Sabtu, 6 Ogos 2016

PEMILIHAN LAGU KEBANGSAAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU 5.8.1957

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1957,  Lagu  Terang  Bulan,  lagu  kebangsaan  negeri  Perak  telah  dipilih  sebagai  lagu  Kebangsaan  Persekutuan  Tanah  Melayu.  Pemilihan  lagu  kebangsaan  ini  telah  dilakukan  oleh  Jawatankuasa  Pemilih  Lagu-lagu  Kebangsaan  yang  dipengerusikan   oleh  Tunku  Abdul  Rahman,  Ketua  Menteri  Persekutuan  Tanah  Melayu.  Empat  buah  lagu  yang  layak  ke  peringkat  pemilihan  akhir  lagu-lagu  Kebangsaan  telah  diperdengarkan  oleh  Pasukan  Pancaragam  Polis di Dewan  Polis Depoh,  Kuala  Lumpur.  Antara  lagu-lagu  tersebut  termasuklah  lagu  gubahan  Tuan  Zubir  Said  dan  Benjamin  Britain.  Berikutan  daripada  itu,  Jawatankuasa  Pemilih  telah  memutuskan  untuk  memilih  Lagu  Kebangsaan  Negeri  Perak  sebagai  Lagu  Kebangsaan  Persekutuan  Tanah  Melayu  Merdeka.  Pemilihan  dibuat  berdasarkan  unsur-unsur  kemelayuan  yang  terdapat  pada  lagu  Terang  Bulan. Keputusan  pemilihan  Jawatankuasa  pemilih  kemudiannya  dikemukakan  kepada  Majlis  Raja-Raja  untuk  persetujuan.   Lagu kebangsaan buat pertama kalinya telah diperdengarkan kepada khayalak ramai pada malam 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan