ARKIB : 20/07/2010
UMAR al-Khattab adalah khalifah
Islam yang kedua. Pada ketika itu pusat pemerintahan berada di kota Madinah.
Umar adalah khalifah yang sangat disegani, bertanggungjawab dan amanah pada
tugasnya.
Segala arahan yang dikeluarkannya
adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas termasuk
oleh ahli keluarganya terlebih dahulu.
Tidak ada pengecualian kerana
Umar amat teliti dengan segala suruhan Allah dan Nabi Muhammad.
Terdapat kisah bagaiamana semasa
Umarb sedang mengira dan membahagikan wang baitulmal, tiba-tiba anak
perempuannya datang mengambil satu dirham wang itu.
"Saya jumpa wang. Ini wang
saya. Saya ada wang sekarang," kata anak perempuan Umar sambil
terlompat-lompat kerana gembira mendapat wang satu dinar.
Seperti kanak-kanak lain, anak
perempuan Umar itu memang tidak mengerti bahawa wang itu bukan milik ayahnya.
Walaupun ayahnya adalah
pemerintah pada masa itu, tidak bermakna anaknya dapat boleh mengambil wang
baitulmal sesuka hati.
Wang itu diberikan kepada orang
yang berhak menerimanya. Sudah menjadi tanggungjawab Umar membahagikan wang
baitulmal itu kepada individu-individu yang berhak menerimanya.
Umar menyuruh anak perempuannya
menyerahkan kembali wang itu.
"Tolong berikan ayah wang
itu kembali," kata Umar kepada anak perempuannya itu.
"Kembalikan wang itu,"
katanya lagi.
"Tidak mahu. Saya yang jumpa
wang ini. Wang ini milik saya," kata anak perempuannya sambil berlari-lari
anak.
Bagi Umar, sekiranya anaknya
mengambil wang itu, bermakna beliau sendiri tidak bersifat amanah pada wang
baitulmal itu.
Khalifah Umar tidak mahu
melanggar perintah Allah. Beliau juga tidak mahu menjadi pengkhianat kepada
negara yang diperintahnya itu.
Umar pun mengejar anaknya yang
sedang menuju ke rumahnya. Anaknya menjadi takut melihat ayahnya mengejarnya.
Lalu anak perempuannya menangis teresak-esak.
"Baik saya masukkan wang ini
ke dalam mulut saya. Untung-untung ayah tidak dapat mengambil wang ini," bisik
anak perempuannya itu.
Anak perempuannya memasukkan wang
satu dirham itu ke dalam mulutnya. Puas Umar memujuk anaknya.
"Kembalikan wang itu, wahai
puteri ayah," pujuk Umar kepada anaknya itu.
Anaknya masih berdegil. Tanpa
berlengah, Umar terpaksa memasukkan jarinya ke dalam mulut anaknya itu.
"Maafkan ayah kerana
terpaksa mengorek mulut kamu bagi mendapatkan semula wang baitulmal ini,"
kata Umar kepada anak perempuannya itu.
Umar mengorek wang itu dengan
jarinya. Wang itu berjaya dikeluarkan.
Kemudian Umar berkata kepada anak
perempuannya itu: "Maafkan ayah. Wang ini bukan kamu yang punya. Wang ini
milik baitulmal."
Anak perempuannya masih menangis,
sementara ibunya memujuk anaknya itu.
Orang lain yang berada di
baitulmal turut melihat kejadian itu. Mereka sangat kagum dengan sikap Umar
yang tegas.
Selepas berjaya mendapatkan wang
satu dirham itu, Umar kembali ke baitulmal dan meletakkan semula wang itu ke
tempat asalnya.
Kemudian Umar berkata kepada
orang Islam yang melihat kejadian itu: "Harta baitulmal bukan milik saya
atau keluarga saya. Harta dan wang Baitulmal adalah milik orang Islam yang
berhak menerimanya."
Peristiwa itu menjadi contoh
teladan kepada semua masyarakat Islam. Ketegasan dan keadilan Umar dalam
melaksanakan kepimpinannya, menjadikan beliau lebih dihormati oleh orang lain.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5bhEOA7HQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan