Jumaat, 19 Ogos 2016

Masjid purba ditemukan

Dipercayai dibina pada zaman awal Islam
20 Ogos 2016 12:04 AM 
SEBUAH tapak masjid yang dipercayai dibina sejak abad pertama hingga kelima selepas tahun Hijrah ditemukan di Al-Kharj, Arab Saudi. Masjid itu dikatakan yang terbesar di Semenanjung Arab pada masa itu. AGENSI

RIYADH 19 Ogos - Pakar arkeologi yang menjalankan kerja-kerja penggalian di tapak sejarah di sekitar wilayah al-Kharj, tengah Arab Saudi menemukan sebuah masjid purba yang dipercayai dibina sejak zaman awal Islam.
Arab News melaporkan, masjid yang terletak di al-Yamamah, dipercayai yang terbesar pada zaman itu dan ketiga terbesar yang pernah dibina di Semenanjung Arab selepas Masjidilharam dan Masjid Nabawi.
Masjid tersebut dipercayai dibina pada abad pertama hingga kelima selepas tahun Hijrah.
Projek penggalian di tapak purba itu dijalankan oleh 18 orang sarjana dan pakar arkeologi dari Arab Saudi serta Perancis sejak September 2011.
Selain al-Yamamah, misi pe­nerokaan dan penyelidikan itu turut merangkumi kawasan al-Bina serta lima lagi tapak pe­nemuan di sepanjang Wadi Nisah.
Lebih menarik, pasukan penyelidik itu juga berjaya me­nemukan sebuah tapak lama yang dipercayai wujud sejak Zaman Batu yang sememangnya dikenali kerana kaya dengan ele­men budaya dan warisan penduduk Saudi.
Antara yang ditemukan termasuk barangan yang diperbuat daripada tanah liat, objek kaca dan gelang yang dihasilkan daripada tanah liat pelbagai warna.
Sementara itu, di Ain al-Dale’a, bahagian barat al-Kharj, beberapa unit kediaman yang dikatakan berusia sekitar 5,000 tahun telah ditemukan bersama besi serta pedang gangsa berukuran kira-kira 56 sentimeter panjang.
Penggalian yang dijalankan oleh kedua-dua buah negara itu dibuat menerusi satu perjanjian antara Suruhanjaya Saudi untuk Pelancongan dan Warisan Negara dan rakan sejawatnya di Perancis pada 21 September 2011.
Menerusi perjanjian itu, pa­sukan penyelidik dari Perancis diketuai oleh Dr. Jeremy Chitikat manakala Arab Saudi pula di­pimpin Dr. AbdulAziz Al-Hammad yang juga seorang profesor arkeologi dan warisan di Universiti Raja Saudi.
Menurut Dr. AbdulAziz, misi itu dipercayai pertama kali dibuat di Asia Barat dengan penyertaan ramai pakar serta penyelidik yang datang daripada pelbagai latar belakang akademik.
Pengerusi Majlis Saudi untuk Pelancongan dan Warisan Kebangsaan, Putera Sultan bin Salman juga dikatakan menghargai usaha itu demi melindungi kha­zanah serta peninggalan sejarah negara yang tidak ternilai.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/masjid-purba-ditemukan-1.372526#sthash.o1Njkhc9.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan