ARKIB : 01/05/2011
Nicol David dan Mohd. Nafiizwan menunjukkan trofi
selepas memenangi perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Asia di Pusat Skuasy
Antarabangsa Nicol David di Bukit Dumbar, Pulau Pinang, semalam.
KUALA LUMPUR - Pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol
David memberi kemenangan berganda buat Malaysia pada Kejohanan Skuasy Asia
apabila mempertahankan kejuaraan kelapan berturut-turut, semalam.
Namun Mohd. Nafiizwan Adnan mencuri tumpuan selepas
melakar kejutan terbesar dengan menundukkan Ong Beng Hee untuk menjulang
gelaran perseorangan lelaki.
Ketika kemenangan Nicol ke atas pemain Hong Kong,
Annie Au sudah diduga, apa yang mengejutkan peminat di Pusat Skuasy
Antarabangsa Nicol David, Bukit Dumbar adalah keupayaan Nafiizwan Beng Hee
11-7, 7-11, 11-7, 11-8 untuk ditabalkan juara buat kali pertama.
Ia bukan saja kemenangan pertama Nafiizwan ke atas
Beng Hee, malah kejuaraan hadir enam hari selepas dia menyambut ulang tahun
ke-25.
"Syukur kepada Allah atas kemenangan ini. Ia
hadiah hari jadi paling istimewa pernah saya terima. Kejayaan ini memberi
keyakinan untuk saya mencari kejuaraan lebih besar, saya mahu memburu gelaran
dunia.
"Saya tidak pernah terfikir akan pergi sejauh
ini kerana sasaran awal saya cuma berada dalam kedudukan empat terbaik, namun
sebaik berjaya ke separuh akhir buat kali pertama, saya mula berkata kepada
diri sendiri, mengapa saya tidak boleh menang ?,'' ujar Nafiizwan, yang
menghuni ranking ke-45 dunia.
Kelmarin, Nafiizwan mengejutkan pilihan
kedua,Farhan Mehboob dari Pakistan pada separuh akhir.
Sementara itu bagi Nicol, kemenangan mudah 11-3,
11-2, 11-5 ke atas pilihan kedua, Annie membuktikan dia tiada tandingan, malah
memahat rekod yang sukar dipecahkan mana-mana pemain selepas ini.
"Saya sangat teruja kerana bermain di depan
keluarga serta rakan-rakan.
" Saya membesar di sini, jadi ia memberi satu
perasaan yang terlalu istimewa buat saya. Hari ini, saya memberikan permainan
terbaik saya dan meraih kemenangan yang hebat,'' kata Nicol.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0501&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5e9AWbQ61
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan