risalah bagi meminta pihak komunis menyerah diri.

Selepas 12 tahun berkhidmat dalam TUDM dengan merekodkan 2,500 jam penerbangan dan 5,300 kali pendaratan, Lang Rajawali akhirnya dihentikan perkhidmatannya pada 20 November 1969 dengan Ketua Turus Tentera Udara ketika itu, Datuk (kini Tan Sri) Sulaiman Sujak telah diberi penghormatan untuk menerbangkan Lang Rajawali buat kali terakhir.

Tugas Lang Rajawali dalam memperkukuhkan bidang ketenteraan di negara ini kemudiannya diambil alih oleh pesawat DHC-4 Caribou.

Dalam pada itu, Sulaiman ketika bercerita mengenai Lang Rajawali turut mengakui, kehadiran pesawat berkenaan sangat penting terutama dalam fasa mengukuhkan kuasa ketenteraan selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Katanya lagi, walaupun Lang Rajawali hanya tiba di negara ini kira-kira lapan bulan selepas negara mencapai kemerdekaan, namun tugas yang dipikul oleh pesawat berkenaan terlalu berat.

“Sebelum Tanah Melayu merdeka, kita memang tidak memiliki sebarang pesawat udara dan ketika itu, RAF telah memainkan peranan yang besar dalam membantu kita menyekat ancaman musuh.

“Namun, selepas kerajaan membeli Lang Rajawali, ia telah mengubah landskap ketenteraan negara terutama selepas tertubuhnya No.1 Skuadron,” katanya yang merupakan anak tempatan pertama dilantik menjadi Panglima Tentera Udara TUDM pada November 1967 sebelum bersara pada Disember 1976.

Aset
 
Sulaiman mengakui Lang Rajawali mempunyai jasa yang besar kepada negara.

Malah, Lang Rajawali telah memberi peluang kepada pasukan tentera kita pada masa itu untuk mempelajari selok-belok berkaitan penguasaan ruang udara selain berpeluang melibatkan diri dengan pasukan ketenteraan negara-negara Komanwel.

Jelas Sulaiman lagi, Lang Rajawali juga telah merintis kepada pemilikan pelbagai aset TUDM yang lain termasuk pembelian pesawat tempur pertama, Canadair CL-41G Tebuan pada tahun 1966 untuk mengukuhkan pertahanan negara.

Menyedari jasa besar yang telah ditabur oleh pesawat berkenaan, Penolong Pengarah Muzium TUDM, Mejar P.K. Sukumaran berkata, sudah seharusnya Lang Rajawali diangkat sebagai sebuah bahan sejarah yang mempunyai nilai tinggi.

“Bagi pihak Muzium TUDM, kita sememangnya menjaga baik pesawat berkenaan walaupun ia telah dihentikan operasinya sejak hampir 50 tahun lalu.

“Malah, sempena sambutan Ulang Tahun Muzium TUDM Ke-30 pada Februari lalu, kita juga telah membaik pulih pesawat berkenaan pada bahagian luar dan dalam supaya ia kelihatan menyamai keadaan asalnya,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga bercadang untuk menempatkan Lang Rajawali di satu kawasan khas di Muzium TUDM baharu yang akan dibuka berhampiran kawasan tapak lama muzium berkenaan sebagai menghargai jasa besar yang telah ditabur oleh pesawat itu kepada negara ini.

Sehingga kini, hanya ada tiga buah pesawat Scottish Aviation Twin Pioneer yang masih ada di negara ini iaitu masing-masing ditempatkan di Muzium TUDM, Institut Latihan Tentera Udara di Ipoh, Perak dan di Muzium Melaka.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0831&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4IrVbDZ2t Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan