ARKIB : 28/09/2010
ABDULLAH bin Mughafal termasuk
dalam golongan sahabat Nabi Muhammad. Beliau berpegang teguh pada ajaran yang
disampaikan oleh Nabi Muhammad dan menggunakan ilmu yang disampaikan oleh
beliau dalam kehidupan sehariannya.
Pada suatu hari, anak saudara
Abdullah bin Mughafal bermain di luar rumah. Semasa anak saudaranya asyik
bermain, Abdullah ternampak anak saudaranya cuba melastik seekor burung.
"Siapa yang mengajar anak
saudara saya melastik burung ini?" bisik Abdullah bin Mughafal seorang
diri.
Anak saudaranya asyik bermain
lastik itu. Tidak henti-henti dia melastik burung yang hinggap di atas pokok
yang terdapat di kawasan itu.
Kemudian Abdullah datang
menghampiri anak saudaranya yang bermain itu. Beliau berkata kepada anak
saudaranya, "Berhentilah bermain permainan ini. Carilah permainan yang
lebih baik daripada melastik. Nabi Muhammad tidak suka orang yang bermain
permainan ini."
Anak saudaranya menjawab,
"Salahkah saya bermain permainan ini? Saya suka permainan ini."
"Kamu tidak boleh melastik
burung sesuka hati kamu. Burung ini makhluk Allah juga," kata bapa
saudaranya itu.
"Kasihanlah kepada burung
itu. Ia baru sahaja mendapat anak. Cuba kamu lihat sarang burung itu,"
kata Abdullah sambil tangannya menunjukkan ke arah sarang burung itu.
"Anak-anak burung itu
menunggu ibunya di sarang. Ibunya mencari makanan bagi anak-anaknya. Sekiranya
ibu burung itu mati semasa mencari makanan, bagaimanakah anak-anaknya yang
masih kecil itu mahu makan? Mahukah kamu lihat anak-anak burung itu mati
kelaparan?"
Abdullah bin Mughafal cuba
mengalih perhatian anak saudaranya itu daripada terus melastik burung.
Anak saudaranya yang masih kecil
tidak mengendahkan kata-kata Abdullah. Dia terus melantunkan batu kecil ke arah
burung itu.
Abdulah bin Mughafal berkata
lagi, "Nabi Muhammad melarang kita bermain permainan ini. Malah, melastik
burung adalah kesalahan. Kamu menyeksa burung itu kerana ia tidak akan mati
hanya dengan permainan ini. Sekiranya terkena mata orang lain, matanya boleh
jadi buta. Sekiranya terkena gigi orang lain, giginya boleh patah."
Anak kecil itu mendengar
penjelasan Abdullah. Oleh kerana takut diperhatikan oleh bapa saudaranya, dia
berhenti seketika daripada bermain. kemudian, Abdullah bin Mughafal berlalu
meninggalkan anak saudaranya seorang diri.
Nasihat yang diberikan oleh
Abdullah bin Mughafal tidak dihiraukan. Dia meneruskan permainannya.
"Bapa saudara saya sudah
tiada di sini. Lebih baik saya bermain semula lastik ini. Untung-untung saya
dapat melastik burung itu," bisiknya sendirian.
"Siapalah kamu burung. Pasti
lantunan saya ini terkena lastik saya ini," kata anak saudaranya yang
asyik melastik burung itu.
Kelihatan burung itu berterbangan
tidak tentu hala kerana mengelak daripada terkena batu lastik itu. Kedengaran
juga bunyi batu terkena dahan pokok itu.
"Tidak kena lagi. Saya mesti
melastik burung itu dengan lastik ini. Kali ini burung itu pasti jatuh ke
bumi," kata anak kecil yang geram melihat burung itu.
Anak saudaranya tetap bermain
permainan itu. Tidak lama kemudian, bapa saudaranya datang semula ke tempat
permainannya itu.
"Mengapa kamu masih bermain
permainan ini?" tanya Abdullah dengan nada suara yang tinggi.
"Saya...saya...
tersekat-sekat suara anak saudaranya menjawab, tetapi disebabkan takut kepada
bapa saudaranya, lalu anak saudaranya dia seribu bahasa.
"Bukankah saya memberi
amaran kepada kamu mengenai bahayanya permainan ini? Kamu memang tidak mahu
mendengar nasihat saya!" kata Abdullah bin Mughafal dengan suara yang
tinggi.
Anak saudaranya hanya berdiam
diri apabila dimarahi oleh bapa saudaranya itu. Kemudian Abdullah bin Mughafal
berkata lagi, "Mulai hari ini, saya tidak mahu menegur atau bercakap
dengan kamu lagi. Kamu melanggar suruhan dan perintah yang diajar oleh Nabi Muhammad.
Sekiranya kamu sakit atau hendak mati sekalipun, saya tidak akan datang melawat
kamu."
Kemarahan Abdullah bin Mughafal
tidak dapat dibendung lagi kerana sikapnya yang tidak mahu mendengar nasihatnya
itu. Memang permainan melastik ini disukai oleh kanak-kanak. Namun, permainan
ini dilarang oleh Nabi Muhammad kerana mendatangkan bahaya kepada diri sendiri
dan orang lain.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5cP7exutN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan