ARKIB :
12/01/2011
Susunan SITI
AINIZA KAMSARI
PERSIAPAN di
pihak Islam ketika Perang Badar bukanlah untuk berperang. Kerana itu jumlah
anggotanya tidak ramai berbanding persiapan oleh pihak Quraisy.
Malah mereka
turut membawa kaum wanita untuk turut sama keluar memberi semangat dan
menyajikan hiburan.
Namun Nabi
Muhammad segera menyiap dan memperkemaskan barisan tentera yang ada setelah
Allah SWT memberitahu mengenai kemaraan tentera dari Mekah.
Ia sebagai
mana firman Allah SWT yang bermaksud: Seperti orang yang keluar dari negerinya
dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang
ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia
daripada jalan Allah dan ingatlah. (al-Anfal: 47).
Rasulullah dan
bala tentera yang baginda pimpin pun bergerak, berjalan sehingga mereka sampai
di kawasan yang dikenali sebagai Al Udwatil Dunya di bahagian utara lalu mereka
berhenti dan mendirikan khemah di situ.
Sementara
tentera Mekah yang bergerak juga berhenti dan berkhemah di Al Udwatul Quswa di
sebelah selatan.
Walau
bagaimanapun kedua-dua belah pihak tidak mengetahui kedudukan pihak musuh
antara satu sama lain.
Namun apakah
yang terjadi kepada rombongan atau kafilah dagang yang diketuai oleh Abu Sufian
bin Harb? Adakah rombongan berjaya diserang oleh pihak Islam atau bergabung
dengan tentera Mekah untuk sama-sama bertempur memerangi pasukan Nabi Muhammad
di medan perang?
Sebagai salah
seorang pembesar Quraisy yang terkemuka, Abu Sufian turut cekap mengatur
strategi dalam situasi yang sukar.
Walaupun
bantuan tentera bakal menyusul, namun Abu Sufian dikatakan berjaya membawa
seluruh ahli rombongannya melalui jalan-jalan rahsia. Ia berjaya mengelak
daripada bertembung dan menjadi sasaran serangan pihak Islam.
Mungkin
perjalanan yang ditempuh lebih sukar daripada biasa kerana terpaksa melalui
jalan di antara celah-celah lembah bukit-bukit, sehinggalah meredah laluan di
tepi pantai Laut Merah dan kembali semula ke laluan menuju Mekah.
Akhirnya
rombongan itu selamat sampai ke Mekah tanpa sebarang masalah. Sebaik sahaja
selamat sampai, Abu Sufian segera menghantar wakil memberitahu tentera Quraisy
bahawa mereka berjaya mengelak daripada menjadi sasaran serangan dan mereka
tidak perlu lagi meneruskan rancangan untuk bertempur dengan tentera Islam.
"Sesungguhnya
kamu keluar hanya untuk menyelamatkan angkatan perdagangan kamu,
anggota-anggota dan harta benda kamu. Tuhan telah menyelamatkan kami. Oleh
kerana itu, pulanglah semula (ke Mekah).
"Untuk
apa lagi kita keluar berperang. Apatah lagi orang yang kita perangi adalah
kalangan saudara mara kita sendiri," demikian antara isi kandungan surat
daripada Abu Sufian yang dikirimkan kepada ketua tentera Musyrikin Mekah, Abu Jahal.
Ini
menyebabkan ada antara anggota tentera Musyrikin itu yang hendak menarik diri
daripada meneruskan peperangan antara kedua-dua belah pihak.
Tentu sahaja
Abu Jahal tidak setuju membatalkan misi ketenteraan itu yang kemenangan di
pihak Quraisy akan melonjakkan lagi nama beliau di kalangan orang
Arab sekali
gus bakal dilantik menjadi pemimpin utama di Mekah.
Dia mahu
supaya peperangan diteruskan lalu dengan sombongnya dia berkata:
"Demi
Tuhan, kita tidak akan pulang melainkan setelah kita sampai ke Badar. Di situ
kita akan berkhemah dan menetap selama tiga hari dan menyembelih unta.
"Kita
akan bebas bersuka ria sambil makan-makan, minum arak dan berhibur tari menari
dan menyanyi dengan para biduanita yang telah kita bawa bersama ini.
"Biarkan
semua orang Arab mendengar mengenai pergerakan dan pesta suka ria kita itu,
pasti mereka akan gerun terhadap kekuatan dan semangat juang yang kita
miliki."
Namun begitu,
seramai 300 anggota tentera Musyrik tetap dengan keputusan mereka untuk menarik
diri. Ini menyebabkan jumlah tentera telah berkurangan menjadi 1,000 orang
sahaja yang berjaya dipujuk oleh Abu Jahal untuk meneruskan misi dengan
menjanjikan pelbagai habuan jika mereka terus bersama-sama dengannya.
Ini menjadikan
suasana semakin genting, hanya menunggu retak menjadi belah. Melalui
risikan-risikan yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak memang ternyata tidak
ada caranya bagi mengelakkan berlaku peperangan.
Peperangan
yang pertama kali berlaku dalam sejarah antara Musyrik dan Islam, pasti akan
meletus juga.
Ini
menyebabkan di pihak tentera Islam, baginda perlu mengatur strategi yang rapi
namun yang menariknya tidak perlu ditanggung oleh baginda seorang diri.
Sebagai
seorang yang sangat demokratik, baginda mendengar pendapat, cadangan dan buah
fikiran di kalangan anak-anak buahnya.
Di samping itu
baginda bersama angkatan Islam juga beroleh semangat dan kekuatan rohani dengan
turunnya ayat-ayat al Quran.
Antaranya,
ayat Allah yang memberikan semangat yang tinggi kepada pasukan Islam: Wahai
Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu (Pelindung), dan juga
pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. Wahai Nabi, kobarkanlah
semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu
dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari
pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya
mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka
(yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. (al-Anfal: 64-65)
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5dLVCQcpn
© Utusan
Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan