17 OGOS 2016
Membanggakan Atlet lumba
basikal negara Mohd Azizul hasni Awang meraikan kejayaannya meraih pingat
gangsa dalam acara keirin lelaki sempena Sukan Olimpik Rio 2016 di Velodrom
Olimpik Rio.- Foto Bernama
PELUMBA basikal elit negara,
Azizulhasni Awang amat bimbang jika penyertaannya dibatalkan selepas acara
keirin terpaksa dimulakan semula dua kali dalam final Sukan Olimpik Rio di sini
pada Selasa.
Selepas berjaya menempuh
saringan dan menempatkan diri dalam kalangan enam pelumba dalam saingan memburu
pingat, penunggang berusia 28 tahun itu terpaksa mengharungi detik yang
menyeksakan di Olympic Veldrome selepas perlumbaan final dihentikan berikutan
pelanggaran teknikal.
Selepas pistol permulaan bagi
perlumbaan lapan pusingan itu dibunyikan, Jason Kenny dari Britain terkeluar
daripada garisan sebelum derny membuka laluan dalam pusingan ketujuh.
Derny adalah basikal bermotor
yang dinaiki seorang penunggang yang
mengepalai barisan pelumba basikal Olimpik dalam acara keirin.
Azizulhasni sedang mendahulu
kelompok enam pelumba terbaik apabila perlumbaan dihentikan buat kali pertama,
dan sekali lagi apabila perlumbaan dimulakan semula, Joachim Eilers dari Jerman
melakukan perkara serupa sebelum Derny membuka laluan bagi dua pusingan
terakhir.
"Saya sangat bimbang dan
jantung saya berdegup kencang sebab saya boleh dipersalahkan dan menjadi antara
pelumba yang boleh dibatalkan.
"Penyertaan yang
dibatalkan di peringkat ini adalah satu malapetaka sebab kesalahan seperti ini
boleh mengakibatkan penyertaan dibatalkan. Bagaimanapun juri tidak menghukum
sesiapa dan memulakan kembali perlumbaan," katanya.
Azizulhasni menamatkan
perlumbaan dengan meraih pingat gangsa di belakang Kenny dan pelmba Belanda
Matthijs Buchli.
"Jika saya, seorang
penunggang dari Asia, yang memintas derny, sudah pasti saya akan dibatalkan...
tapi di sini saya rasa disebabkan pelumbanya adalah 'orang putih', tiada siapa
pun yang dihukum," kata Azizulhasni, wakil tunggal Asia dalam pusingan
akhir.
Mengenai perancangannya,
Azizulhasni berkata beliau mahu menamatkan tahun akhir kursus pengurusan sukan
di sebuah universiti di Melbourne, Australia, tempat beliau berpusat sejak
2007. – Bernama
SINAR HARIAN ONLINE 17 OGOS
2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan