Selasa, 30 Ogos 2016

Hormati dan sayangi Jalur Gemilang

30 Ogos 2016 6:20 PM
Beberapa orang murid memakai pakaian bercorak Jalur Gemilang sempena
Beberapa orang murid memakai pakaian bercorak Jalur Gemilang sempena bulan kemerdekaan di Sekolah Kebangsaan Seri Impian di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini. UTUSAN/ AZMAN ASMAYATIM
31 Ogos adalah satu tarikh keramat untuk Malaysia di mana negara kita mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British. Tarikh berkenaan juga menandakan tamatnya episod penjajahan terhadap negara kita selama hampir 500 tahun bermula daripada penjajahan Portugis (1511- 1644), Belanda (1644–1824), Inggeris (1824–1942), Jepun (1942– 1945) dan yang terakhir oleh pihak British (1945–1957).
Beberapa hari lagi juga negara ini akan menyambut satu lagi tarikh penting dalam sejarah penubuhan Malaysia iaitu tanggal 16 September di mana kita menerima penyertaan Sarawak dan Sabah untuk membentuk sebuah Persekutuan baru yang bernama Malaysia. Setiap negara dalam dunia mempunyai simbol atau lambang bagi mempamerkan kewujudannya serta kedaulatannya di pentas dunia.
Malaysia juga tidak terkecuali untuk memiliki simbol kebanggaannya iaitu melalui kewujudan bendera Malaysia yang bernama Jalur Gemilang. Jalur Gemilang mempunyai 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur–jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri seluruh Malaysia dan sebuah Wilayah Persekutuan.
Negeri–negeri berkenaan termasuklah Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak, Sabah, dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
Warna merah pada Jalur Gemilang membawa makna gagah berani dan warna putih padanya pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna diraja yang melambangkan simbol kedaulatan Raja–Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru me­lambangkan semangat setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan negara-negara Komanwel.
Seperti yang diketahui umum, bendera Malaysia sudah lama wujud sebelum negara ini mencapai kemerdekaan lagi pada 1957. Ia digunakan sejurus selepas negara ini menyambut kemerdekaannya. Proses pengubahsuaian terhadap ben­dera negara kita dibuat pada 1963 selepas terbentuknya Malaysia dengan penyertaan Sarawak dan Sabah.
Pada 1997, bendera Malaysia diberi nama Jalur Gemilang. Sehingga kini, Jalur Gemilang kekal menjadi simbol kebanggaan negara ini serta setiap warganegaranya tanpa mengira di mana mereka berada. Saat bendera kita dikibarkan serta diiringi dengan lagu Negaraku membawa kepada satu perasaan kasih dan sayang setiap warganegara terhadap Malaysia.
Malangnya, terdapat segelintir pihak yang sanggup merosakkan simbol berkenaan hanya untuk memenuhi hasrat atau fahaman peribadi mereka. Amat menyedihkan apabila melihat bendera negara kita yang menjadi simbol kebanggaan dan penyatuan semua bangsa dalam negara menjadi mangsa vandalisme, dirosakkan, terbengkalai dibakar, serta diubah bentuknya mengikut citarasa sesetengah pihak.
Jika ini dibiarkan berlaku ia bukan sahaja akan mengundang perasaan tidak puas hati ramai pihak malah akan merosakkan identiti negara ini di mata dunia. Kejadian berkenaan dilihat sering berlaku di banyak negara luar yang mengelar diri mereka sebagai negara maju di mana rakyatnya sesuka hati merosakkan atau mencacatkan bendera mereka sendiri.
Budaya merosakkan, mencacatkan dan memusnahkan bendera negara sendiri tidak sepatutnya menjadi contoh kepada semua. Walau apa pun pendapat atau fahaman berbeza yang ada dalam kalangan rakyat Malaysia, bendera Jalur Gemilang patut dibiarkan bebas berkibar tanpa menjadi mangsa terhadap sebarang pendapat atau fahaman berbeza yang berlaku dalam kalangan masyarakat negara ini.
Penguatkuasaan undang–undang sedia ada yang melindungi simbol kebanggaan negara ini patut dibuat pada setiap masa terhadap mana–mana pihak yang tidak menghormati Jalur Gemilang seperti yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 193).
Bendera Malaysia juga patut dikibarkan setiap masa bukan setakat ketika menyambut bulan kemerdekaan. Setiap rakyat yang sayangkan negara sudah pasti akan mengibarkan bendera negara tanpa rasa segan silu. Selamat menyambut Hari Kebangsaan.
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang–Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/hormati-dan-sayangi-jalur-gemilang-1.376381#sthash.meIBEr1X.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan