ARKIB : 10/11/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SEBELUM lebih jauh kita pergi
merentasi sejarah perkembangan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah di Madinah
dan ancaman-ancaman luar dan dalam yang begitu menguji kepimpinan baginda, ada
baiknya kita mengenali satu lagi nama yang cukup besar tidak sahaja dalam hidup
baginda, malah dalam Islam keseluruhannya.
Beliau ialah Saidatina Siti
Aishah Abu Bakar, yang kisahnya begitu banyak terukir dalam catatan sejarah.
Kepada seluruh wanita Islam, Siti
Aishah adalah seorang lagi Ummul Mukminin (Ibu kepada orang yang beriman) yang
perlu diteladani, terutama dalam soal kepintaran, bijaksana dan proaktif.
Pada usia 25 tahun, Nabi Muhammad
menikahi Saidatina Siti Khadijah yang ketika itu adalah seorang janda berusia
40 tahun. Walaupun berstatus janda, Siti Khadijah seorang wanita bangsawan dan
sangat disegani dan dihormati oleh para penduduk Mekah.
Beliau mempunyai pengaruh besar
kerana kehebatan yang tiada tandingan dalam soal perniagaan dan sifat-sifat
mulianya terhadap masyarakat sekeliling.
Selama pernikahan dengan Siti
Khadijah ini, Rasulullah tidak pernah menikahi perempuan lain. Siti Khadijahlah
satu-satunya permaisuri yang menjadi tambatan hati, sumber kekuatan dan yang
melahirkan putera-puteri buat Rasulullah.
Pada umur 40 tahun, nabi SAW pun
menerima wahyu. Dengan demikian baginda telah diangkat oleh Allah SWT sebagai
nabi terakhir di muka bumi ini.
Namun tiga tahun sebelum baginda
berhijrah ke Madinah, iaitu ketika berusia 50 tahun, baginda ditimpa duka
apabila isteri, Siti Khadijah yang sangat mulia itu, meninggal dunia pada usia
65 tahun.
Selepas hidup keseorangan hampir
setahun, dua tahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah, iaitu pada usia 51
tahun baginda pun bernikah dengan Siti Aishah, satu-satunya anak dara
berbanding isteri-isteri baginda yang lain.
Setahun selepas berhijrah ke
Madinah, baginda pun hidup serumah dengan Aishah sebagai suami isteri dan
ketika itu baginda dikatakan berusia 54 tahun.
Sedikit catatan asal usul
mengenai Siti Aishah. Beliau seperti yang diketahui umum adalah puteri kepada
sahabat baik baginda Rasulullah, Abu Bakar dan isterinya Ummu Rumman yang
dinikahi sebelum memeluk Islam lagi.
Selain Siti Aishah, seorang lagi
anak Abu Bakar ialah Abdul Rahman.
Namun dikatakan Ummu Rumman ini
adalah isteri kedua Abu Bakar kerana isteri pertama beliau bernama Qutailah
binti Abdul Uzza yang melahirkan dua orang anak iaitu Abdullah dan Asma'.
Perkahwinan Siti Aishah dengan
Rasulullah tidak dikurniakan sebarang anak berbanding kakak tiri di sebelah
ibu, iaitu Asma' mempunyai beberapa anak yang antaranya bernama Urwah.
Urwah pula mempunyai seorang
putera bernama Hisyam yang dikatakan yang paling banyak meriwayatkan tentang
Siti Aishah.
Menurut Hisyam lagi, Rasulullah
suka memanggil Siti Aishah dengan panggilan yang kemerah-merahan (sesetengah
berkata "Si Pipi Merah) atau dalam bahasa Arabnya Al Humaira seperti yang
selalu baginda berkata: Kallimni ya Humaira! (Berbicaralah dengan aku, wahai
Humaira!)
Agaknya yang dimaksudkan dengan
merah di sini, kerana warna kulit Siti Aishah yang agak putih kemerah-merahan,
iaitu dikatakan jauh berbeza daripada bapanya yang dikatakan bertubuh tinggi
dan besar namun berkulit sawo matang.
Siti Aishah bukan sebarang wanita
biasa kerana beliau sangat cerdas dan bijak.
Dalam kedudukan perawi hadis,
beliau menduduki tempat keempat, iaitu sebanyak 2,210 hadis dengan 316 disebut
dalam kedua-dua Sahih Bukhari dan Sahih Muslim (perawi yang pertama Abu
Hurairah, 5, 374 hadis diikuti Ibnu Umar sebanyak 2,630 hadis dan Anas bin
Malik sebanyak 2,286 hadis).
Beliau juga sangat berani dan
mempunyai pengaruh besar terhadap umat Islam berikutan kedudukannya sebagai
isteri Rasulullah.
Malah dikatakan isteri Rasulullah
itu satu-satunya wanita yang menyertai peperangan Badar bagi melawan golongan
kafir Quraisy.
Namun kita semua maklum di
sebalik kisah Siti Aishah, ada isu dan persoalan yang masih bermain-main
sehingga hari ini.
Benarkah beliau berkahwin dalam
usia yang masih kanak-kanak iaitu enam tahun ketika disatukan dengan Rasulullah
yang ketika itu berusia 51 tahun di Madinah?
Kebanyakan hadis mengenai perkara
ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nisa'ie dan Ibn Majah
yang mencatatkan bahawa Siti Aishah menikah ketika berumur enam tahun dan
tinggal bersama Nabi ketika berumur sembilan tahun.
Namun, dikatakan kesemua hadis
tersebut menggunakan riwayat daripada Hisham bin Urwah seperti yang disebut di
awal tadi, yang dikira berpangkat cucu kepada Siti Aishah.
Kebanyakan ulama seperti Ajurri,
Uqayli, Abu al-Aswad dan Imam Malik mengatakan, semua riwayat daripada Hisham
dan daripada bapanya yang berkaitan Siti Aishah tidak boleh dipercayai, kerana
semua riwayat tersebut berasal dari Iraq.
Yaqub ibn Abi Shaybah, Ibn
Kharash dan Imam Malik, Ajurri, Uqayli dan Abu al-Aswad, semua sepakat bahawa
riwayat Hisham dari Iraq tidak boleh dipercayai kerana ia tidak pernah
diketahui oleh ulama-ulama Madinah.
Ini kerana sebagaimana tegas Imam
Malik dan Imam al-Shafie yang mengatakan: "Setiap riwayat yang tiada
sumber dari Hijaz, tiada asasnya, dan tidak boleh dipercayai."
Tehzibu'l-Tehzib, salah satu buku
yang cukup terkenal yang berisi catatan para periwayat hadis, menurut Yaqub ibn
Shaibah mencatat: "Hisham sangat boleh dipercayai, riwayatnya dapat
diterima, kecuali apa-apa yang dia ceritakan setelah berpindah ke Iraq."
Sebagai makluman, Hisham tinggal
di Madinah dan kemudiannya berpindah ke Iraq ketika berusia 71 tahun.
Di samping dikatakan bahawa Malik
ibn Anas menolak riwayat Hisham yang dicatat daripada orang Iraq: "Saya
pernah diberitahu bahawa Malik menolak riwayat Hisham yang dicatat dari
orang-orang Iraq". (Tehzi'b u'l-tehzi'b, IbnHajar Al- 'asqala'ni, Dar Ihya
al-turath al-Islami).
Sementara dalam buku
Mizanu'l-ai'tidal, buku lain yang berisi huraian riwayat hidup pada periwayat
hadis Nabi SAW mencatat: "Ketika masa tua, ingatan Hisham mengalami
kemunduran yang teruk". (Mizanu'l-ai'tidal, Al-Zahbi, Al-Maktabatu'l-athriyyah,
Sheikhupura, Pakistan, Vol. 4, p. 301)
Oleh kerana semua hadis berkaitan
dengan pernikahan Aishah dikatakan berasal dari Iraq dan tidak diketahui
langsung oleh ulama Madinah, maka hadis-hadis itu tidak boleh dipercayai
walaupun hadis tersebut memenuhi syarat-syarat di dalam Sahhih Sittah.
Lalu ini memberikan kita
kesimpulan bahawa semua hadis berkaitan perkahwinan Aishah hanya datang
daripada satu sumber sahaja iaitu Hisham ibn Urwah di Iraq.
Ia tidak pernah diketahui oleh
ulama Madinah di samping kebanyakan ulama hadis menolak riwayat Hisham yang
berasal dari Iraq dikhuatiri diceritakan dalam usia yang sangat lanjut mahupun
nyanyuk.
Ikuti keluaran akan datang
merungkaikan misteri usia perkahwinan isteri kesayangan Rasulullah ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cy21FCtl
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan