Khamis, 18 Ogos 2016

PENGUMUMAN DASAR DISENTRALISASI NEGERI-NEGERI MELAYU BERSEKUTU

Pada hari ini 18.08.1931 Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu Sir Cecil Clementi telah mengumumkan dasar disentralisasi pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam sidang Durbar yang kedua di Seri Menanti, Negeri Sembilan. Sebelumnya, pada bulan Disember 1925, Sir Lawrence Guillemard, Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah terlebih dahulu mengumumkan dasar disentralisasi ini untuk mengatasi masalah-masalah ekonomi yang diakibatkan oleh kemerosotan ekonomi dunia pada tahun-tahun 1920an dan awal 1930an. Bagaimanapun ia banyak mendapat tentangan daripada pegawai-pegawai kerajaan. Pengganti Guillemard, Hugh Clifford tidak berminat untuk menyelesaikan masalah disentralisasi ini sehinggalah Sir Cecil Clementi mengambil alih jawatan Pesuruhjaya Tinggi pada bulan Februari, 1930. Dalam pengumuman beliau di Sidang Durbar pada 1931 itu, Sir Cecil Clementi telah menggariskan rancangan disentralisasi yang bertujuan untuk memberikan otonomi yang lebih pada tiap-tiap negeri mengenai hal ehwal negeri masing-masing. Hal ini akan dilakukan dengan merombak struktur serta menguatkan majlis-majlis negeri untuk membolehkan mereka memikul tanggungjawab yang lebih akibat pemindahan beberapa perkhidmatan awam kepada majlis negeri. Manakala jabatan-jabatan yang tidak dapat dipindahkan akan diletakkan di bawah jagaan Pesuruhjaya Tinggi sendiri. Sir Cecil Clementi juga telah mencadangkan untuk menyusun semula jentera kerajaan Negeri dan Persekutuan yang ada bagi menjamin kedudukan ekonomi negara. Akhirnya dasar desentralisasi yang diumumkan oleh Sir Cecil Clementi pada hari ini dalam tahun 1957, tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana adanya tentangan daripada golongan-golongan elit Melayu dan juga pegawai-pegawai British.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan