ISNIN, 29 OGOS 2016 @ 6:43 PM
Oleh Ishak Sairozi bhrencana@bh.com.my
MALAM sebelum merdeka, ada detik mengira 10 saat terakhir sebelum mercun dibakar dan laungan tujuh kali merdeka dilaungkan. Tetapi 10 hari sebelum merdeka, apa yang kita buat? Kita semua sudah bersedia dari segi persiapan sambutan kemerdekaan. Rumah sudah dipasang bendera. Kereta megah berkibar Jalur Gemilangnya. Di Dataran Merdeka, persiapan perbarisan dan perarakan tidak kurang sibuknya. Masing-masing ingin memastikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini akan berlangsung dengan jayanya.
Tetapi, adakah perkara ini sama seperti apa yang berlaku ketika pengisytiharan kemerdekaan dilaungkan pada tanggal 31 Ogos 1957? Mengimbau 10 hari sebelum merdeka, maka kisah ini ditulis dan dirakamkan untuk memberi pengajaran dan teladan. Pada tanggal 20 Ogos 1957, seorang pegawai tentera sudah memahat namanya sebagai perwira bangsa. Pegawai itu ialah Leftenan Hassan Osman yang sedang bertugas menjaga keamanan Tanah Melayu.
Ketika itu, Platun 12 Kompeni D 5 Regimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditugaskan untuk membuat pengawasan di kawasan rondaan Kompeni C, 6 RAMD iaitu di Rawang. Platun ini membuat risikan teliti pergerakan komunis yang sedang merangka serangan hendap terhadap majlis pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu. Lakukan risikan Sebaik maklumat itu diperoleh, Leftenan Hassan meminta kebenaran untuk melakukan risikan bagi menggagalkan usaha komunis ini. Leftenan Hassan bersama anggotanya pergi ke Ladang Getah Waterfall untuk meninjau pergerakan komunis dan ternyata sememangnya wujud pergerakan komunis di kawasan berkenaan.
Setelah membuat persediaan, Leftenan Hassan bersama anggotanya bersedia untuk membuat serang hendap melalui kawasan berpaya pada tarikh 21 Ogos 1957, 10 hari sebelum merdeka. Tinjauan awal membawa kepada kelibat seorang komunis wanita menuju ke kawasan serang hendap. Leftenan Hassan melarang tembakan dilepaskan atas alasan mungkin akan menyedarkan komunis lain yang berada di sekitar. Kemudian muncul pula seorang lagi anggota komunis lelaki bergerak ke kawasan paya untuk membasuh muka. Jumlah yang sedikit ini menggusarkan Leftenan Hassan kerana pada hematnya, ada ramai komunis. Lantas, Leftenan Hassan mengambil keputusan mengekori kedua-dua pengganas komunis berkenaan. Sejurus selepas itu, pengganas tadi bertemu seorang lagi rakan yang membawa beg dan senjata yang ditinggalkan di pangkal pokok di lereng bukit. Lepaskan tembakan Leftenan Hassan lantas mengarahkan beberapa anggotanya untuk mengawasi barang ditinggalkan, manakala yang lain bersama dengannya mengekori komunis itu.
Daripada jauh, Leftenan Hassan melihat sekumpulan lelaki berpakaian seperti penoreh getah, menuju ke arah komunis terbabit. Menyedari bahaya yang bakal menimpa penoreh getah itu, Leftenan Hassan melepaskan tembakan kepada salah seorang komunis itu. Dua orang komunis tadi melarikan diri meninggalkan barang di lereng bukit. Kumpulan penoreh getah itu juga melarikan diri.
Melihat kumpulan penoreh getah itu melarikan diri, Leftenan Hassan sedar rupanya mereka bukan penoreh getah tetapi pemimpin komunis dari seluruh Tanah Melayu. Mereka datang untuk satu mesyuarat berkenaan cubaan mensabotaj pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu. Siasatan terhadap barang ditinggalkan menemukan Leftenan Hassan dengan bekalan makanan, barang kemas, duit dan dokumen bertulis, mengandungi rancangan komunis untuk menggagalkan majlis pengisytiharan kemerdekaan.
Penemuan barangan ini membawa kepada tertangkapnya 35 pengganas yang cuba membuat onar 10 hari sebelum kemerdekaan diisytiharkan. Ini kisah sejarah yang bukan sekadar kita baca untuk mengisi masa lapang. Ini kisah untuk kita bermuhasabah diri. Sepuluh hari sebelum merdeka, pada tahun ini, adakah kita mampu menjamin bahawa tiada anasir luar yang akan mensabotaj sambutan kemerdekaan kita? Adakah kita yakin bahawa mereka yang berbaju biasa, berwarna kuning mahupun merah adalah orang Malaysia yang tidak akan membawa kacau-bilau ke dalam sambutan kita? Sejarah telah mengajar kita untuk lebih berhati-hati dan sayangkan ibu pertiwi.
Sumber: http://www.bharian.com.my/node/187896
Tiada ulasan:
Catat Ulasan