ARKIB : 09/11/2010
JABIR bin Abdullah adalah salah
seorang sahabat Nabi Muhammad. Beliau sudah berumah tangga. Beliau seorang yang
berhati mulia.
Semasa orang Islam di Kota
Madinah sibuk menyelamatkan Madinah daripada serangan kafir Quraisy Mekah,
salah satu kaedah yang digunakan ialah menggali parit. Ia bertujuan menghalang
serangan musuh Islam.
Idea menggali parit itu
dicadangkan oleh Salaman al-Farisi. Menurut sejarah Islam, pada tahun itu,
tercetusnya perang yang dikenali sebagai Perang Khandak. Perkataan Khandak
diambil sempena nama parit yang digali oleh orang Islam Madinah.
Kerja menggali parit dilakukan
oleh 1,000 orang penduduk Islam Madinah. Mereka melakukannya dengan penuh
semangat supaya pihak musuh dapat ditewaskan. Jabir bin Abdullah adalah antara
salah seorang daripada penggali parit itu.
Turut serta adalah Nabi Muhammad
sendiri. Baginda tidak duduk diam atau memberi arahan semata-mata. Tetapi
baginda juga bekerja keras supaya parit itu dapat disiapkan dengan segera.
Hari semakin panas. Orang Islam
berusaha menggali parit dengan sedaya upaya mereka. Selepas selesai, mereka
semua berehat kerana letih dan penat. Jabir melihat keadaan Nabi Muhammad yang
juga kelihatan penat.
"Nampaknya Nabi Muhammad
sudah penat. Kelihatan baginda sangat lapar. Baik saya sediakan makanan bagi
Nabi Muhammad," bisik Jabir seorang diri.
Tanpa membuang masa, Jabir segera
pulang ke rumah. Beliau terus mendapatkan isterinya yang pada masa itu berada
di dapur.
"Wahai isteriku, adakah
barang makanan yang dapat kita sediakan bagi Nabi Muhammad? Selepas menggali
parit tadi, saya lihat Nabi Muhammad penat dan berada di dalam keadaan lapar.
Saya berhajat menyediakan makanan baginya," kata Jabir kepada isterinya.
"Di rumah kita hanya ada
sebungkus kecil gandum. Di luar rumah, ada seekor kambing yang masih
kecil," jawab isterinya sambil menunjukkan bungkusan kecil gandum kepada
suaminya.
"Saya rasa gandum ini cukup
untuk diberikan sebagai makanan kepada Nabi Muhammad. kamu masaklah gandum ini
dengan masakan yang istimewa. Sementara saya pergi ke luar rumah menyembelih
kambing itu," jelas Jabir kepada isterinya.
"Suamiku, kambing itu masih
kecil. Bukankah kita mahu menunggu hasil daripada kambing itu?" Tanya
isterinya.
"Tidak mengapa, isteriku.
Allah menambah rezeki kepada kita apabila kita membantu orang lain. Kita patut
sentiasa bersyukur," jawab Jabir pula.
Mendengar penjelasan itu,
isterinya segera menggiling gandum dan dijadikan tepung. Sementara Jabir pergi
ke tempat kambingnya dan terus menyembelihnya. Selesai melapah kambing itu,
Jabir membawa daging kambing itu ke dapur rumahnya.
"Sudahkah kamu menguli
tepung gandum itu?" Tanya Jabir.
"Sudah," jawab
isterinya.
"Kambing itu kita masak
dengan masakan yang sedap supaya Nabi Muhammad gembira menikmati hidangan yang
kita sediakan ini," ujar Jabir kepada isterinya.
"Baiklah, suamiku,"
jawab isterinya sambil mengambil daging kambing itu.
Kemudian, Jabir keluar semula
menemui Nabi Muhammad. Sebelum Jabir keluar, isterinya berpesan: "Suamiku,
jemputlah Nabi Muhammad sahaja, jangan jemput orang lain kerana makanan itu tidak
cukup bagi orang yang ramai itu."
"Baiklah," kata Jabir
sambil berlalu pergi.
Sampai di kawasan parit, Jabir
melihat Nabi Muhammad sedang berehat. Beliau berjalan menuju ke arah Nabi
Muhammad.
Jabir mendekati Nabi Muhammad dan
berkatanya kepadanya dengan suara yang perlahan: "Jemputlah datang ke
rumah saya. Saya ada sediakan makanan buat tuan. Cuma makanan itu sedikit. Saya
tidak dapat menjemput ramai orang kerana risau ia tidak cukup."
Mendengar khabar itu, Nabi
Muhammad melaung-laungkan suaranya menjemput semua yang terlibat ke rumah
Jabir.
"Dengar sini semua, hari ini
Jabir berbesar hati menyediakan makanan bagi kita semua. Mari kita
beramai-ramai menuju ke rumah Jabir!"
Para pekerja yang mendengar
laungan Nabi Muhammad itu berasa gembira. Mereka beramai-ramai menuju ke rumah
Jabir. Sebelum bergerak, Nabi Muhammad berpesan kepada Jabir supaya tidak
menyediakan makanan itu sehingga Nabi Muhammad sampai.
Sampai sahaja mereka di rumah,
isteri Jabir terkejut melihat ramai orang datang ke rumahnya.
"Bukankah saya sudah
berpesan kepada kamu tadi. Kamu mesti bertanggungjawab sekiranya makanan ini
tidak cukup bagi menampung seramai 1,000 orang ini," kata isteri Jabir
kepada suaminya.
Kemudian, Nabi Muhammad menuju ke
dapur rumah Jabir. Beliau berdoa kepada tepung gandum itu. Kemudian, beliau
menuju ke tempat periuk memasak daging dan berdoa pada periuk itu.
Selepas mendoakan makanan itu,
Nabi Muhammad berpesan kepada isteri Jabir supaya mencari seorang pembantu bagi
membantunya memasak. Nabi Muhammad juga berpesan supaya periuk yang berisi
kambing itu dibiarkan masak di atas tungkunya dan hanya dicedok terus dari
periuk itu.
Selepas makanan itu siap dimasak,
Jabir menghidangkan kepada tetamu-tetamunya. Berkat keikhlasan mereka, Jabir
dan isterinya tidak menyangka makanan yang sedikit itu cukup untuk 1,000 orang
tetamu.
lPetikan daripada buku Sayap Dari
Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5cxy0NBzN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan