ARKIB : 02/09/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
MUNGKIN ramai yang bertanya
mengapa Nabi Muhammad SAW memilih Madinah sebagai destinasi baginda dan seluruh
pengikutnya berhijrah? Mengapa tidak Yaman, Habsyah atau negeri-negeri lain!
Dikatakan baginda mendapat
petunjuk mengenai negeri untuk berhijrah itu menerusi mimpi.
Semasa baginda dan Abu Bakar
masih berada di Mekah, iaitu sebelum komplot membunuh oleh kalangan 11 pemuda
yang mewakili kabilah dan suku kaum itu.
Aku melihat dalam tidurku bahawa
aku akan berhijrah dari Mekah ke satu tanah yang banyak terdapat pada negeri
itu akan kebun-kebun kurma. Pada mulanya aku menyangka Yamamah atau Hajar,
rupa-rupanya Yathrib. (riwayat Bukhari).
Al Qurtubi berpendapat bahawa
seluruh Yathrib itu adalah Madinah, nama yang diberi oleh Rasulullah apabila
menubuhkan kerajaan Islam yang pertama di sana.
Namun baginda juga memberikan
gelaran lain kepada Madinah seperti Tayyibbah (baik) dan Tabah (nyaman).
Sementara Abu Ubaidah pula
berkata, Yathrib adalah nama kepada sebuah negeri dan Madinah itu adalah nama
salah satu daerah di dalamnya.
Al Suhayli pula berpendapat
dinamakan Yathrib kerana ada penduduk asalnya adalah dari keturunan Al Amaliq
iaitu Yathrib bin Umayl bin Mihlail bin Iwad bin Amaliq bin Lawudh bin Iram.
Selepas tiga hari tiga malam
baginda menyembunyikan diri dalam Gua Tsur bersama Abu Bakar, mereka meneruskan
perjalanan ke Yathrib.
Ketika hendak memulakan hijrah,
datanglah anak perempuan Abu Bakar, Asma membawakan makanan untuk Rasulullah
dan bapanya.
Tetapi Asma terlupa untuk
memasangkan tali sangkut pada bekalan tersebut. Ketika mereka hendak berangkat,
Asma pun hendak menyangkutkan bekalan itu pada unta yang menjadi kenderaan
bapanya dan Rasulullah tetapi tiada tali.
Lalu Asma mengoyakkan kain yang
menjadi tali pinggangnya kepada dua bahagian. Satu dijadikan penyangkut dan
yang satu lagi dipakainya kembali.
Lantaran dari peristiwa itu,
Rasulullah menggelarkan Asma dengan gelaran yang manis iaitu dhat al-nitaqayn
(empunya dua tali pinggang).
Jalan pertama yang dilalui
selepas keluar dari gua Tsur ialah ke selatan ke arah Yaman. Kemudian ke barat
menuju ke persisiran pantai.
Apabila sampai ke sebatang jalan
yang jarang dilalui, mereka pun mengarah pula ke utara berhampiran pantai Laut
Merah dan merentasi sebatang jalan yang jarang-jarang dilalui orang.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada
Abu Bakar, katanya: Kami pun berjalan pada malam hari. Walau udara begitu sejuk
dan hanya bertemankan bulan di langit namun kami tidak berhenti berjalan
sehinggalah sampai keesokan harinya apabila cuaca bertambah terik, barulah kami
berhenti berehat di sebalik sebuah batu besar yang memberikan sedikit
perlindungan dari terik cahaya matahari.
Namun perjalanan mereka akhirnya
berjaya dicium oleh seorang kafir Quraisy iaitu Suraqah bin Malek yang mendapat
maklumat daripada seorang lelaki.
Tanpa membuang masa lagi, dia
menyiapkan seekor kuda yang gagah dan lengkap bersenjata untuk mengejar
baginda.
Suraqah terkenal sebagai
penunggang kuda yang cekap. Dia juga dikatakan seorang yang mahir bermain
senjata terutama tombak dan panah.
Dia terus memecut kuda dan
akhirnya nampak kelibat manusia. Malah Suraqah juga boleh mendengar alunan
bacaan al-Quran oleh Nabi Muhammad. Ini membuatkan dia memacu kudanya untuk
membunuh baginda.
Tetapi apabila Suraqah semakin
menghampiri Nabi SAW dan Abu Bakar, tiba-tiba kaki kudanya terbenam ke dalam
pasir sehingga ke paras lutut kuda tersebut. Suraqah sendiri jatuh terhumban
akibat kemalangan yang tidak diduga itu.
Dia pantas bangun dan begitu juga
kudanya dapat keluar dari pasir. Namun tiba-tiba mereka didatangi ribut pasir.
Ribut kencang itu mengeluarkan
debu-debu hitam yang menyelubungi kawasan sehingga menutup pandangan mata.
Semua itu menghalang Suraqah
untuk menghunjamkan tombaknya atau memanah ke arah Nabi Muhammad.
Lalu, Suraqah menghentikan niat
jahatnya itu. Kejadian-kejadian pelik yang berlaku sebagai petanda bahawa Nabi
di pihak yang benar.
Suraqah pun terus memberi isyarat
berdamai kepada baginda dan menghampiri Nabi SAW.
Sesungguhnya kaummu telah
menjanjikan tawaran untuk menangkap kamu wahai Muhammad. Tetapi sekarang ini
terserahlah kepada kamu untuk menahan aku kerana aku mempunyai niat untuk
membunuh kalian.
Niat itu kini tidak ada gunanya
lagi sedangkan alam (sekitar) turut merestui perjalanan kamu ini, aku memohon
kita berdamai sahaja, kata Suraqah.
Rasulullah dan Abu Bakar tidak
mengapa-apakan Suraqah dan tidak juga meminta apa-apa daripadanya.
Kamu cuma perlu jauhkan diri
kamu daripada kami, itu sahaja, kata Rasulullah.
Dalam satu riwayat yang lain, Abu
Bakar menceritakan perjalanan mereka itu.
Kami sudahpun berlepas dari kaki
Bukit Tsur, sedang kaum Quraish masih mencari kami. Tidak seorang pun yang
dapat menemui kami kecuali Suraqah bin Malik bin Ju'shum yang berada di atas
kudanya.
Lalu aku berkata, pemburuan ini
(kaum Quraisy) telah berjaya akhirnya menemui kita ya Rasulullah!
Baginda pun menjawab: Jangan
takut, kerana Allah akan sentiasa bersama kita.
Baginda kemudiannya meneruskan
perjalanan tanpa ada sebarang gangguan lagi mana-mana pihak.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5bmFmcFFH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan