Ahad, 28 Ogos 2016

Lukut simpan peristiwa berdarah

MOHAMAD ATHIR ISMAIL  |  27 Ogos 2016 5:50 PM
TAPAK di atas bukit Gajah Mati ini dikatakan terletaknya Kota Lukut dan istana pemerintah Lukut yang hilang.

APABILA bercerita tentang sejarah kemasyhuran Kesultanan Selangor, pasti sebahagian besar daripada kisah tersebut menyentuh kehebatan Lukut suatu ketika dahulu.
Menyingkap sejarah awal Lukut yang bermula awal kurun ke-19, daerah tersebut dibuka oleh kerabat diraja Selangor, Raja Busu.
Sebelum diletakkan di bawah daerah Port Dickson selepas nama Sungei Ujong ditukar kepada Negeri Sembilan, Lukut dibuka kerana potensi hasil buminya yang menjadi tumpuan ramai pelombong bijih timah.
Dalam catatan jurnal Sejarah Lukut tulisan Zulkapli Othman dan Mohd Khalid Yasin, Lukut dahulu merupakan sebahagian daripada wilayah Selangor.
Sewaktu pemerintahan Raja Busu, Lukut telah menyaksikan sebuah peristiwa yang tidak boleh dilupakan apabila istananya dibakar akibat rasa tidak puas hati terhadap pentadbirannya.
Menurut Ketua Kampung Lukut, Mohamad Shukor, Kota Lukut adalah tempat pentadbiran berbeza dengan Lukut, namun kedua-duanya terletak dalam wilayah sama.
“Wilayah yang sama tetapi sejarahnya berbeza. Lukut dibuka oleh Raja Busu, manakala Kota Lukut pula diasaskan Raja Jumaat Raja Jaafar.
“Sebagai pembuka wilayah Lukut, Raja Busu telah membawa masuk ramai pelombong Cina. Tetapi, beliau telah membuat pelombong Cina marah kerana menaikkan cukai.
“Mungkin kerana kerancakan industri perlombongan, beliau terdorong untuk menaikkan cukai sebanyak 10 peratus. Namun keputusan tersebut telah menyebabkan kemarahan mereka,” katanya kepada S2.
Selepas itu, tambah beliau, keadaan menjadi lebih buruk apabila kemarahan pelombong membuak-buak sehingga sanggup membuat kacau dan membakar istana Raja Busu.
“Kisah ini boleh dikatakan seperti rusuhan kaum. Lebih kurang 300 hingga 400 pelombong berarak ke istana Raja Busu, namun beliau tidak mahu berjumpa dengan mereka malah menyatakan tidak takut mati.
“Berang dengan tindakan Raja Busu, mereka telah membakar istananya. Dalam peristiwa itu, Raja Busu bersama keluarga telah dibunuh. Makam Raja Busu dan keluarganya ada dekat Kampung Kuala Lukut di Chuah, Negeri Sembilan.
“Pengikut setia yang berang selepas mendengar peristiwa tersebut telah bertindak membalas dendam terhadap pelombong sehingga mereka melarikan diri ke Melaka,” ujarnya.
Beberapa tahun selepas peristwa tersebut, Raja Jumaat yang juga menantu kepada Sultan Selangor ketiga iaitu Sultan Muhammad telah membuka Kota Lukut dan mengembalikan kegemilangan ekonomi serta politik di sana.


Sumber-http://www.utusan.com.my/rencana/lukut-simpan-peristiwa-berdarah-1.375178#sthash.ZOANMIiN.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan