ARKIB : 22/10/2010
JAAFAR bin Abi Talib atau
dikenali dengan gelaran Jaafar at- Taiyar merupakan sepupu kepada Rasulullah
SAW. Beliau bukan sahaja mempunyai bentuk badan dan raut wajah yang menyerupai
Rasulullah, malah perangainya juga seakan-akan sama dengan baginda.
Beliau adalah seorang pemuda yang
jujur, amanah, bijak, dan termasuk salah seorang pelopor ternama Islam.
Jaafar memeluk Islam bersama-sama
dengan isterinya Amma binti Umais pada hari yang sama. Mereka berdua
bersama-sama menanggung segala pahit perit dengan ketabahan tanpa memikirkan
bilakah penderitaan itu akan berakhir.
Mereka juga telah menyertai
rombongan awal kaum Muslimin untuk berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) dan tinggal
di sana selama beberapa tahun. Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu
Muhammad, Abdullah dan Auf.
Selama berada di Habsyah, Jaafar
menjadi jurubicara yang lancar dan sopan sesuai dengan panji Islam yang
dipegangnya. Itulah nikmat Allah yang tidak ternilai dikurniakan kepadanya. Ini
berlaku semasa penghijrahan kaum Muslimin ke Habsyah.
Penghijrahan itu membuatkan puak
Quraisy berasa tidak senang hati. Maka mereka pun menghantar utusan untuk
mempengaruhi dan memperdayakan pemerintah Ethiopia. Pemerintah Habsyah ketika
itu bernama Najashi (Negus) yang menganut agama Nasrani.
Utusan puak Quraisy telah membawa
banyak hadiah untuk memujuk pemerintah Habsyah agar tidak membenarkan kaum
Muslimin tinggal di sana.
Najashi sebagai pemerintah telah
mengadakan satu pertemuan. Pertemuan itu dihadiri oleh kaum Muslimin, puak
Quraisy dan pemimpin-pemimpin agama Najashi.
Pada kesempatan itulah, puak
Quraisy telah berkata: "Wahai Raja yang mulia, telah menyusur ke negeri
paduka orang yang bodoh dan tolol. Mereka tinggalkan agama nenek moyang dan
tidak pula menganut agama paduka, tetapi mereka membawa agama baru yang tidak
pernah kami kenali."
Najashi pun bertanya kepada kaum
Muslimin: "Agama apakah yang kamu bawa yang bukan agama kami?"
Jaafar pun bangkit berdiri dan
menjawab dengan sopan serta lancar sekali.
Katanya: "Wahai paduka yang
mulia. Dahulu kami memang orang-orang bodoh dan jahil, kami menyembah berhala
dan melakukan bermacam-macam perkara lagi.
"Tetapi kini Allah SWT
mengirimkan seorang rasul untuk membimbing kami ke jalan yang benar. Kami
menerimanya dan oleh sebab itulah kaum kami memusuhi kami. Lantaran itulah kami
berpindah ke negeri paduka."
Najashi pun bertanya lagi:
"Apa pandangan kalian tentang Isa?"
Jaafar pun bangkit lagi:
"Baginda ialah seorang hamba Allah dan Rasul-Nya serta kalimah-Nya yang
ditiupkan kepada Maryam dan roh daripada-Nya."
Ini berdasarkan hadis Rasulullah
SAW, Najashi berpuas hati dan membenarkan mereka terus tinggal di Habsyah.
Jaafar telah syahid ketika
menyertai peperangan Muktah. Beliau berjuang hingga ke titisan darah yang
terakhir. Walaupun beliau cedera, namun panji Islam masih tetap dipeluk kukuh
di celah-celah pangkal dada dan lengannya. Pada waktu itu, kedua-dua belah tangannya
telah pun putus dipotong oleh pihak musuh.
Ketika beliau syahid, terdapat
lebih 90 kesan tikaman pada seluruh badannya.
Rasulullah menyifatkan kedudukan
Jaafar sebagai burung bersayap dua di syurgs.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5cx1Zauw5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan