ARKIB : 14/12/2010
PADA suatu hari, Nabi Muhammad
mengarahkan Amru al-As bersiap sedia ke medan perang. Arahan itu dikeluarkan
selepas Nabi Muhammad mendengar berita pihak musuh akan menyerang tentera
Islam. Beliau mengirimkan Amru bin al-As, dibantu oleh Khalid al-Walid.
Pada masa itu, Khalid sudah
memeluk agama Islam.
Kemudian Nabi Muhammad berkata
kepada Amru, Saya hantar kamu ke medan perang kali ini. Kamu mesti mengetuai
angkatan tentera perang Islam.
Setiap kali apabila tentera Islam
menang dalam peperangan, mereka dihadiahkan dengan harta rampasan perang. Saya
tidak mahu harta rampasan perang itu, kata Amru kepada Nabi Muhammad.
Bagi Amru bin al-As, beliau
memeluk Islam bukan kerana harta benda, tetapi kerana keikhlasan dan
ketaatannya kepada Allah dan Nabi Muhammad.
Kemudian Nabi Muhammad
memberitahunya, Kemenangan kamu di medan pertempuran patut dihadiahkan dengan
harta rampasan perang. Rezeki itu adalah hak kamu.
Amru bersiap sedia berangkat ke
medan perang. Angkatan perang Islam berangkat pada sebelah malam hari, kerana
tidak mahu disedari oleh pihak musuh. Mereka tidak dengan selamat di tempat
kubu tentera Islam.
Amru al-As mengetahui pihak musuh
mempunyai pelbagai strategi bagi mengalahkan tentera Islam. Strategi mereka
tersusun rapi.
Melihat keadaan itu, Amru
mengirim seorang yang bernama Rafi bin Makis al-Jahni berjumpa Nabi Muhammad.
Amru berharap Nabi Muhammad dapat memberi bantuan kepada angkatan tentera
Islam.
Apabila Nabi Muhammad mendapat
berita itu, beliau mengirimkan angkatan tentera Islam yang diketuai oleh Abu
Ubaidah bin al-Jarrah. Seramai 200 tentera Islam ditambah.
Angkatan tentera Islam pada kali
ini disertai oleh Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab.
Semasa kamu berjumpa angkatan
tentera Islam yang diketuai oleh Amru al-As, kamu hendaklah bersatu padu
dengannya. Jangan sesekali berselisih faham dengannya. Bersatu teguh bercerai
roboh, pesan Nabi Muhammad kepada Abu Ubaidah.
Angkatan tentera Islam yang
diketuai oleh Abu Ubaidah berangkat ke medan perang. Pertama kali mereka
berjumpa angkatan tentera yang diketuai oleh Amru al-As, perselisihan faham
berlaku.
Ia berlaku apabila mereka mahu
mengerjakan sembahyang. Masalah yang dihadapi adalah bagi menentukan siapakah
yang berhak menjadi imam tentera-tentera Islam itu.
Sepatutnya saya menjadi imam
sembahyang ini. Nabi Muhammad mengutuskan saya ke sini dengan angkatan tentera
yang ramai, kata Abu Ubaidah.
Mendengar penjelasan Abu Ubaidah,
Amru al-As cuba mempertahankan statusnya sebagai ketua utama dalam siri
peperangan itu. Tambahan pula, Nabi Muhammad mengutuskannya terlebih dahulu
menerajui peperangan itu.
Mana boleh. Saya datang dahulu
ke tempat ini. Saya hanya minta Nabi Muhammad menghantarkan bantuan bagi
mengalahkan musuh.
Sayalah orang pertama yang
diamanahkan menjadi ketua angkatan perang ini. Kamu hanya sebagai pembantu
saya, jawab Amru al-As.
Amru al-As juga tidak mahu
mengalah. Baginya, tugasan yang diberikan oleh Nabi Muhammad menyebabkan beliau
bertanggungjawab menerajui siri peperangan itu.
Saya tidak bersetuju. Sekiranya
begitu kehendak kamu, saya cadangkan kamu pimpin angkatan tentera kamu dan saya
pimpin angkatan tentera saya, kata Abu Ubaidah.
Perselisihan faham terus berlaku
antara mereka berdua. Tentera-tentera lain hanya menyaksikan mereka.
Tentera-tentera Islam lain menunggu imam bagi sembahyang bersama-sama.
Tiba-tiba, Abu Ubaidah teringat
pesan Nabi Muhammad supaya mereka tidak berselisih faham apabila berjumpa.
Pihak musuh mudah mencari kelemahan angkatan tentera Islam sekiranya mereka
berterusan berselisihan faham begitu. Perselisihan faham mereka berdua berakhir
dengan aman.
Kemudian, Abu Ubaidah berkata
kepada Amru, Tidak mengapa. Saya tetap patuh dan taat dengan suruhan Nabi
Muhammad. Saya akan ikut segala arahan kamu.
Merek sembahyang bersama-sama,
diimamkan oleh Amru al-As. Selesai bersembahyang, angkatan tentera Islam yang
ramai itu meneruskan perjalanan sehingga sampai ke tempat kubu tentera musuh.
Peperangan antara tentera Islam
dan tentera musuh sangat sengit. Akhirnya, tentera Islam berjaya mengalahkan
musuh mereka.
Berkat mendengar nasihat dan
patuh segala suruhan Nabi Muhammad, menyebabkan tentera Islam mencapai
kemenangan.
lPetikan daripada buku Sayap dari
Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5d7f1E4R3
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan