05 Ogos 2016 12:10 AM
JALANI (kiri) dan Razif Sidek
akhirnya menamatkan penantian 36 tahun Malaysia untuk memiliki pingat Sukan
Olimpik.
“KALAU masa boleh diundur, saya
pasti mahu beraksi lagi dalam Sukan Olimpik. Ia pengalaman terindah dalam
hidup.”
Itu respons Datuk Seri Jalani
Sidek ketika ditanya mengenai kenangan menyertai Temasya Barcelona 1992.
Jalani yang bergandingan dengan
abangnya (Datuk Razif dalam acara badminton beregu lelaki mengakui, Barcelona
92 terlalu istimewa bukan sahaja kerana dia berjaya menghadiahkan pingat
Olimpik pertama Malaysia tetapi menemukannya dengan ramai bintang dunia.
“Sudah tentu membawa pulang
pingat memberi kami kegembiraan, tetapi sebenarnya kami tidaklah terlalu puas
hati.
“Kami mengharapkan untuk
mencatat keputusan lebih baik, sayangnya lawan kami di separuh akhir (Kim Moon
Soo-Park Joo Bong) sangat hebat.
“Biarpun gangsa tak cukup
memberi kepuasaan tetapi Olimpik sendiri menghadirkan satu perasaan luar biasa,”
kata Jalani.
Mengimbas persiapannya
menjelang temasya Barcelona, Jalani mengakui, memandangkan badminton hanya
membuat penampilan sulung dalam Olimpik, dia dan Razif sebenarnya tidak
melakukan persiapan cukup rapi.
Ini disebabkan temasya itu
berlangsung terlalu dekat dengan Piala Thomas, kejohanan yang lebih menjadi
tumpuan Malaysia.
“Saya pada mulanya risau, boleh
ke kami bermain baik sebab kami sudah mencapai kemuncak ketika membantu
Malaysia merampas Piala Thomas di Kuala Lumpur.
“Bukan saya kata persiapan kami
tak bagus, tetapi kerana semuanya telah dikerah untuk Piala Thomas, ia tidak
maksimum.
“Namun, sebaik sahaja kaki ini
melangkah ke perkampungan sukan Olimpik, perasaan sangat luar biasa,
semangatnya berbeza.
“Saya jumpa ramai bintang dunia
daripada olahraga, tenis dan banyak lagi di sana... saya sedar... ini (Olimpik)
adalah pentas tertinggi. Ia lebih istimewa daripada Piala Thomas atau Kejohanan
Dunia.
“Kebetulan, dewan latihan
badminton terletak bersebelahan trek olahraga, hari-hari saya lihat Carl Lewis
berlatih, ada Linford Christie juga...mereka ini bermusuhan, jadi kami boleh
tengok keduanya saling mengelak daripada bertembung.
“Di dewan makan, kami sentiasa
menanti kehadiran pasukan ‘dream team’ (bola keranjang Amerika Syarikat) , kami
sudah hafal jadual makan mereka,” ceritanya lagi.
Kata Jalani lagi, Olimpik
meninggalkan kesan besar buatnya dan dia berharap setiap atlet akan menjadikan
temasya itu sebagai sasaran utama mereka.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/8216-memori-barcelona-92-terlalu-indah-8217-1.366494#sthash.2WYzImpB.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan