Isnin, 22 Ogos 2016

KERTAS BIRU PERSIDANGAN KEBANGSAAN MALAYA DI KELUARKAN

Pada hari ini 22.8.1953, satu rangka rancangan untuk perubahan Perlembagaan Persekutuan telah dikeluarkan. Rangka rancangan   tersebut adalah hasil daripada rumusan-rumusan Jawatankuasa Kerja Persidangan Kebangsaan Malaya yang dianjurkan oleh Menteri-menteri Besar Persekutuan Tanah Melayu. Di dalam rangka rancangan itu terdapat empat syor yang utama sebagai langkah-langkah ke arah penubuhan pemerintahan Kerajaan sendiri yang bertanggungjawab di dalam negeri.
Langkah-langkah yang disyorkan itu ialah:
Pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu tidak lewat daripada tahun 1956. Sebuah Majlis Undangan Persekutuan yang besar dengan ahli dilantik seramai 90 orang akan diadakan pada 1hb. Februari 1954. Kerusi-kerusi di dalam majlis tersebut dibahagikan mengikut sempadan politik dan penduduk.
Sebuah Majlis Undangan Persekutuan yang hanya orang-orang yang ada surat pengesahan sahaja yang akan mendapat kerusi sebagai langkah ke arah penyusunan kerajaan berjemaah menteri.
Sebuah Jemaah Kebangsaan yang di dalamnya semua pertubuhan-pertubuhan siasah akan menyatukan langkah-langkah bersama yang merintis berkerajaan sendiri.
Di dalam rancangan untuk membesar dan menyusun semula Majlis Perundangan Persekutuan sementara menantikan pilihanraya, Jawatankuasa Kerja Persidangan Kebangsaan Malaya telah mencadangkan beberapa perkara. di antaranya mengadakan pilihanraya peringkat negeri selewatnya pada akhir 1955 dan diikuti pilihanraya persekutuan; penubuhan badan pengelola pilihanraya; mengekalkan jumlah ahli tidak rasmi Majlis Perundangan; Perwakilan kerajaan-kerajaan negeri yang berkait dengan Majlis Undangan Persekutuan dan perwakilan kaum-kaum. Rangka rancangan yang dikeluarkan itu akan disahkan di dalam mesyuarat penuh Persidangan Kebangsaan Malaya yang akan diadakan pada 30hb. Ogos 1953. Jawatankuasa Kerja yang merangka rancangan tersebut terdiri daripada 18 orang ahli dengan diketuai oleh Menteri Besar Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan