Khamis, 18 Ogos 2016

MESYUARAT JAWATANKUASA PERHUBUNGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN DENGAN KERAJAAN NEGERI

Pada hari ini 17.8.1984, Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri, Kuala Lumpur. Mesyuarat kali ini telah dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Musa Hitam. Dalam ucapannya, Datuk Musa Hitam mengingatkan para pegawai kanan kerajaan supaya menjadi contoh kepada semua golongan bagi menghasilkan daya pengeluaran yang tinggi di negara ini. Di samping itu beliau juga memberitahu bahawa pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam hendaklah sentiasa tegas dalam melaksanakan tugasan ke arah mencapai matlamat itu. Mesyuarat kali ini bertujuan untuk mengeratkan lagi jentera hubungan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan-kerajan negeri bagi menyelaras dan menjayakan usaha pembangunan di kedua-dua peringkat. Dalam mesyuarat itu juga, turut disentuh ialah sikap para pegawai perkhidmatan awam perlu menunjukkan sifat-sifat kepimpinan seperti jujur, dedikasi, cekap serta sentiasa berani bertindak menentang apa sahaja bentuk penyelewengan. Diharapkan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri pada hari ini dalam tahun 1984 dapat meningkatkan hubungan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan Negeri, bagi merancang dan melaksanakan pembangunan negara.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan