ARKIB :
29/03/2011
Umat islam
yang ke Damsyik, Syria boleh menziarahi kubur Bilal bin Rabah.
Bilal bin
Rabah atau nama lengkapnya Bilal bin Rabah Al-Habasyi dikenali dengan dengan
gelaran Muazin Ar-Rasul.
Beliau
memiliki tubuh yang tinggi, kurus, kulitnya berwarna coklat, pelipisnya tipis
dan rambutnya lebat. Ibunya pula adalah hamba kepada Ummayyah bin Khalaf dari
Bani Jumuh.
Apabila
mendengar Islam daripada risalah yang dibawa Rasulullah, beliau menemui baginda
dan mengikrarkan dirinya memeluk agama Islam.
Ketika beliau
memeluk Islam, hanya terdapat beberapa orang sahaja yang memeluk Islam di atas
permukaan bumi ini iaitu Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin
Abi Talib, Ammar bin Yasir serta ibunya Sumaiyyah, Suhaib Ar-Rumi dan Al-Miqdad
bin Al-Aswad.
Bilal pernah
diseksa oleh Umayyah malah membiarkannya di tengah gurun padang pasir selama
beberapa hari.
Sebahagian
besar kalangan mereka yang memeluk Islam pada masa tersebut mempunyai keluarga
tempat mereka berlindung daripada kekejaman golongan musyrikin kecuali Bilal
dan Ammar bersama-sama dengan bapa dan ibunya serta Suhaib.
Oleh kerana
itu mereka menjadi sasaran golongan musyrikin Quraisy untuk melepaskan geram
mereka terhadap Islam.
Dengan
kepanasan matahari di padang pasir, beliau diseksa sambil perutnya diikat
dengan batu besar. Lehernya pula diikat dengan tali. Beliau diseret oleh
orang-orang kafir bersama anak-anak mereka di antara bukit-bukit di Mekah.
Ketika
diseret, Bilal dengan tenang mengucapkan kata "Ahad… Ahad" malah
beliau menolak mengucapkan kata-kata kufur.
Tidak cukup
dengan penyeksaan itu, golongan musyrikin menanggalkan pula pakaian Bilal,
mereka memakaikannya dengan baju besi kemudian mereka menjemur beliau di bawah
panas terik cahaya matahari.
Malah mereka
memukulnya dengan menggunakan cemeti sambil memerintahkan Bilal supaya mencaci
Nabi Muhammad.
Selepas
kejadian itu, Abu Bakar memerdekakan Bilal dengan membelinya daripada Umayyah
dengan harga sembilan tahil emas. Umayyah sengaja menjualnya dengan harga yang
mahal supaya Abu Bakar tidak mahu membeli.
Umayyah
berkata: "Sekiranya Abu Bakar tidak mahu membeli dengan harga tersebut,
aku tetap akan menjualnya walaupun dengan harga 1 tahil emas."
Sebaliknya Abu
Bakar juga berkata di dalam hatinya: "Sekiranya dia tidak mahu menjual
dengan harga tersebut, aku tetap akan membelinya walaupun dengan harga 100
tahil emas."
Setelah
hijrah, azan disyariatkan dan Bilal mengumandangkan azan. Beliau adalah muazin
pertama dalam Islam kerana memiliki suara yang sungguh lunak.
Bilal juga
pernah menjawat jawatan sebagai bendahara Rasulullah di Bait Al-Mal malah
beliau juga tidak pernah menolak daripada mengikuti semua peperangan bersama
Rasulullah.
Ketika perang
Badar, apabila melihat Umayyah dan Bilal berkata: "Aku tidak akan selamat
jika Umayyah selamat."
Dengan
pertolongan beberapa pasukan kaum muslimin mereka berjaya membunuh Umayyah.
Pada saat
pembebasan Kota Mekah, Rasulullah menyuruh Bilal mengumandangkan azan di
belakang kaabah. Ia merupakan azan yang pertama dikumandangkan di Mekah.
Rasulullah
pernah bertanya kepada Bilal: "Hai Bilal, ceritakanlah kepadaku mengenai
amalan yang menurutmu paling besar pahalanya yang pernah kamu kerjakan dalam
Islam."
Lalu Bilal
menjawab: "Aku tidak pernah mengerjakan amalan yang menurutku besar
pahalanya, tapi aku tidak wuduk di waktu malam dan siang, melainkan aku
menunaikan solat yang diwajibkan bagiku mengerjakannya."
Setelah
Rasulullah wafat, Bilal meminta izin kepada Abu Bakar untuk meninggalkan
Madinah dan berjuang di jalan Allah. Abu Bakar menyarankan agar Bilal terus
menetap di Madinah. Bilal menetap di sana dan akhirnya beliau bergabung bersama
pasukan yang diutus untuk membebaskan wilayah Syam.
Beliau
meriwayatkan 44 hadis antaranya, nabi bersabda yang bermaksud: "Hendaklah
kamu menunaikan solat malam (tahajud), kerana solat malam adalah tradisi
(kebiasaan) orang-orang soleh sebelum kamu, dan sesungguhnya solat malam adalah
amalan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, dapat mencegah daripada
perbuatan dosa, mengampuni dosa-dosa kecil, dan menghilangkan penyakit badan
(riwayat Tirmidzi)."
Bilal
dilahirkan di Kota Mekah sekitar tahun 43 sebelum Hijrah dan meninggal dunia di
Damsyik pada tahun 20 Hijrah dan ada riwayat menyebut bahawa beliau dimakamkan
di Halb.
SUMNER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0329&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5duc3urFw
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan