ARKIB : 03/11/2010
SALMAN al-Farisi adalah sahabat
Nabi Muhammad. Beliau dilahirkan di perkampungan Parsi yang dikenali sebagai
Jian atau Ispahan lama. Beliau berasal daripada keluarga yang berpengaruh dan
kaya.
Ayahnya mempunyai tanah pertanian
yang luas. Salman pernah ditugaskan menjaga api dan disembah oleh penganut
agama Majusi.
Masa remajanya berubah selepas
beliau menganut agama Kristian. Pada masa itu, beliau tinggal di kota Ispahan.
Semasa beliau berumur 12 tahun, seorang tokoh paderi Kristian memberitahunya
supaya mengikuti ajaran nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad.
Salman al-Farisi menganut agama
Islam pada tahun pertama Hijrah bersamaan 623 Masihi. Beliau hidup sederhana.
Beliau mempunyai tiga orang anak perempuan. Beliau meninggal dunia pada umur 88
tahun.
Beliau meninggal dunia pada masa
pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. Jenazahnya dikebumikan di Madinah yang
terletak di Iraq.
Salman al-Farisi dilantik sebagai
gabenor di Parsi. Namun beliau tidak pernah bersikap bangga diri. Malah, beliau
sendiri bersikap rendah diri. Hal ini menyebabkan ada antara rakyat yang tidak
mengenalinya sebagai seorang gabenor.
Pada suatu hari, semasa Salman
al-Farisi sedang berjalan-jalan, tiba-tiba beliau ditahan oleh orang awam.
"Ambil guni ini dan pikul
semua isi rumput ini sampai ke rumah saya," arah orang awam itu tanpa
mengetahui lelaki itu adalah Salman.
Tanpa banyak bercakap, Salman
terus sahaja mencapai dan memikul guni besar yang berisi penuh dengan rumput
itu.
"Bagus juga ada lelaki ini.
Mudah kerja saya. Tidak perlu bersusah payah memikul guni besar yang berat
ini," bisik orang awam itu sambil tersenyum melihat Salman al-Farisi
memikul beban isi rumput itu.
"Bawa guni ini baik-baik.
Pastikan rumput di dalam guni itu tidak terjatuh ke tanah," arah orang
awam itu kepada Salman al-Farisi.
"Baiklah. Kamu jangan risau.
Saya akan membawa guni ini sehingga ke rumah awak," jawab Salman pula.
Salman al-Farisi terus mengikut
orang awam itu sampai ke rumahnya. Dalam perjalanannya, tiba-tiba mereka
terserempak dengan seorang lelaki. Dia mengenali Salman al-Farisi.
"Assalamualaikum tuan,"
kata lelaki itu.
"Waalaikumussalam,"
jawab Salman sambil tersenyum lebar.
"Mengapa tua memikul guni
yang besar dan berat ini?" tanya lelaki ini.
"Orang itu mahu saya membawa
guni ini. Jadi, saya membantu dengan ikhlas," jawab Salman al-Farisi.
"Mengapa kamu berhenti dan
meletakkan guni itu di atas tanah? Ayuh, cepat kita pergi dari sini! Saya sudah
penat. Saya mahu cepat sampai ke rumah dan berehat," kata orang awam itu
dengan angkuhnya.
Melihat keadaan itu, lelaki yang
mengenali Salman itu terus memberitahu orang awam itu, "Kamu tidak tahukah
lelaki yang memikul guni besar itu siapa?"
"Tidak, saya tidak
mengenalinya," jawab orang itu.
"Lelaki itu adalah gabenor
di wilayah ini. Beliau adalah Salman al-Farisi," kata lelaki itu.
Orang awam itu tergamam mendengar
berita itu. Dia berasa bersalah, lalu meminta maaf kepada Salman al-Farisi.
"Maafkan saya tuan. Saya benar-benar tidak mengenali tuan sejak saya
menyuruh tuan memikul guni ini. Maafkan saya, tuan."
"Tidak mengapa," jawab
Salman pendek.
Orang awam itu berasa menyesal
dengan perbuatannya itu, lalu berulang kali meminta maaf. "Maafkan saya
tuan. Saya menyesal dengan tindakan saya menyuruh tuan memikul guni yang berat
itu. Maafkan saya tuan."
"Saya maafkan kamu,"
kata Salman al-Farisi.
"Saya tetap akan membawa
guni yang berisi rumput ini sehingga sampai ke rumah kamu. Janganlah kamu
berasa susah hati atau malu kepada saya. Saya ikhlas membantu," kata
Salman lagi sambil memikul guni yang berat itu.
Sifat peribadi Salman al-Farisi
yang merendah diri dan mulia jiwanya itu menyebabkan beliau dimuliakan oleh
semua orang. Beliau juga tergolong dalam salah seorang sahabat Nabi Muhammad
yang akrab.
lPetikan buku Sayap dari Syurga
terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5cxTylY5l
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan