Isnin, 1 Ogos 2016

Penerjun udara AS lakar sejarah

AIKINS (tengah) terjun tanpa payung terjun di ruang udara Simi Valley, California kelmarin. - AGENSI

LOS ANGELES – Seorang pelagak ngeri kelmarin menjadi manusia pertama terjun dari ketinggian 7,260 meter tanpa payung terjun sebelum mendarat di atas sebuah jaring di selatan California, kata seorang jurucakap.

Luke Aikins, 42, yang berpengalaman melakukan 18,000 terjunam udara, menamatkan aksi berbahaya itu di Simi Valley, barat Los Angeles. Dia mendarat di atas jaring berukuran 30meter (m) x 30m, manakala aksi itu disiarkan oleh stesen televisyen Fox.

“Terjunan Aikin mewakili kemuncak kerjayanya selama 26 tahun. Dia mencipta rekod peribadi dan rekod dunia terjunan paling tinggi tanpa payung terjun atau sut sayap,” kata jurucakapnya, Justin Aclin.

Stesen televisyen Fox memaparkan Aikins yang memakai topeng oksigen kerana faktor ketinggian, melompat keluar dari sebuah pesawat sambil memakai pakaian berwarna hijau terang bersama tiga penerjun lain.

Dia menyerahkan topeng oksigen kepada salah seorang penerjun itu semasa di udara. Kemudian, ketiga-tiga mereka membuka payung terjun masing-masing dan beredar dari Aikins yang terus menjunam ke bawah.

Sejumlah lampu di sisi jaring itu dihidupkan bagi membantu Aikins jatuh ke sasarannya.

Selepas berada di udara selama dua minit, Aikins jatuh di atas jaring itu yang dipasang pada ketinggian 61 meter dari tanah dan bersama jaring kedua di bawahnya.

Selepas misinya tamat Aikins memeluk isterinya, Monica.

“Saya seperti hampir terapung di udara, sungguh menakjubkan,” katanya kepada seorang penemu ramah pada penghujung siaran stesen televisyen Fox. – AFP

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4G6OkOXvO Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan