Pada hari ini 16.8.1972, Sistem Ejaan Baharu bagi Bahasa
Malaysia-Indonesia telah dilancarkan penggunaannya oleh Perdana Menteri, Tun
Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein, bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kuala Lumpur. Turut hadir di upacara pelancaran ini Menteri Pelajaran, Encik
Hussein Onn dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Haji Sujak bin
Rahiman dan Tan Sri Syed Nasir Ismail. Pelancaran penggunaan sistem Ejaan yang
baharu ini adalah hasil dari persetujuan di antara Malaysia dan Indonesia di
mana sejak dulu lagi bercita-cita untuk menyediakan suatu sistem ejaan yang
sama dengan menggunakan bahasa yang sama yang boleh memberi faedah kepada
kedua-kedua negara. Perkembangan tulisan rumi ini bermula pada tahun 1902
apabila tulisan rumi yang pertama telah disusun oleh Jawatankuasa Ejaan R.J.
Wilkinson. Sistem ini kemudiannya telah diperbaiki oleh Pendita Zaaba. Sistem Ejaan yang disusun oleh Zaaba ini atau
dikenali juga dengan nama Sistem Ejaan Sekolah telah dijadikan tulisan rasmi
sehingga beberapa tahun. Pada tahun 1956, terbentuk suatu sistem ejaan
dinamakan Ejaan Kongress hasil dari Kongress Bahasa dan Persuratan Melayu
Ketiga di Singapura dan Johor Bahru. Malangnya Ejaan Kongress ini tidak dapat
dilaksanakan kerana terdapat beberapa huruf di dalam sistem ini agak sukar
untuk diikuti. Pada tahun 1966, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan sebuah
Jawatankuasa Bahasa dan Ejaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Syed Nasir
Ismail. Jawatankuasa ini telah mengadakan beberapa perundingan dengan pihak
Indonesia. Akhirnya tercapai persetujuan oleh kedua-kedua buah negara untuk
menggunakan ejaan baharu yang dikenali dengan nama "Sistem Ejaan Bersama
Malaysia/Indonesia" yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 27 Jun 1967.
Tetapi malangnya perlaksanaan sistem Ejaan Bersama ini telah ditangguhkan. Pada bulan Jun 1972, satu rombongan Malaysia
yang diketuai oleh Tuan Haji Sujak bin Rahiman telah pergi ke Indonesia untuk
mengadakan rundingan dengan Pendita Ejaan Bahasa Indonesia yang diketuai oleh
Ibu Mulyadi. Hasilnya kedua-kedua pihak bersetuju berdasarkan kepada semangat
keputusan 1967. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1972, dengan persetujuan
kedua negara, iaitu Malaysia dan Indonesia, Sistem Ejaan Rumi bagi Bahasa
Malaysia-Indonesia telah dilancarkan penggunaanya. Dengan adanya sistem ejaan
baharu ini, tidak akan timbul lagi masalah sistem ejaan yang harus diikuti dan
digunakan terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah
dan ejaan rumi media-masa di negara ini.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan