ARKIB : 15/10/2010
ABU Jahal atau namanya yang
sebenar adalah Abu Hakam bin Syams. Beliau adalah pemimpin Quraisy yang sangat
kuat dalam menentang usaha Rasulullah SAW untuk menyebarkan Islam.
Beliau mendapat gelaran Abu Jahal
kerana sikapnya yang jahil dengan kebenaran.
Apabila beliau mendengar bahawa
Rasulullah serta umat Islam di Madinah cuba menyekat kafilah Abu Sufian,
beliaulah orang yang paling lantang mengapi-apikan permusuhan kaumnya dengan
Rasulullah.
Abu Jahal selalu memaki dan
memburuk-burukkan Rasulullah di hadapan kaumnya. Beliau sangat sombong dan
selalu bercakap besar.
Beliau pernah berkata bahawa, beliau
dan pengikut-pengikutnya tidak akan kembali sebelum tiba di Badar.
Mereka akan tinggal di sana
selama tiga hari tiga malam, berpesta dengan riang ria sambil memotong kambing
dan meminum khamar (arak), serta dihiburkan dengan syair-syair merdu yang dinyanyikan
oleh wanita-wanita yang dibawa oleh mereka.
Semasa dalam Perang Badar, beliau
dikawal oleh tentera-tentera yang ditugaskan khas untuk mengawalnya.
Abdul al-Rahman bin Auf
menceritakan bahawa telah datang kepadanya dua orang pemuda iaitu Muaz bin Amru
dan Muawiz bin Afra bertanyakan perihal Abu Jahal. Lalu ditunjukkan kepada
mereka kedudukan Abu Jahal.
Berlakulah pertembungan yang
sengit antara kedua-dua pemuda itu dengan Abu Jahal. Muaz terus memukul dan
memenggal separuh daripada kaki Abu Jahal.
Tiba-tiba anak Abu Jahal telah
menetak sebelah tangannya sehingga terkulai, lalu Muaz mengheret tangannya yang
tergantung itu dan ditanggalkan terus daripada badannya.
Muaz pun terus mengasak Abu Jahal
dengan pedangnya sehingga terhumban jatuh dan hampir menemui ajal. Sementara
Muawiz pula terus berperang sehingga gugur sebagai seorang syahid.
Setelah selesai peperangan,
Rasulullah memerintahkan orang-orang Islam supaya mencari Abu Jahal. Akhirnya
Abdullah bin Mas'ud menjumpai Abu Jahal yang ketika itu masih dalam keadaan
nyawa-nyawa ikan.
Abdullah meletakkan kakinya ke
atas leher Abu Jahal dan memegang janggut beliau lalu memenggal kepala Abu
Jahal dan dibawa ke hadapan Rasulullah.
Lalu baginda pergi ke tempat
jasad Abu Jahal yang tersadai itu dan berkata, "Inilah dia Firaun umat
ini".
Melihat kepala Abu Jahal itu
maka, Rasulullah SAW pun turun dari tunggangan baginda. Rasulullah mengadakan
sujud syukur serta memuji kebesaran Allah SWT apabila musuh nombor satu Islam
itu akhirnya mati di tangan tentera Islam.
Kematian Abu Jahal bermakna
lumpuhnya kepimpinan kaum Musyrikin Quraisy Mekah. Sehingga kini nama Abu Jahal
masih disebut-sebut sebagai orang yang menjadi musuh Rasulullah. Begitulah
tragisnya kematian Abu Jahal di tangan tentera Muslimin.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cwVESZsv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan