ARKIB : 17/09/2010
MUADZ bin Jabal termasuk dalam
golongan pertama yang masuk Islam. Beliau merupakan seorang pemuda yang
mempunyai wajah yang berseri-seri, berperwatakan yang menarik, bergigi putih
bersih dan menarik perhatian apabila melihatnya serta ketenangan jelas
terpancar di wajahnya.
Semasa Rasulullah mengambil
bai'at dengan orang-orang Ansar pada Perjanjian Aqabah kedua, Muadz termasuk
dalam ahli rombongan tersebut. Walaupun pada ketika itu usianya masih muda,
namun kebijaksanaannya telah diakui dan amat menonjol terutama dalam bidang
fikah. Rasulullah SAW sendiri juga pernah memuji kepintaran Muadz dan beliau
juga mendapat pujian daripada para sahabat.
Ketika usianya masih muda lagi,
Muadz telah dilantik sebagai pemimpin agama bagi masyarakat Yaman. Namun
begitu, sebelum beliau dihantar ke sana, Rasulullah telah menguji
kepintarannya. "Apa yang menjadi pedomanmu dalam mengadili sesuatu, wahai
Muadz?" tanya Rasulullah. "Kitabullah," ujar Muadz.
"Jika tidak kamu temui dalam
kitabullah?" Tanya Rasulullah lagi.
"Saya putuskan dengan sunnah
Rasul," ujar Muadz. "Jika tidak kamu temui dalam sunnah
Rasulullah?"
"Saya pergunakan fikiranku
untuk berijtihad dan saya takkan berlaku sia-sia."
Maka berseri-serilah wajah
Rasulullah dan baginda bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah
memberi taufik kepada utusan Rasulullah."
Rasulullah SAW amat berpuas hati
dengan jawapan yang diberikan oleh Muadz. Sebab itulah Rasulullah tidak
ragu-ragu untuk menghantar Muadz ke Yaman walaupun jauh daripadanya. Kecerdasan
akal dan kebijaksanaannya amat meyakinkan hati baginda untuk memberi tunjuk
ajar kepada penduduk Yaman.
Muadz bukanlah seorang yang
banyak cakap. Beliau seorang yang pendiam dan gemar memerhati sahaja. Beliau
hanya akan bercakap apabila diminta oleh hadirin.
Muadz akan menjadi sumber rujukan
apabila sahabat menemui jalan buntu mengenai suatu hukum. Pengetahuan yang
tinggi inilah menyebabkan beliau mendapat penghormatan daripada kaum muslimin
sama ada ketika Rasulullah masih hidup mahupun selepas ketaatan baginda.
Muadz merupakan seorang sahabat
yang pemurah. Ketika berada di Yaman, beliau menjadi seorang yang kaya raya.
Pernah suatu ketika Saidina Umar meminta sebahagian daripada hartanya untuk
didermakan ke jalan Allah. Pada mulanya beliau enggan kerana itu adalah
hartanya sendiri yang diperolehi secara sah. Selepas itu Umar datang lagi ke
rumahnya. Melihat Umar, Muadz pun meluru dan memeluk Umar sambil menangis.
Katanya: "Semalam aku
bermimpi masuk kolam yang airnya sangat dalam dan aku hampir-hampir lemas. Nasib
baiklah kamu datang untuk menyelamatkan aku." Selepas kejadian itu, Muadz
kemudiannya memberi sebahagian hartanya untuk jalan Allah.
Muadz meninggal dunia pada usia
33 tahun. Hingga di saat kematiannya pun dia masih bermunajat kepada
Allah."Ya Allah, sesungguhnya selama ini aku takut kepada-Mu tetapi hari
ini aku mengharapkan-Mu…Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa aku tidaklah
mencintai dunia demi untuk mengalirkan air sungai atau menanam kayu-kayan,
tetapi hanyalah untuk menutup haus di kala panas dan menghadapi saat-saat yang
gawat serta untuk menambah ilmu pengetahuan, keimanan dan ketaatan…"
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz5cOdYjF9Q
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan