Isnin, 1 Ogos 2016

Hillary Clinton cipta sejarah

 
PHILADELPHIA – Hillary Clinton kelmarin menempa sejarah sebagai wanita pertama yang memenangi pencalonan bagi Presiden Amerika Syarikat (AS).

Bekas Setiausaha Negara berusia 68 tahun itu secara rasmi menerima pencalonan Parti Demokrat untuk bertan­ding dalam pilihan raya Presiden AS, 8 November depan.

Beliau akan berdepan bilionair, Do­nald Trump daripada Parti Republikan dan beberapa calon bebas lain.

Berjanji akan menjadi Presiden kepada seluruh rakyat AS, Clinton, me­nerima sorakan gemuruh daripada beribu-ribu delegasi Parti Demokrat pada konvensyen parti itu di Philadelphia.

Pemimpin itu mengulangi tema konvensyen parti Demokrat, “teguh bersama” dan mengisytiharkan bahawa matlamat hidup­nya adalah memastikan rakyat AS dapat menggunakan bakat dan cita-cita mereka untuk memperkasakan negara.

“Dengan rasa rendah diri, keazaman dan penuh yakin, saya menerima pencalonan bagi Presiden AS,” kata Clinton sambil diperhatikan oleh suami­nya, Bill dan anak perem­puan mereka, Chelsea.

Dalam ucapannya selama sejam, Clinton membentangkan pelannya untuk menambah baik ekonomi AS.

“Misi utama saya sebagai Presiden adalah mewujudkan lebih banyak peluang dan lebih banyak kerja dengan gaji yang meningkat.

“Saya akan menjadi Presiden kepada penyokong Parti Demokrat, Parti Republikan dan calon bebas.

“Saya juga akan menjadi Presiden kepada golongan miskin, sederhana dan kaya seterusnya kepada mereka yang mengundi saya ataupun tidak. Saya akan menjadi Presiden kepada seluruh rakyat AS,” katanya.

Konvensyen empat hari itu membariskan beberapa pemimpin utama AS termasuk Presiden Barack Obama yang memuji Clinton sebagai waris politiknya.

Dalam perkembangan berkaitan, Clinton dan regunya untuk jawatan Naib Presiden AS, Tim Kaine dijadualkan memulakan kempen mereka semalam.

Kedua-dua pemimpin itu akan melawat negeri Pennsylvania dan Ohio.

Clinton sebelum ini memaparkan Trump sebagai seorang ahli politik cetek ilmu pengetahuan terutamanya berkenaan dasar luar AS.

Beliau turut mengejek Trump yang mengaku tahu lebih banyak tentang kumpulan mi­litan Islamic State berbanding jeneral-jeneral AS.

“Tidak Trump, itu tidak benar,” kata Clinton. – AFP

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz4G6QVCejm Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan