ARKIB : 24/11/2010
SEBELUM Nabi uhammad meninggal
dunia, beliau membentuk satu angkatan tentera yang diketuai oleh Usamah bin
Zaid. Angkatan tentera itu dibentuk bagi menentang penduduk Ghassan. Ghassan
adalah sebuah daerah jajahan Rom Timur. Permusuhan Rom disebabkan oleh tindakan
mereka membunuh utusan Nabi Muhammad.
Permusuhan itu membawa kepada
Perang Mu'tah. Dalam peperangan itu, beberapa panglima Islam terkorban termasuk
Zaida bin Harisah. Penduduk Rom juga mempergunakan orang Arab yang tinggal di
sempadan Syiria dan Palestin bagi menentang orang Islam.
Atas alasan itu, Nabi Muhammad
mengarahkan satu angkatan perang yang diketuai oleh Usamah binZaid dibentuk.
Nabi Muhammad mempersiapkan 700 tentera. Namun, takdir penentu segalanya.
Sebelum angkatan tentera itu bergerak ke medan perang di Ghassan, Nabi Muhammad
wafat.
Selepas Nabi Muhammad wafat,
Khalifah Abu Bakar as-Siddiq diberi tanggungjawab meneruskan cita-cita Nabi
Muhammad itu.
Pada masa itu, Usamah bin Zaid
baru berusia 18 tahun. Usianya yang masih muda tidak menghalang dirinya bagi
memikul amanah itu. Usamah taat dan patuh kepada perintah Allah dan Nabi
Muhammad . Beliau juga adalah pahlawan yang gagah perkasa. Sebelum peperangan
bermula, timbul satu masalah.
"Saya rasa gerakan tentera
Usamah ini patut dihentikan serta-merta," kata salah seorang sahabat Nabi
Muhammad yang berada di situ.
"Lagi pula, kita lihat
pelbagai ancaman yang berlaku di kota Mekah dan Madinah pada masa
sekarang," kata sahabat yang lain pula.
Sebahagian sahabat Nabi Muhammad
berpendapat, gerakan tentera Usamah itu patut dibatalkan. Hal ini kerana
ancaman dan pemberontakan berlaku di kota Mekah dan Madinah. Kaum Zubiyan dan
kaum yang lain mengancam mahu menyerang kota Madinah.
Abu Bakar as-Siddiq tetap dengan
pendiriannya meneruskan cita-cita Nabi Muhammad.
Katanya dengan tegas, "Demi
Allah, saya akan meneruskan perjalanan tentera Usamah. Saya bertekad
melaksanakan cita-cita Nabi Muhammad."
Sebahagian daripada sahabat yang
lain tidak dapat menghalang keputusan yang dibuat oleh Abu Bakar as-Siddiq.
Mereka terpaksa akur dengan arahannya untuk berangkat ke Rom.
Sebelum tentera Usamah bin Zaid
berangkat ke medan perang, Abu Bakar sempat mengucapkan selamat jalan kepada
Usamah.
"Selamat jalan. Semoga kamu
membawa berita kemenangan kepada orang Islam yang lain," kata Abu Bakar
kepada Usamah.
Pada masa itu, Abu Bakar
mengiringi Usamah sehingga keluar kota Madinah. Pada ketika itu, Abu Bakar
hanya berjalan kaki sementara Usamah menunggang kuda.
Melihat keadaan itu, Usamah
berasa kurang selesa. Usamah berkata kepada Abu Bakar as-Siddiq, "Wahai
Khalifah Abu Bakar, sepatutnya saya berjalan kaki dan tuan menunggang kuda ini
sehingga ke pintu keluar kota".
Abu Bakar as-Siddiq membisu
seribu bahasa dan hanya tersenyum mendengar pelawaan Usamah itu.
Bagi Usamah, beliau sepatutnya
menghormati Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Beliau berasa tidak selesa dalam
situasi itu.
"Marilah tuan, naik kuda
ini. Tidak elok rasanya saya menunggang kuda seorang diri, sedangkan tuan
berjalan kaki. Biarlah saya yang berjalan kaki," kata Usamah lagi.
Abu Bakar tersenyum dan berkata,
"Tidak mengapa. Kamu sahaja yang menunggang kuda itu. Sekarang kamu
berjihad ke jalan Allah demi menegakkan Islam. Saya berharap saya juga mendapat
ganjaran pahala seperti mana kamu berada di medan perang."
"Sekiranya Khalifah berkata
begitu, tidak mengapa. Tidak saya berasa malu pada khalifah," jawab Usamah
pula.
"Berjuanglah habis-habisan.
Bawa berita kemenangan kepada saya nanti," pesan Khalifah Abu Bakar
as-Siddiq kepada Usamah.
"Baiklah, saya pasti
berusaha sedaya upaya demi menegakkan agama Islam ini," balas Usamah pula.
Usamah meneruskan perjalanannya
ke Ghassan bersama angkatan tenteranya. Selepas tentera Usamah bin Zaid
berperang selama 40 hari, mereka berjaya mencapai kemenangan yang cemerlang.
Usamah membawa berita gembira kepada umat Islam.
Kemenangan itu memberi kesedaran
kepada kaum-kaum lain yang mahu menyerang Madinah. Kemenangan itu mengukuhkan
lagi kedudukan politik dan keselamatan masyarakat Islam do kota Madinah dan
kota Mekah. Akhirnya, tentera Usamah ditugaskan menjaga keselamatan kota
Madinah.
lPetikan daripada buku Sayap dari
Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5d3bfDVhq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan