ARKIB : 29/09/2010
CONTOH fenomena kedegilan dan
permusuhan bangsa Yahudi sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq ialah
seperti mana yang ditegaskan oleh Yasir bi Akhtab seperti mana diceritakan oleh
anak saudara kesayangannya, Safiyyah yang merupakan anak salah seorang pembesar
Yahudi, Huyayy binti Akhtab.
Safiyyah berkata: "Setiap
kali mereka melihat aku, pasti mereka memegang dan memelukku. Sehinggalah pada
suatu hari, mereka hadir dalam satu majlis pertemuan dengan Nabi Muhammad.
Iaitu dari pagi sehinggalah lewat petang barulah mereka pulang ke rumah dengan
rupa wajah yang bingung dan sedih.
"Mereka langsung tidak
menyapa saya berbeza dengan kelaziman yang mereka lakukan setiap kali apabila
bertemu dengan saya.
"Ketika itulah saya
mendengar mereka berkata sesuatu yang agak memeranjatkan juga," kata
Safiyyah.
Huyyay bertanyakan kepada Yasir:
"Betulkah dia orangnya? Yang sering disebut-sebut oleh para pendita dan
kitab-kitab kita sebelum ini?"
"Demi Allah, dialah
orangnya," kata Yasir.
"Adakah kamu benar-benar
kenal dan meyakini dengan apa yang kamu percayai itu," tanya Huyyay lagi.
"Benar, kerana tanda-tanda
dan alamat kenabian itu ada padanya. Memang benarlah dialah orangnya, tidak
syak lagi," kata Yasir.
"Jika begitu apa yang
bermain dalam fikiran mu sekarang ini dan apa yang hendak kita lakukan,"
kata Huyyay.
"Demi Allah, selagi hayatku
masih dikandung badan, aku berazam akan memusuhi Muhammad untuk
selama-lamanya," kata Yasir tegas.
Begitulah sikap Yahudi, yang
sanggup bermuka-muka di hadapan baginda tetapi apabila pulang ke rumah, mereka
menunjukkan belang yang sebenar.
Namun Yahudi tetap menjadi
penduduk bukan Islam di Madinah yang perlu dihadapi oleh Nabi Muhammad.
Baginda mengetahui segala isi
perut mereka yang sebenarnya berpura-pura itu. Lalu dengan segera satu
perjanjian perlu dibuat dengan bangsa Yahudi, iaitu sebelum bangsa itu
menzahirkan penentangan mereka terhadap Islam.
Perjanjian dengan kaum Yahudi itu
yang secara imbas memberikan kepada mereka kebebasan mutlak dalam soal agama
dan harta benda.
Ini kerana baginda tidak
mengambil polisi pengusiran dan permusuhan terhadap bangsa itu. Tetapi satu
perjanjian yang langsung tidak memberi jalan bagi membolehkan bangsa itu
melakukan penentangan terhadap baginda dan Islam.
Lalu diadakan perjanjian dengan
kaum Yahudi yang mendiami Yathrib, yang antara butir-butirnya adalah seperti
berikut;
l Bangsa dan kaum Yahudi adalah
satu umat bersama dengan kaum Mukmin lain terutama yang mendiami Madinah. Lalu
masing-masing berhak mengamalkan agama mereka termasuklah pengikut-pengikut dan
diri mereka.
l Kaum Yahudi dan umat Islam
berkewajipan membiayai sendiri nafkah hidup masing-masing.
l Antara mereka hendaklah saling
tolong menolong terutama memerangi mereka yang menentang piagam ini.
l Kedua-dua kaum ini hendaklah
juga saling nasihat menasihati, berbuat kebaikan dan tidak melakukan sebarang
kesalahan yang boleh memudarat diri dan orang lain.
l Masing-masing juga tidak
dibenarkan sama sekali untuk membuat kesalahan terhadap orang lain tanpa
sebarang alasan yang munasabah.
l Pertolongan hendaklah diberikan
kepada mereka yang dizalimi tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.
l Dalam keadaan suasana
peperangan kaum Yahudi dan kaum Mukmin hendaklah sama-sama saling membiayai.
l Dengan piagam ini, Yathrib
menjadi tanah yang dihormati.
l Sebarang masalah atau
pertikaian yang dibimbangi membawa kerosakan di kalangan mereka yang memeterai
piagam ini hendaklah dirujuk kepada Allah dan Nabi Muhammad sendiri.
l Kaum Musyrikin Mekah tidak boleh
dilindungi dan begitu juga mereka yang menjadi tali barut kepada kaum Musyrik
Mekah itu.
l Mereka yang terlibat dengan
piagam ini hendaklah tolong menolong menentang mereka yang cuba menghancurkan
Yathrib.
l Perjanjian ini tidak boleh
dilanggar melain mereka yang zalim atau berdosa!
Dengan termeterainya perjanjian
ini, maka kaum Yahudi tertakluk kepada segala isi kandungannya. Ternyata ia
merupakan satu perjanjian yang memberikan keadilan kepada semua pihak dan
tersembunyi seribu satu hikmah yang secara bijak direncanakan sendiri oleh Nabi
Muhammad.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5cPBrZ6r3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan