Keagungan Allah di Gua Hira
"Terbitnya" pembawa
kebenaran, Rasulullah SAW
OLEH ZULKIFLEE BAKAR | 17 Ogos
2016 6:00 PM
PENULIS (kanan sekali)
bergambar bersama rombongan wartawan Malaysia selepas mendaki Jabal Nur.
MENDENGAR laungan azan subuh
dari seluruh pelosok Mekah di atas Jabal Nur sudah cukup menginsafkan kita
mengenai kebesaran Allah SWT.
Bukit tersebut bukan sebarang
bukit, di situlah terselitnya Gua Hira tempat junjungan besar Nabi Muhammad SAW
menerima wahyu pertama daripada Allah SWT.
Dalam surah Saba’ ayat 28 Allah
SWT berfirman: “Tiadalah Kami utus engkau (Muhammad) melainkan untuk seluruh
umat manusia, membawa khabar gembira dan memberi peringatan, namun kebanyakan
manusia tidak mengerti.”
Rasulullah SAW menerima wahyu
pertama baginda ketika bersendirian di Gua Hira. Malaikat Jibril a.s. datang
dan mengajar baginda untuk membaca lima ayat pertama dalam surah al-Alaq yang
bermaksud:
“Bacalah dengan menyebut nama
Tuhan yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.
Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah. Yang mengajar manusia dengan
perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.”
Pada 11 Ogos lalu, penulis
bersama rombongan wartawan Malaysia yang membuat liputan ibadah haji menjejak
kaki di Gua Hira. Namun untuk sampai ke puncak Jabal Nur setinggi lebih 600
meter bagi membolehkan kita berada di dalam Gua Hira bukanlah satu tugas yang
mudah.
Percayalah tanpa kekuatan
mental dan fizikal anda tidak mungkin sampai ke puncak gunung yang turut
dikenali sebagai Bukit Cahaya tersebut.
Kepenatan yang membelenggu diri
apabila berhenti berehat selepas beberapa langkah diatur menginsafkan kita
untuk bertanya bagaimana Rasulullah SAW boleh sampai ke puncak tersebut dengan
menunggang unta baginda dan bagaimana pula kudrat isteri baginda, Siti Khadijah
yang saban hari menghantar makanan kepada Rasulullah SAW ketika baginda
bersendirian di bukit.
Untuk ke puncaknya sudah ada
anak tangga dibina tetapi fikirkan bagaimana sukarnya Rasulullah SAW mendaki
dahulu dengan menunggang unta, tiada anak tangga, tiada jalan pintas. Apa yang
ada ialah satu pendakian bukit yang cukup menyeksakan.
Mungkin atas sebab itulah ada
antara pengunjung tidak menggunakan anak tangga sebaliknya berusaha mendaki
melalui laluan biasa untuk sampai ke Gua Hira. Niat mereka mahu merasai
kesusahan Rasulullah SAW.
Pendakian penulis bersama
rombongan wartawan lain bermula pada pukul 3 pagi (pukul 8 pagi waktu Malaysia)
, sasaran kami ialah untuk sampai di gua tersebut sebelum azan subuh
berkumandang pada pukul 4.37 pagi waktu tempatan (pukul 9.37 waktu Malaysia)
Dalam suasana cahaya
samar-samar satu demi satu langkah diatur dan setiap kali berhenti berehat,
‘tirai keindahan’ kota Mekah sedikit demi sedikit terungkap.
Selepas 33 minit mendaki,
penulis sampai ke puncak Jabal Nur. Untuk sampai ke Gua Hira, kita mempunyai
dua pilihan, kedua-duanya bagi penulis cukup menggentarkan. Laluan pertama
perlu melalui celah-celah bukit yang cukup sempit manakala laluan kedua perlu
mendaki tebing curam.
Di tepi Gua Hira terdapat
tertera perkataan ‘Ghor Khira’ berwarna merah yang bermaksud Gua Hira. Di atas
tulisan itu juga dituliskan dua ayat awal surat al- Alaq dengan cat warna
hijau. Surah yang sama turut tertulis di atas salah satu laluan ke Gua Hira.
Ruang di dalam gua hanya selesa
untuk dua orang dan ramai pengunjung mengambil kesempatan melakukan solat sunat
di situ sebelum solat subuh. Apa yang menakjubkan dari ruang yang dikatakan
menjadi tempat solat Rasulullah SAW, kita akan dapat melihat secara jelas
Baitullah dari celah-celah batu.
Tepat pukul 4.37 pagi, azan
subuh berkumandang, percayalah ketika itu anda akan mendengar satu gegaran
suara yang amat menakjubkan.
Kini Gua Hira terus dikunjungi
namun bagi sebahagian besar pengunjung ia bukan semata-mata mahu melawat tetapi
bermuhasabah untuk memikirkan betapa hebatnya Allah mencipta gua tersebut bagi
melahirkan seorang pembawa kebenaran iaitu Rasulullah SAW.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/keagungan-allah-di-gua-hira-1.371547#sthash.9Y0azSlR.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan