ARKIB :
16/02/2011
Susunan SITI
AINIZA KAMSARI
DALAM perang
Badar banyak peristiwa yang menjadi iktibar dan pengajaran kepada semua.
Antaranya ia menyaksikan majikan dibunuh oleh hambanya sendiri, seperti yang
berlaku terhadap Bilal yang membunuh bekas majikannya, Umayyah bin Khalaf.
Selain itu,
terdapat beberapa peristiwa yang melibatkan pembunuhan antara anak beranak
(anak membunuh bapa), adik beradik dan saudara mara,
Walaupun
mereka mempunyai hubungan darah dan persaudaraan tetapi disebabkan mahu
menegakkan Islam, masing-masing terpaksa menghadapi situasi yang tidak ubahnya
seperti ditelan mati mak, diluah mati bapa.
Cinta terhadap
Islam mengatasi segala-galanya hatta terpaksa membunuh bapa sendiri.
Antara
peristiwa yang membabitkan pembunuhan bapa sendiri ialah bagaimana seorang
sahabat baginda, Abu Ubaidah Al Jarrah yang terpaksa membunuh bapanya sendiri,
Abdullah Al Jarrah.
Tetapi, ia
bukan sesuatu yang disengajakan. Si anak tidak mempunyai pilihan setelah
bapanya tetap menolak Islam walaupun puas dipujuk.
Dalam kes Abu
Ubaidah, bapanya sendiri yang mencarinya sewaktu perang tersebut kerana
Abdullah mahu membunuh anaknya itu.
Ia ekoran Abu
Ubaidah dikatakan sanggup membuang keluarga semata-mata untuk memeluk Islam
termasuk meninggalkan Mekah dan menjadi pengikut Nabi Muhammad.
Abu Ubaidah
adalah anak yang paling disayangi oleh bapanya yang merupakan seorang saudagar.
Segala harta
kekayaan Abdullah diturunkan kepada Abu Ubaidah termasuk memberi modal untuk
berniaga.
Tetapi
Abdullah sangat kecewa dan memutuskan hubungan dengan Abu Ubaidah apabila
anaknya itu memeluk Islam. Malah, Abu Ubaidah turut di seksa selain kekayaannya
dirampas.
Dalam keadaan
sehelai sepinggan Abu Ubaidah mengadu nasib kepada Rasulullah SAW.
Abdullah
bertambah sakit hati apabila anaknya itu turut berhijrah ke Madinah. Sejak itu,
Abdullah sentiasa berazam untuk membunuh Abu Ubaidah.
Kemarahan
Abdullah terhadap anaknya makin bertambah apabila Abu Jahal sentiasa
mengapi-apikannya supaya meneruskan niatnya untuk membunuh Abu Ubaidah.
Jika Abdullah
sanggup membunuh anaknya sendiri, maka sebagai ganjaran dia akan dilantik
menjadi salah seorang pembesar yang paling terhormat seluruh Tanah Arab.
Abu Ubaidah
sendiri menyedari niat bapanya itu. Semasa Perang Badar beliau sentiasa
mengelak daripada terserempak atau bertembung dengan bapanya.
Namun atas
maklumat tentera Quraisy yang ternampak kelibat Abu Ubaidah, mereka segera
memberitahu kedudukan si anak itu kepada Abdullah.
Sebaik
mengetahui kedudukan Abu Ubaidah, Abdullah pun segera meluru dan memburu
anaknya.
Menyedari
tindakan bapanya itu, Abu Ubaidah melarikan diri supaya seboleh-bolehnya beliau
tidak mahu berdepan dengan bapanya sendiri.
Tetapi
akhirnya Abu Ubaidah tidak boleh melarikan diri lagi. Beliau berjaya dipintas
oleh bapanya dan mereka akhirnya berdepan antara satu sama lain.
Lalu dia
merayu kepada bapa supaya antara mereka tidak saling berbunuh-bunuhan dan
mengakui kebenaran mengenai Islam supaya masing-masing selamat.
Namun Abdullah
dengan pedang yang terhunus tidak menghiraukan kata-kata anaknya itu.
"Aku
tidak akan tunduk kepada tuhan Muhammad. Aku rela mati daripada menyembah tuhan
kamu itu," balas Abdullah.
Abdullah yang
hilang pertimbangan terus menghunus pedang untuk memenggal kepala anaknya. Abu
Ubaidah tidak membalas dan hanya bertahan daripada serangan dari bapanya itu.
Tetapi
tindakan tidak melawan itu membuakkan lagi kemarahan si bapa dan terus
menyerang Abu Ubaidah bertubi-tubi.
Akhirnya
perkara yang menyayat hati berlaku apabila Abu Ubaidah tanpa ada sebarang
pilihan terpaksa membunuh bapa yang beliau sangat hormati dan sayangi.
Abdullah
cedera parah apabila terkena libasan pedang anaknya. Sebaik bapanya cedera Abu
Ubaidah terus membuang pedang lalu memangku dan mendakap ayahnya. Beliau
menangis tersedu-sedu sambil meminta maaf kerana terpaksa membunuh. Si ayah
akhirnya mati di pangkuan anaknya sendiri dan Abu Ubaidah mengambil masa yang
agak lama untuk menerima hakikat kematian yang sebegini.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5ddAHmriZ
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan